اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #554: HUKUM MENULIS ISI KHUTBAH KETIKA KHUTBAH JUMAAT

Soalan: apakah hukum menulis isi penting ketika khutbah? Adakah ini bertentangan dengan hadis larangan bermain dengan batu kecil ketika khutbah? Apakah perbuatan ini membatalkan syarat khutbah?

Jawapan:

Sunat hukumnya bagi orang yang mendengar khutbah untuk diam daripada berkata-kata dan tidak membuat aktiviti lain selain mendengar kepada bacaan khatib.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Salman al-Farisi RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَغْتَسِلُ رَجُلٌ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَيَتَطَهَّرُ مَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، وَيَدَّهِنُ مِنْ دُهْنِهِ، أَوْ يَمَسُّ مِنْ طِيبِ بَيْتِهِ ثُمَّ يَخْرُجُ، فَلاَ يُفَرِّقُ بَيْنَ اثْنَيْنِ، ثُمَّ يُصَلِّى مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ يُنْصِتُ إِذَا تَكَلَّمَ الإِمَامُ، إِلاَّ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: “Seseorang yang mandi dan bersuci pada hari Jumaat sekadar yang termampu, memakai minyak dan wangi-wangian, kemudian ke masjid dan tidak mengganggu para jemaah dan seterusnya mendirikan solat yang ditentukan, diam ketika imam berkhutbah. Maka segala dosa kecilnya akan diampunkan di antara Jumaat dan Jumaat yang akan datang.”

Riwayat al-Bukhari (843)

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ. وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu berkata ‘diam’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat ketika imam membaca khutbah maka sia-sialah Jumaat kamu.”

Riwayat al-Bukhari (892) dan Muslim (851)

Ali RA meriwayatkan:

وَمَنْ لَغَا فَلَيْسَ لَهُ فِى جُمُعَتِهِ تِلْكَ شَىْءٌ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang Jumaatnya sia-sia dia tidak dapat apa-apa kelebihan dan pahala yang diharapkan daripada Jumaatnya itu.”

Riwayat Abu Daud (1051)

Larangan berkata-kata di sini termasuklah juga menulis bagi mengelakkan situasi berhelah seperti orang menggunakan SMS, Whatsapp dan lain-lain ketika khatib sedang berkhutbah dengan alasan, “Kami tidak bercakap tetapi hanya menulis.”

Ini dikuatkan dengan hadis daripada Abu Hurairah RA:

مَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyapu (bermain-main) batu kerikil (ketika Jumaat) maka hal itu sia-sia.”

Riwayat Muslim (857)

Berkata Imam Nawawi Rahimahullah: “Pada hadis ini terdapat larangan bermain dengan batu dan selain daripada jenis itu kerana itu adalah sebahagian daripada perbuatan sia-sia ketika khutbah (Jumaat). Di sini terdapat isyarat agar ditujukan hati dan anggota badan semata-mata kepada khutbah.”  Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. 

Terdapat pendapat bahawa perbuatan menulis khutbah itu tidak termasuk dalam larangan kerana menulis itu adalah untuk menambahkan perhatian dan kefahaman. Ini berbeza dengan perbuatan menegur jemaah untuk diam atau bermain dengan kerikil. Tetapi pendapat ini boleh dijawab bahawa tidak semestinya dengan menulis seseorang boleh fokus kepada semua isi khutbah. Selalu juga apabila seseorang itu menulis isi ceramah, contohnya, dia tertinggal mendengar isi khutbah yang sedang dibaca. Tambahan lagi, perbuatan menulis isi khutbah akan menimbulkan fitnah dengan menarik perhatian orang bersebelahan atau sekeliling untuk melihatnya lantaran asing perbuatan menulis ketika khutbah.

Justeru, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hukum menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat adalah afdal ditinggalkan perbuatan menulis isi khutbah ketika khutbah Jumaat sedang dilangsungkan. Alangkah baiknya jika seseorang meletakkan sepenuh perhatian, pendengaran dan perbuatannya, memberi tumpuan kepada isi khutbah. Selain itu, seseorang itu boleh mendapatkan isi khutbah daripada Jabatan Agama atau menggunakan perakam suara.

Berkenaan dengan syarat khutbah yakni mendengar khutbah itu 40 orang lelaki yang bermastautin lagi wajib atasnya solat Jumaat, maka hukumnya adalah tidak batal khutbah tersebut kerana orang menulis itu tetap mendengar sekalipun menulis. Semoga Allah memberikan kita nikmat kekuatan itu melaksanakan ketaatan sebaik mungkin.

Wallahua’lam.