Pendahuluan
Keselamatan dan keamanan negara merupakan dua elemen asas yang saling melengkapi dalam memastikan kestabilan sesebuah negara. Keselamatan negara merujuk kepada perlindungan daripada sebarang bentuk ancaman fizikal, jenayah, keganasan dan gangguan terhadap kedaulatan negara, manakala keamanan pula merujuk kepada keadaan masyarakat yang harmoni dan bebas daripada konflik, ketegangan kaum, kekacauan serta pelbagai lagi perkara-perkara yang menggugat kesejahteraan masyarakat.
Keselamatan dan Keamanan Dari Perspektif Al-Quran dan Sunnah
Oleh kerana keselamatan dan keamanan merupakan aspek penting dalam memelihara kemaslahatan manusia, kedua-dua aspek ini sering kali ditekankan di dalam Al-Quran dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Hal ini dapat dilihat antaranya ketika Allah SWT menceritakan perihal orang Quraisy dan tradisi mereka yang melakukan rombongan perdagangan mereka secara tetap ke Syam pada musim panas dan ke Yaman pada musim sejuk. Lalu Allah SWT mengingatkan mereka untuk mensyukuri nikmat keamanan dan keselamatan yang membolehkan mereka berdagang dengan beribadah kepada Allah SWT yang mengurniakan kepada mereka keamanan tersebut. Firman Allah SWT:
فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ ﴿٣﴾ الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ ﴿٤﴾
Maksudnya: “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini, (3) Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. (4)”.
Surah Quraish (3-4)
Justeru itu Al-Quran melarang sekecil-kecil perbuatan seperti menghina atau merendahkan orang lain, dan perbuatan memanggil orang dengan gelaran yang buruk. Hal ini demikian kerana perkara-perkara ini adalah merupakan bibit-bibit yang akan membawa kepada perpecahan, dan seterusnya menggugat keselamatan dan keamanan negara. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim”.
Surah al-Hujurat (11)
Rasulullah SAW sendiri turut mengakui kepentingan keamanan dan keselamatan, seperti yang dapat difahami daripada sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh ‘Ubaydullah bin Muḥṣin RA:
مَن أصبحَ منكم آمنًا في سربِهِ ، مُعافًى في جسدِهِ عندَهُ قوتُ يومِهِ ، فَكَأنَّما حيزت لَهُ الدُّنيا
Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu yang bangun pada waktu pagi dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat tubuh badannya, dan memiliki makanan untuk hari itu, maka seolah-olah telah dikurniakan kepadanya seluruh dunia”.
[Riwayat al-Tirmizi]
Begitu besarnya nikmat keamanan dan keselamatan, sehinggakan Allah SWT menjanjikan salah satu daripada ganjaran kepada orang yang beriman adalah ganjaran keamanan yang tiada baginya sebarang ketakutan. Firman Allah SWT:
وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ ۖ فَمَنْ آمَنَ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita”.
Surah al-An’am (48)
Penjagaan Keselamatan dan Keamanan Sebagai Salah Satu Maqāṣid al-Sharīʻah
Bagi memastikan aspek keselamatan dan keamanan sentiasa terpelihara, banyak pensyariatan di dalam Islam yang didapati mempunyai kaitan dalam memelihara aspek keselamatan dan keamanan. Misalnya jika dilihat pada ibadah solat yang merupakan ibadah yang paling agung juga turut mempunyai kaifiat solat khusus yang disebutkan sebagai solat al-khauf, pada ketika ketiadaan keamanan dan keselamatan sedang terancam. Begitu pentingnya keamanan sehinggakan tata cara khusus dalam solat turut disyariatkan, seperti firman Allah SWT:
وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ
Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing...”.
Surah al-Nisa’ (102)
Jika dilihat pada ibadah zakat, didapati bahawa salah satu kategori penerima zakat ialah mereka yang diistilahkan sebagai “ibnu sabil”, yang merujuk kepada mereka yang bermusafir dan terputus bekalannya dalam pemusafiran tersebut. Justeru zakat disyariatkan untuk diserahkan kepada golongan ini demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan bagi mereka yang sedang bermusafir supaya mereka selamat tiba ke destinasi yang dituju.
Ibadah puasa yang dilihat seperti ibadah yang dilakukan secara individu juga, hakikatnya turut ada kaitannya dalam menjaga keamanan dan keselamatan. Hal ini seperti yang digambarkan oleh Rasulullah SAW ibadah puasa sebagai perisai yang dapat memelihara manusia daripada terjebak dengan pergaduhan yang boleh menjejaskan keamanan. Sabda Rasulullah SAW:
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فلا يَرْفُثْ ولَا يَجْهلْ، وإنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ: إنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: “Puasa itu adalah perisai. Maka janganlah seseorang itu berkata kotor dan jangan berlaku jahil. Jika seseorang memeranginya atau mencacinya, maka katakanlah: Sesungguhnya aku sedang berpuasa – sebanyak dua kali (mengulanginya)”.
