اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-302: FATWA DARI PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG DI WILAYAH PERSEKUTUAN

FATWA_DARI_PERSPEKTIF_UNDANG-UNDANG_DI_WILAYAH_PERSEKUTUAN.jpg

 

Pendahuluan

Institusi fatwa di Wilayah Persekutuan secara asasnya berdiri di bawah peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]. Akta ini merupakan satu undang-undang yang digubal bagi mengatur dan mengurus hal ehwal pentadbiran Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Malaysia, yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, dan juga Labuan.

Apakah Itu Fatwa?

Dari perspektif undang-undang, sesuatu fatwa di Wilayah Persekutuan merujuk kepada fatwa atau pendapat mengenai apa-apa persoalan hukum syarak yang disiarkan di dalam Warta. Sesuatu fatwa yang hendak dikeluarkan mestilah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang membincangkan mengenai fatwa tersebut.

Sesuatu fatwa boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak apabila adanya keperluan terhadap fatwa dalam sesuatu permasalahan hukum. Selain itu, mana-mana pihak juga boleh membuat permohonan fatwa sekiranya diperlukan melalui surat yang ditujukan kepada mufti.

Mufti Dan Kuasanya

Mufti dan juga timbalan mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah dilantik oleh KDYMM Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat daripada Menteri selepas berunding dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Apabila seseorang mufti itu dilantik, beliau bertanggungjawab untuk membantu dan menasihati KDYMM Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan hukum syarak. Selain itu, mufti juga menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong dalam semua perkara berkaitan hukum syarak.

Adakah Fatwa Boleh Dipinda Atau Dibatalkan?

Walaupun sesuatu fatwa yang diwarta di Wilayah Persekutuan mengikat semua orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan, namun sesuatu fatwa itu masih lagi boleh dipinda dan juga boleh dibatalkan. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyatakan bahawa sesuatu fatwa boleh berubah disebabkan masa, tempat, dan keadaan.

Di Wilayah Persekutuan, mufti boleh meminda, mengubahsuaikan atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan sebelum itu, sama ada dikeluarkan oleh beliau sendiri atau oleh mana-mana mufti yang terdahulu. Proses pindaan atau pembatalan fatwa juga adalah sama seperti proses pengeluaran fatwa seperti yang telah diperincikan di atas, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

Seperti yang telah dijelaskan tadi, sesuatu fatwa yang dikeluarkan mestilah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan. Jawatankuasa ini ditubuhkan di bawah Seksyen 37, Akta 505. Menurut Subseksyen 37(2), Jawatankuasa ini hendaklah terdiri daripada: (i) seorang mufti sebagai Pengerusi, (ii) timbalan mufti, (iii) dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh MAIWP, (iv) tidak kurang daripada dua orang, yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh MAIWP, dan (e) seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (JAWI) yang dilantik oleh MAIWP sebagai Setiausaha.

Pandangan Yang Perlu Dipegang Oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Dalam Mengeluarkan Sesuatu Fatwa

Dalam mengeluarkan sesuatu fatwa, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak hendaklah pada asasnya mengikut pendapat yang terpilih dalam mazhab Syafie (qawl mu’tamad). Namun sekiranya Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak berpandangan bahawa qawl mu’tamad dalam mazhab Syafie bertentangan dengan maslahat awam dalam sesuatu permasalahan, maka Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak boleh mengikut qawl mu’tamad dalam mazhab Hanafi, Maliki, atau juga Hanbali.

Dalam keadaan tertentu, sekiranya qawl mu’tamad dalam keempat-empat mazhab juga bertentangan dengan maslahat awam dalam permasalhan tertentu, maka Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak boleh mengeluarkan fatwa mengikut ijtihad yang dilakukan, walaupun keputusan ijtihad tersebut berbeza dengan pandangan-pandangan yang terpilih dalam keempat-empat mazhab.

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

  1. Subseksyen 34(2), Akta 505: “Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1)”.
  2. Subseksyen 37(5), Akta 505: “Apabila Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 34 dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu”.
  3. Subseksyen 34(1), Akta 505: “Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak”.
  4. Subseksyen 32(1), Akta 505: “Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis melantik orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan”.
  5. Seksyen 33, Akta 505: “Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini”.
  6. Subseksyen 34(3), Akta 505: “Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu...”.
  7. ‘Abd al-Karīm Zaydān (2001), “Uṣūl al-Da’wah”. Beirut: Muassasah al-Risāah, 169. والفتوى قد تتغيِّر بتغيُّر المكان والزمان، وهذا إذا كان الحكم الشرعي مبنيًّا على عرف بلد وتغيِّر هذا العرف، ولم يكن العرف الجديد مخالفًا للنصِّ الشرعي، أو كان الحكم الشرعي مبنيًّا على معنى معين وتغيِّر ذلك المعنى
  8. Subseksyen 36(1), Akta 505: “Mufti boleh meminda, mengubahsuaikan atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan sebelum itu olehnya atau oleh mana-mana Mufti terdahulu daripadanya”.
  9. Subseksyen 36(2), Akta 505: “Sesuatu pindaan, ubah suaian atau pembatalan sesuatu fatwa hendaklah disifatkan suatu fatwa dan subseksyen (3) dan (4) seksyen 4 dan subseksyen (2) seksyen 35 hendaklah terpakai baginya”.
  10. Subseksyen 39(1), Akta 505: “Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie”.
  11. Subseksyen 39(2), Akta 505: “Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali”.
  12. Subseksyen 39(3), Akta 505: “Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu”.