اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE- 218 : PANDANGAN MENGENAI ISU PENGURUSAN WANG TABUNG MASJID

 

 BL218

 

Mukadimah

Isu berkenaan tatacara pengurusan wang tabung masjid seringkali menimbulkan persoalan dari kalangan pihak pengurusan dan juga para jemaah itu sendiri. Antara isu utama yang dibangkitkan adalah, ke manakah duit-duit yang disumbangkan ke tabung-tabung masjid boleh digunakan ? Adakah ia hanya boleh digunakan untuk maslahah ahli kariah atau boleh juga digunakan untuk maslahah muslimin secara umum meskipun di luar kariah ?

Demikian juga sekiranya ada tabung khas yang diperuntukkan untuk golongan tertentu seperti asnaf atau anak yatim, adakah boleh ia digunakan untuk individu-individu lain yang tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dikhususkan tersebut?

Maka persoalan-persoalan ini akan kami bahaskan secara terperinci dalam penulisan ini bagi menjelaskan garis panduan terbaik dalam menguruskan wang-wang sumbangan di tabung masjid ini.

Definisi Tabarru’ (Sumbangan Derma)

Para fuqaha’ secara umumnya tidaklah menetapkan definisi yang khusus kepada perkataan tabarru’ ini. Akan tetapi mereka memberikan takrifan terhadap jenis-jenis tabarru’ seperti wakaf, hibah, wasiat, dan seumpamanya.

Berdasarkan takrifan-takrifan fuqaha’ terhadap jenis-jenis tersebut, dapat difahami bahawa maksud tabarru’ adalah: ‘’Usaha seorang mukallaf mengeluarkan harta atau manfaat kepada selainnya pada masa sekarang atau di masa akan datang tanpa sebarang balasan, dengan niat berbuat kebajikan dan kemakrufan.’’

Rujuk Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah (10/65)

Perbuatan tabarru’ dengan harta atau manfaat ini hakikatnya amat dianjurkan oleh syarak. Ini kerana ia terbina di atas semangat saling membantu dalam perkara kebajikan seperti yang ditunjukkan di dalam firman Allah S.W.T:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: Dan saling membantulah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan.

Surah Al-Ma’idah (2)

Menerusi ayat di atas, Allah S.W.T memerintahkan kepada umat Islam supaya saling bertolongan dalam perkara kebajikan. Iaitu setiap perbuatan makruf (kebaikan) yang diberikan kepada orang lain sama ada dengan menghulurkan bantuan kewangan atau sebarang manfaat.

Pengurusan Wang Tabung Masjid

Secara asasnya, duit-duit sumbangan yang diberikan oleh seseorang itu hendaklah diuruskan atau disalurkan kepada sudut-sudut yang telah ditetapkan atau diniatkan oleh orang yang menderma.

Sebagai contohnya, apabila seorang yang menyumbangkan wang dermanya kepada tabung-tabung khas untuk pengurusan anak yatim, maka duit tersebut hanyalah digunakan kepada tujuan tersebut sahaja dan bukannya kepada tujuan-tujuan lain yang tidak berkaitan dengan niat penyumbang (penderma).

Berikut merupakan kata-kata dari Syeikh Zakaria al-Ansari Rahimahullah yang menyebut:

(وَلَوْ أَعْطَاهُ دَرَاهِمَ وَقَالَ اشْتَرِ لَك) بِهَا (عِمَامَةً أَوْ اُدْخُلْ بِهَا الْحَمَّامَ) أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ (تَعَيَّنَتْ) لِذَلِكَ مُرَاعَاةً لِغَرَضِ الدَّافِعِ هَذَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu memberikan beberapa dirham kepadanya dan berkata: ‘’Belilah buat diri kamu serban dengan wang ini atau bawalah serban ini ke dalam tempat mandi’’, atau (ucapan) seumpamanya, maka menjadi tuntutan kepadanya melakukan perkara tersebut bagi meraikan tujuan individu yang menyumbangkan (wang tersebut).

Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/479)

Beliau menambah lagi:

(إنْ قَصَدَ سَتْرَ رَأْسِهِ) بِالْعِمَامَةِ (وَتَنْظِيفَهُ) بِدُخُولِهِ الْحَمَّامَ لِمَا رَأَى بِهِ مِنْ كَشْفِ الرَّأْسِ وَشَعَثِ الْبَدَنِ وَوَسَخِهِ (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَقْصِدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ.

Maksudnya: Sekiranya seseorang (yang memberi duit) bertujuan untuk (orang yang diberikan wang tersebut) menutup kepalanya dengan serban dan membersihkannya, dengan cara membawanya masuk ke dalam bilik air, berdasarkan apa yang dia lihat dari orang tersebut dari sudut kepala terdedah (tidak tertutup) dan juga kekusutan serta kotoran yang terdapat pada badan orang tersebut. Sekiranya tidak, iaitu jika dia tidak menyertakan tujuannya (niat sedekah umum), seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau boleh dia menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.

Rujuk Asna al-Mathalib, Zakariya Al-Ansari (2/480)

Oleh yang demikian, jika dikaitkan dengan isu pengurusan tabung masjid dengan kenyataan di atas, dapatlah difahami bahawa sekiranya seorang penderma yang memberikan sumbangan wang di tabung masjid yang dikhususkan kepada asnaf umpamanya, maka hendaklah duit tersebut hanya disalurkan kepada asnaf dan bukannya kepada kegunaan-kegunaan yang lain.

Namun sekiranya seseorang itu menderma atau bersedekah di tabung masjid secara umum, iaitu bukan tabung khas yang bersifat spesifik kepada program atau golongan tertentu, maka duit sumbangan ini boleh digunakan untuk apa sahaja aktiviti atau kepada siapa sahaja golongan yang memerlukan selama mana terdapatnya maslahah kaum muslimin menerusi pemberian tersebut.

Inilah yang difahami daripada kenyataan Syeikh Zakaria al-Ansari yang menyebut:

وَإِنْ لَمْ يَقْصدْ ذَلِكَ بِأَنْ قَالَهُ عَلَى سَبِيلِ التَّبَسُّطِ الْمُعْتَادِ (فَلَا) تَتَعَيَّنُ لِذَلِكَ بَلْ يَمْلِكُهَا أَوْ يَتَصَرَّفُ فِيهَا كَيْفَ شَاءَ

Sekiranya tidak, iaitu jika dia (orang yang memberikan duit) tidak menyertakan tujuannya, seperti dia menyebut (gunakanlah wang) dalam bentuk penuh keluasan yang mengikut adat kebiasaan, maka tidak ditentukan wang tersebut untuk diguna pada perkara (yang ditetapkan itu). Bahkan dia (yang menerima wang) memilikinya atau dia boleh menggunakan wang tersebut sebagaimana yang dia kehendaki.

Kami juga menambah, para ulama semisal Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam membahaskan berkenaan dengan isu harta haram menyebut:

إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ

Maksudnya: Apabila seseorang itu bersamanya (memiliki) harta yang haram lalu dia ingin bertaubat dan berlepas diri darinya, maka sekiranya harta yang haram tersebut mempunyai pemiliknya yang tertentu, ia wajib diserahkan kepadanya atau kepada wakilnya. Sekiranya orang (pemilik harta) tersebut telah meninggal dunia, maka wajib menyerahkannya kepada warisnya. Dan sekiranya harta tersebut dimiliki oleh seseorang yang dia sudah tidak mengenalinya, maka dia hendaklah menyalurkannya kepada maslahah-maslahah kaum muslimin yang umum seperti (pembinaan) jambatan-jambatan, ribath-ribath, masjid-masjid, serta maslahah-maslahah jalanan di Mekkah, dan seumpamanya yang mana orang Islam berkongsi padanya (iaitu dalam mendapat manfaat daripadanya).