[Muttafaq ‘Alayh]
Selain itu, kewajipan membayar zakat fitrah pada bulan Ramadan oleh setiap orang Islam mengikut syarat-syaratnya, juga bertujuan untuk turut menggembirakan golongan fakir dan miskin, bagi memastikan mereka turut bergembira ketika menyambut hari raya. Dengan yang demikian, masyarakat akan bertambah sejahtera, dan kemudiannya melahirkan keamanan dan keselamatan untuk semua, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata:
فرضَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ زَكاةَ الفطرِ طُهرةً للصَّائمِ منَ اللَّغوِ والرَّفثِ وطعمةً للمساكينِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan perkara keji, serta sebagai makanan untuk orang-orang miskinRasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkataan sia-sia dan perkara keji, serta sebagai makanan untuk orang-orang miskin”.
[Riwayat Abu Daud]
Begitu juga ibadah haji dan umrah turut diwajibkan ke atas orang Islam yang mencukupi syarat-syaratnya, antaranya ialah keamanan dan keselamatan dalam perjalanan pergi dan pulang untuk melaksanakan ibadah tersebut. Selain itu, orang yang sedang dalam keadaan ihram sama ada melakukan umrah atau haji dilarang untuk melakukan perkara-perkara yang membinasakan (itlaf) seperti memotong pokok, membunuh binatang buruan, dan lain-lain. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram...”.
Surah al-Maidah (95)
Justeru, keamanan dan kesejahteraan bukan hanya dinikmati oleh manusia sahaja, bahkan tumbuhan dan haiwan turut merasai keamanan tersebut.
Penggubalan Dasar-Dasar Keselamatan Semasa oleh Kerajaan Malaysia
Keselamatan negara merupakan elemen penting dalam menjamin kestabilan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia, keperluan terhadap dasar keselamatan yang bersifat holistik dan adaptif semakin mendesak susulan daripada kewujudan pelbagai ancaman moden pada masa kini seperti jenayah siber, ekstremisme dan cabaran keselamatan sosial. Sejajar dengan itu, pihak kerajaan telah merangka dan melaksanakan dasar-dasar keselamatan negara secara menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek keselamatan fizikal, digital dan sosial.
Antara dasar keselamatan yang utama ialah Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021–2025 yang digubal bagi memastikan kesiapsiagaan negara mendepani ancaman tradisional dan bukan tradisional. Dasar ini menekankan pendekatan “whole-of-government” dan “whole-of-society” dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan rakyat dan kelestarian kehidupan bernegara[1].
Selain itu, kerajaan juga telah memulakan proses semakan semula terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, termasuk peruntukan berhubung hak ikat jamin dan cadangan penubuhan Mahkamah Khas SOSMA. Langkah ini bertujuan menyeimbangkan keperluan keselamatan negara dengan hak asasi rakyat selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan[2].
Dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan badan penguatkuasaan, pihak kerajaan juga telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Belanjawan 2025. Peruntukan ini merangkumi pembangunan fasiliti baharu, pembelian aset keselamatan, latihan anggota serta kebajikan warga pasukan keselamatan[3].
Di samping itu, kerajaan turut menumpukan perhatian terhadap aspek keselamatan siber dan perlindungan kanak-kanak melalui program seperti Op Pedo dan kempen keselamatan digital yang diselaraskan oleh Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Inisiatif ini sejajar dengan matlamat memperkukuh keselamatan digital negara dalam era Revolusi Industri 4.0[4].
Secara keseluruhan, dasar-dasar keselamatan semasa yang digubal oleh pihak kerajaan semasa menonjolkan pendekatan yang strategik dan inklusif. Ia bukan sahaja memastikan keselamatan negara berada pada tahap optimum, malah mempamerkan komitmen kerajaan terhadap prinsip keadilan, ketelusan dan perlindungan hak asasi dalam kerangka Malaysia Madani.
Peranan Masyarakat Dalam Menyokong Dasar Keselamatan dan Keamanan Negara
a) Memahami Urus Tadbir oleh Kerajaan Berteraskan Maslahat Kepada Umum
Dalam sesebuah negara demokrasi, rakyat diberikan kebebasan dan ruang untuk memilih kepimpinan negara melalui proses pilihan raya yang sah. Pemimpin yang dilantik melalui proses ini memikul amanah serta tanggungjawab untuk mentadbir negara dengan adil dan berintegriti. Hal ini selaras dengan konsep amanah dalam Islam yang menuntut agar segala bentuk pelaksanaan dasar dan ketetapan oleh pihak pemerintah berpaksikan kepada kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara secara menyeluruh. Setiap dasar yang digubal perlu mengambil kira pelbagai aspek yang berkaitan dengan maslahat umum selaras dengan kaedah fiqh:
تصرف الإمام على الرعية منوط بالمصلحة
Maksudnya: "Pengurusan hal ehwal rakyat oleh pemimpin berteraskan kepada maslahat."
