اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #556: HUKUM MELETAKKAN SUTRAH DI DALAM SOLAT

Soalan: Boleh mufti beri penjelasan apakah itu sutrah dan kepentingannya?

Jawapan:

Bagi menjawab soalan berkenaan sutrah, kami lampirkan keterangan daripada kitab Fiqh al-Manhaji (1/392-393)dalam bab perkara-perkara sunat berkaitan dengan solat.

“Sekatan (سُترَةٌ) adalah sebagai tanda pemisah di antara orang yang bersolat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya, seperti dinding, tiang, tongkat atau menghamparkan sejadah dan sebagainya. Jika tidak didapati apa-apa pun buatlah tanda garisan sahaja.

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا خَرَجَ يَوْمَ الْعِيدِ أَمَرَ بِالْحَرْبَةِ فَتُوضَعُ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَيُصَلِّى إِلَيْهَا وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ، وَكَانَ يَفْعَلُ ذَلِكَ فِى السَّفَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila pergi menunaikan solat hari raya, Baginda meminta sebatang tombak pendek (حَربَةٌ) diletakkan di hadapannya, lalu Baginda menghadapnya manakala orang ramai pula di belakang Baginda ketika bermusafir.”

Riwayat al-Bukhari (472) dan Muslim (501)

Sementara cara yang afdhal pula ialah meletakkan sekatan berhampiran dengan tempat sujud.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Sahal bin Sa’ad RA, katanya:

كَانَ بَيْنَ مُصَلَّى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبَيْنَ الْجِدَارِ مَمَرُّ الشَّاةِ

Maksudnya: “Jarak di antara tempat sujud Rasulullah SAW dan dinding ialah seluas laluan kambing.”

Riwayat al-Bukhari (474) dan Muslim (508)

Dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie juga ada ditambah bahawa haram bagi seseorang untuk lalu di hadapan orang yang bersolat sedangkan dihadapannya sudah ditandakan dengan sutrah, berdasarkan hadis Abu al-Juhaim al-Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ المَارُّ بَيْنَ يَدَيِ المُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

Maksudnya: Kalaulah seseorang itu tahu dosa yang dikenakan ke atasnya akibat berjalan di hadapan orang yang solat, nescaya kalau dia berdiri selama 40 (tempoh tertentu), lagi baik daripada dia berjalan di hadapan orang yang solat.

Riwayat al-Bukhari (510)

Berkata Abu al-Nadr, salah seorang perawi hadis ini, : “Aku tidak pasti sama ada baginda bersabda 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.”

Sunat hukumnya bagi orang yang bersolat dengan sutrah kemudian ada orang yang lalu dihadapannya dia tahan menggunakan tangannya. Ini berdasarkan hadis Abu Said al-Khudri RA, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ مِنَ النَّاسِ، فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بَيْنَ يَدَيْهِ، فَلْيَدْفَعْ فِي نَحْرِهِ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ، فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kalian bersolat dalam keadaan mengadap sutrah yang boleh menghalangi manusia, lalu ada orang yang ingin melintasi hadapannya, hendaklah dia menahannya. Dan jika dia enggan juga, hendaklah dia diperangi (yakni ditolak dengan keras) kerana dia adalah syaitan (yakni bersamanya syaitan).”

Riwayat Muslim (505)

Adapun seseorang yang tidak meletakkan sutrah di hadapan, maka dia tidak berhak untuk menghadang orang lain daripada melintasi hadapannya kerana dia sudah mencuaikan haknya dengan meninggalkan memasang sutrah. Rujuk al-Mu’tamad (1/222-223). Begitu juga sutrah bagi imam adalah sutrah bagi makmum. Rujuk I`anah al-Talibin (1/221) dan Bughyah al-Mustarsyidin (1/112). Justeru, dalam keadaan yang terdesak seperti terbatalnya wuduk ketika dan terpaksa melalui di hadapan makmum lain dalam solat untuk mengambil wuduk semula, sedangkan tiada jalan lain, maka boleh lalu dan tidak boleh dihalang oleh makmum lain.

Semoga Allah berikan kita ilmu untuk melaksanakan amal ibadah dengan sempurna.

Wallahua’lam.