Rujuk Al Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (9/351)

Maka berdasarkan kenyataan ini kami berpendapat, sekiranya wang yang haram boleh disalurkan kepada perkara-perkara yang mendatangkan maslahah kepada kaum muslimin secara keseluruhan, maka adalah menjadi suatu yang lebih utama (awla), untuk harta-harta yang halal seperti wang yang disumbangkan di tabung-tabung masjid digunakan dan disalurkan juga kepada perkara-perkara dan aktiviti-aktiviti yang memberi maslahah kepada kaum muslimin yang umum, atau kepada golongan-golongan yang memerlukan dari kalangan umat Islam.

Syor & Cadangan

Berikut kami nyatakan beberapa syor dan cadangan yang perlu diambil kira dalam isu ini:

  • Pihak masjid boleh untuk menyediakan tabung-tabung masjid yang bersifat umum. Seperti peti sumbangan yang dinamakan ‘TABUNG MASJID’ secara umum. Maka wang sumbangan yang dimasukkan ke dalam tabung ini boleh digunakan oleh pihak pengurusan yang diberikan amanah menyelenggara dana sumbangan ini untuk seluruh aktiviti yang mendatangkan maslahah kepada kaum muslimin keseluruhannya.

Ini membawa erti, wang tersebut boleh diguna pakai untuk maslahah umat Islam yang berada di bawah kariah masjid dan juga di luar kariah masjid. Meskipun begitu, kami menyatakan bahawa keutamaannya tetap diberikan kepada ahli kariah setempat yang memerlukan.

  • Begitu juga dibolehkan bagi pihak pengurusan masjid untuk menyediakan tabung-tabung yang bersifat khusus, dan diletakkan pengkhususan tersebut di tabung-tabung yang disediakan. Sebagai contohnya adalah ‘TABUNG ASNAF’ ‘TABUNG UTILITI’ dan seumpamanya.

Justeru, dalam menguruskan duit-duit yang diletakkan di dalam tabung-tabung khas begini, pihak masjid hendaklah menggunakan atau menyalurkan wang tersebut kepada tujuan-tujuan yang khas tersebut. Sekiranya ia ditujukan khas kepada asnaf, maka pihak masjid hendaklah menggunakannya untuk asnaf yang lapan. Dari sudut prioriti, asnaf yang diberikan adalah dari kalangan penduduk kariah itu sendiri. Namun, jika adanya keadaan tertentu yang memerlukan ia diberikan kepada asnaf di luar kariah, maka hukumnya adalah dibolehkan. Dalam kes ini, adalah disyorkan untuk memohon pendapat dari Majlis Agama Islam terlebih dahulu.

  • Pihak pengurusan masjid hendaklah berusaha untuk mempamerkan cash flow (aliran tunai) wang-wang sumbangan yang diberikan tersebut menerusi skrin-skrin layar atau ruangan iklan yang terdapat di kawasan masjid.

Ini bagi menzahirkan ketelusan (transparency) disamping memudahkan para jemaah untuk mengetahui ke manakah wang-wang tersebut disalurkan atau sekadar disimpan sahaja tanpa dimanfaatkan untuk maslahah dan kepentingan kaum muslimin.

Maklumat-maklumat yang dipaparkan ini akan lebih meyakinkan para jemaah untuk terus menerus memberi sumbangan kepada masjid atas kepercayaan mereka kepada pihak pengurusan yang mampu dan tahu menguruskan wang-wang tersebut demi kemaslahatan para jemaah dan kaum muslimin secara umumnya.

  • Kami juga mengesyorkan kepada para jemaah yang bersedekah di tabung-tabung masjid atau surau untuk meniatkan sedekah itu secara umum demi kemaslahatan kaum muslimin. Ini memandangkan, secara urufnya seseorang yang bersedekah itu memang meniatkan sedekah kerana Allah S.W.T bagi mendapatkan pahala kebajikan.