b) Memberikan Sokongan Terhadap Dasar Yang Menyumbang Manfaat Kepada Negara
Berdasarkan kaedah tersebut, masyarakat sewajarnya memberikan sokongan terhadap pelaksanaan dasar-dasar yang dirangka oleh kerajaan khususnya yang berkaitan dengan keselamatan dan keamanan negara. Hal ini kerana keamanan dalam sesebuah negara menjadi asas kepada pelbagai bentuk kemajuan lain termasuk kestabilan politik, meningkatkan keyakinan pelabur asing, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan sosial. Bahkan, usaha memelihara dan memperkukuh keamanan negara juga bertepatan dengan firman Allah SWT:
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
Maksudnya: "Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya."
Surah Hud (61)
c) Kepatuhan Kepada Pemimpin Dalam Hal Yang Tidak Bercanggah Dengan Syarak
Dalam ekosistem politik dan pentadbiran negara, wujud hubungan timbal balik antara pemimpin dan rakyat. Pemimpin bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, mendengar pandangan mereka dan menggubal dasar-dasar yang membawa manfaat kepada umum. Pada masa yang sama, rakyat pula bertanggungjawab mentaati dasar-dasar yang digubal oleh pemerintah selagi mana tidak bercanggah dengan syarak. Hubungan ini perlu berasaskan kepada keharmonian dan kerjasama agar matlamat lebih besar seperti keamanan dan kemakmuran negara dapat dicapai secara kolektif. Prinsip ini menerusi firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."
Surah al-Nisa' (59)
Sehubungan itu, peranan masyarakat dalam menyokong dan mempertahankan dasar-dasar keselamatan dan keamanan yang digubal oleh kerajaan adalah sangat penting. Hal ini bukan sahaja menjamin kejayaan pelaksanaan dasar tersebut, bahkan membantu dalam membina negara yang sejahtera. Pada masa yang sama, ruang semak dan imbang dalam demokrasi memberikan hak kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan secara harmoni dan bertanggungjawab, bukan dengan niat untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat atau mengejar kepentingan tertentu. Namun begitu, kebebasan tersebut mestilah dilaksanakan dalam kerangka ketaatan kepada pemerintah iaitu secara profesional dan harmoni, bukan sebaliknya bertujuan memecah belahkan masyarakat atau mempunyai kepentingan tertentu. Oleh itu, sokongan masyarakat terhadap pemerintah dalam perkara ini bertepatan dengan salah satu prinsip dalam maqasid syariah iaitu maqasid keamanan dan negara (maqasid al-amn).
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan dan perincian yang dikemukakan dalam artikel ini, perkara-perkara berikut dapat dirumuskan sebagai kesimpulan:
1. Keselamatan dan keamanan negara merupakan dua aspek penting bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.
2. Aspek keselamatan dan keamanan merupakan perkara yang dipelihara oleh syarak, sebagaimana yang dapat dilihat dalam pelbagai hikmah pensyariatan.
3. Penjagaan keselamatan dan keamanan negara perlu dilaksanakan secara bersama oleh seluruh masyarakat dengan memastikan setiap dasar dan polisi kerajaan dipatuhi.
Wallāhu A’lam.
Rujukan:
[1] "Dasar Keselamatan Negara", laman sesawang Majlis Keselamatan Negara. Putrajaya: Jabatan Perdana Menteri, diakses pada 06 Julai 2025. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/07/22/dkn-2021-2025-dasar-payung-keselamatan-negara/.
[2] “Kerajaan Teliti Semula SOSMA Demi Keselamatan Negara, Hak Asasi,” laman sesawang Kosmo! Online, diakses pada 06 Julai 2025, .https://www.kosmo.com.my/2025/02/15/kerajaan-teliti-semula-sosma-demi-keselamatan-negara-hak-asasi.
[3] “Keprihatinan Kerajaan Madani Meliputi Aspek Keselamatan dan Kebajikan Warga Pasukan,” laman sesawang Polis Diraja Malaysia, diakses pada 06 Julai 2025, https://www.rmp.gov.my/news-detail/2024/10/26/video-pilihan-belanjawan-2025-keprihatinan-kerajaan-madani-meliputi-pelbagai-aspek-keselamatan-fasiliti-dan-kebajikan-warga-pasukan.
[4] “Kerajaan Madani Terus Sokong Usaha Pastikan Keselamatan Kanak-Kanak – Fahmi,” laman sesawang Astro Awani, diakses pada 06 Julai 2025, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-madani-terus-sokong-usaha-pastikan-keselamatan-kanak-kanak-fahmi-501980.