Namun jika memang dia berniat bersedekah untuk kemaslahatan individu atau golongan tertentu seperti asnaf dalam kawasan kariah tersebut, maka boleh sahaja dia memberikan sendiri kepada pihak pengurusan dan mewakilkan serahan wang tersebut kepada asnaf sendiri, tanpa meletakkannya di dalam tabung masjid.

  • Badan-badan berautoriti seperti Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri, khususnya unit yang bertanggungjawab mengurus tadbir masjid-masjid dan juga surau-surau di dalam sesebuah negeri, DIBOLEHKAN untuk meminta dana-dana sumbangan ini atas kapasiti sebagai ULIL AMRI bagi menjalankan program-program kebajikan yang mendatangkan maslahah kepada umat Islam secara umum yang melibatkan seluruh negeri.

Meskipun begitu, perlulah diraikan juga situasi kewangan masjid-masjid kerana norma menyaksikan bahawa bukan semua masjid mempunyai kadar kutipan sumbangan derma yang sama. Boleh jadi sesetengah masjid mempunyai kadar kutipan yang tinggi dan boleh jadi sesetengah masjid mempunyai kadar kutipan yang rendah.

Manakala dalam keadaan tertentu, pihak masjid juga boleh untuk memohon sumbangan dari Majlis Agama Islam sekiranya dana mereka tidak mencukupi dan ini adalah bagi program-program yang melibatkan masyarakat setempat institusi masjid tersebut.

Justeru, badan berautoriti hendaklah melakukan timbang tara terbaik dalam isu ini, khususnya dalam usaha memberikan maslahah kepada semua pihak, dan menolak sebarang mafsadah kepada mana-mana pihak. Ini bertepatan dengan sebuah kaedah fekah:

 تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: Tasarruf (pengurusan atau tindak tanduk) pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.

Kata Imam Jalaluddin al-Suyuthi Rahimahullah:

 وَوَليُّ الأمْرِ مَأمُورٌ بِمُرَاعَاةِ المَصْلَحَةِ ، وَلَا مَصْلَحَة فِي حَمْلِ النَّاسِ عَلَى فِعْلِ المَكْرُوه

Maksudnya: Waliyyul amri (seorang pemerintah) diperintahkan untuk meraikan maslahah. Dan tidak ada maslahah pada perbuatan yang membawa orang ramai melakukan perkara yang dibenci (makruh).

Rujuk Al-Asybah wal-Nazhoir, Al-Suyuthi (1/122)

 

Kesimpulan

Sebagai penutup, marilah kita sama-sama merenung dan menghayati firman Allah S.W.T:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menyerahkan amanah-amanah itu kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum sesama manusia, hendaklah kamu berhukum dengan penuh keadilan.

Surah Al-Nisa’ (58)

Kata Imam al-Thabari Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini: ‘’Ayat ini ditujukan kepada para waliyyul amri (pemerintah atau pengurus tadbir). Iaitu ayat ini adalah kenyataan Allah yang ditujukan kepada para pemerintah urusan umat Islam untuk menjalankan amanah kepada golongan yang berada di bawah tanggungjawab mereka dari sudut cukai-cukai serta hak-hak mereka’’.

Maka kami menyatakan bahawa pihak pengurusan masjid dan surau adalah waliyyul amri kepada para jemaah mereka. Demikian juga badan berautoriti agama di setiap negeri yang mengurus tadbir masjid masjid dan surau juga merupakan ulul amri kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawab badan tersebut.

Justeru, setiap yang bergelar ulul amri perlulah berusaha sedaya mungkin dalam menjalankan tanggungjawab yang ditaklifkan kepada mereka dengan memberikan maslahah yang terbaik kepada setiap individu yang berada di bawah tanggungan mereka.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 

Akhukum fillah,

 

S.S DATO’ SERI DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN