اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-316: TOPENG DAKWAH: BILA AGAMA JADI ALAT POPULARITI DAN EKSPLOITASI

Topeng_Agama.jpg

Mukadimah

Dalam era digital dan ledakan media sosial hari ini dakwah Islam bukan sahaja tersebar lebih meluas bahkan menjadi sebahagian daripada kandungan harian dalam kehidupan masyarakat. Namun, fenomena ini turut menimbulkan persoalan penting antaranya: “Sejauh mana keikhlasan dalam menyampaikan dakwah dan apakah matlamat sebenar yang ingin dicapai?”. Malangnya terdapat segelintir individu yang menjadikan agama sebagai ‘topeng’ demi meraih populariti, pengaruh dan keuntungan peribadi. Mereka memanipulasi sentimen dan mengeksploitasi agama demi kepentingan duniawi sekaligus mencemarkan kesucian dakwah Islam yang sebenar.

Beberapa insiden telah dilaporkan melibatkan individu mengeksploitasi perwatakan warak dan beragama sebagai taktik penipuan. Mereka memperdaya orang ramai demi meraih keuntungan duniawi serta memenuhi hawa nafsu. Modus operandi pihak-pihak tersebut termasuk meminta dana pembinaan pusat pengajian dengan mengeksploitasi nama institusi agama demi meraih kepercayaan mangsa. Selain itu juga, terdapat individu menggunakan terma-terma pelaburan untuk menarik perhatian mangsa dengan janji keuntungan lumayan dalam masa yang singkat. Lebih parah lagi, bukan hanya aspek kewangan yang ditipu tetapi juga melibatkan hubungan seksual yang ditegah syarak.

Berhubungan dengan hal ini, Allah SWT memberi amaran dan larangan keras agar tidak mempergunakan ayat Allah SWT sebagai bahan eksploitasi dan meraih habuan duniawi semata sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلًا وَإِيَّايَ فَاتَّقُونِ

Maksudnya: “dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa”.

Surah al-Baqarah (41)

Kepentingan Tauliah Mengajar

Pihak berautoriti selaku pihak bertanggungjawab dalam mencegah penyelewengan agama adalah dengan mewujudkan permit tauliah. Inisiatif ini bertujuan menjaga maslahah umat iaitu mendatangkan manfaat dan menghalang kemudaratan kepada masyarakat. Sejajar dengan hadis Rasulullah SAW. Masyarakat wajib mentaati pemerintah dalam perkara kebaikan sebagaimana sabda Baginda SAW:

السَّمْعُ والطَّاعَةُ علَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيما أحَبَّ وكَرِهَ، ما لَمْ يُؤْمَرْ بمَعْصِيَةٍ، فإذا أُمِرَ بمَعْصِيَةٍ فلا سَمْعَ ولا طاعَةَ

Maksudnya: “Setiap muslim wajib mendengar dan mentaati arahan pemimpinnya sama ada dalam perkara-perkara yang disukai mahupun dibenci selagi mana arahan tersebut tidak menyuruh kepada maksiat. Tidak perlu mendengar dan mentaati arahan pemimpin yang menyuruh kepada melakukan maksiat.”

(Riwayat Bukhari)

Selain itu, terdapat juga kedah yang menyebut:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah”.

Dalam konteks pengajaran agama Islam, tauliah merujuk kepada kebenaran rasmi yang diberikan oleh pihak berkuasa agama (seperti Jabatan Mufti atau Majlis Agama Negeri) kepada seseorang untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat. Ia bukan semata-mata soal prosedur pentadbiran, tetapi berakar dalam prinsip maslahah, amanah ilmu dan penjagaan akidah umat Islam keseluruhannya.

Islam menekankan bahawa ilmu agama mesti disampaikan oleh mereka yang benar-benar berkelayakan. Sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tauliah memastikan hanya individu yang benar-benar berilmu, amanah dan bertauliah dibenarkan mengajar.Tauliah berperanan penting dalam mengawal selia individu yang mendakwa sebagai ustaz atau penceramah, sekali gus mengekang penularan ajaran sesat, ideologi radikal, dan fahaman liberal yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Waljamaah. Tanpa tauliah, risiko penyampaian ajaran yang menyeleweng, ekstrem atau tidak sahih akan berleluasa.

Bila Pakaian Agama Dijadikan Alat: Implikasinya kepada Masyarakat

Dalam masyarakat Islam, pakaian agama seperti jubah, serban, kopiah dan tudung labuh sering kali dikaitkan dengan simbol kesolehan, keilmuan dan kewibawaan seseorang dalam hal keagamaan. Namun, apabila pakaian agama dijadikan alat untuk meraih pengaruh, mengejar kepentingan duniawi atau memperdaya masyarakat, ia memberi kesan negatif yang besar dari sudut agama, sosial dan psikologi umat. Sekaligus ia membina satu naratif baharu yang tidak baik terhadap golongan asatizah yang benar-benar menyebarkan ilmu dan berakhlak mulia.

Apabila seseorang mengenakan pakaian yang melambangkan agama tetapi tidak mempamerkan akhlak Islam yang sejati, tindakan ini boleh dianggap sebagai penipuan simbolik terhadap masyarakat. Individu tersebut mungkin memanfaatkan penampilan luaran mereka untuk menanamkan kepercayaan palsu bahawa mereka memiliki autoriti dalam hal keagamaan, sedangkan pada hakikatnya, mereka tidak mempunyai kelayakan untuk menyampaikan ilmu atau dijadikan teladan. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Jauzi dalam karyanya Talbis Iblis.[1]

Elak Diri Daripada Perbuatan Yang Boleh Mengundang Fitnah

Umumnya, umat Islam hendaklah menghindari sesuatu perkara yang boleh mengundang fitnah, apatah lagi individu berpengaruh yang dipandang tinggi ilmu agamanya dan terkenal dalam kalangan masyarakat, sudah tentulah lebih lagi perlu menjaga diri daripada perkara berikut. Hal ini sebagaimana yang dinasihatkan oleh Saidina Umar al-Khattab kata beliau:

مَنْ أَقَامَ نَفْسَهُ مَقَامَ التُّهْمَةِ فَلَا يَلُومَنَّ من أَسَاءَ بِهِ الظَّن

Maksudnya: “Sesiapa yang meletakkan dirinya pada tempat yang boleh menimbulkan tohmahan, maka janganlah dia menyalahkan orang lain yang berburuk sangka terhadap dirinya”.[2]

Berdasarkan kenyataan Saidina Umar, terdapat satu kaedah dalam syarak yang melarang umatnya daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan fitnah, kaedah tersebut seperti berikut:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan”.[3]

Justeru, menjauhi diri daripada terjebak dalam perbuatan yang boleh mengundang fitnah merupakan salah satu konsep dalam maqasid tadayyun iaitu mendidik manusia beriman untuk membentuk kehidupan yang lebih baik. Individu yang berjaya mengelakkan diri daripada menimbulkan tohmahan terhadap dirinya, maka dia telah berjaya menjaga dirinya dengan berakhlak mulia dan beramanah selaku individu yang beragama.

Sebagai kesimpulan, fenomena menjadikan agama sebagai alat untuk meraih populariti dan kepentingan duniawi merupakan satu bentuk penyalahgunaan terhadap amanah dakwah dan berdosa. Islam adalah agama yang suci dan tidak sepatutnya dieksploitasi untuk tujuan yang menyeleweng apatah lagi melalui penipuan, manipulasi keagamaan dan penyampaian ilmu tanpa tauliah dan kebenaran pihak berautoriti.

Dalam masyarakat yang semakin celik maklumat, sebarang penyalahgunaan imej agama bukan sahaja menjejaskan imej Islam itu sendiri malah membuka ruang kepada fitnah dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sebagai langkah penting bagi menghindarkan kekeliruan dan penyelewengan agama dalam kalangan masyarakat demi menjaga syariat Islam.

Penguatkuasaan sistem tauliah dan pemantauan oleh pihak berautoriti adalah langkah penting untuk memastikan hanya individu yang benar-benar berkelayakan dan berintegriti dibenarkan menyampaikan ilmu agama. Bahkan ia selari dengan konsep fiqh hisbah dalam Islam yang menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Menurut Dr. Abdullah Muhammad Abdullah dalam karyanya Wilayah al-Hisbah fi al-Islam mengatakan:

“Perintah untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan asas yang menyeluruh bagi semua bentuk hisbah (pengawasan sosial) dalam Islam. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk akidah, perundangan, akhlak dan juga ekonomi.”[4]

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu berhati-hati dalam menilai sumber dakwah tidak hanya melihat kepada penampilan luaran tetapi menilai pada kandungan dan kelayakan sebenar.

Wallahu’alam

[1] Ibn al-Jauzi, Talbis Iblis (Beirut: Dar al-Fikr, 2001), hlm. 101.

اعلم أن إبليس يدخل عَلَى الناس فِي التلبيس من طرق منها ظاهر الأمر ولكن يغلب الإنسان فِي إيثار هواه فيغمض عَلَى علم يذلله ومنها غامض وَهُوَ الذي يخفى عَلَى كثير من العلماء ونحن نشير إِلَى فنون من تلبيسه يستدل بمذكورها عَلَى مغفلها إذ حصر الطرق يطول وَاللَّه العاصم.

[2] Abu Bakr Muhammad bin Ja’far al-Kharaiti al-Samiri, al-Muntaqa min Kitab Makarim al-Akhlak wa Ma’aliha wa Mahmud Taraiquha. (Damsyik: Dar al-Fikr, 1406H) Hlm. 105

[3] Isma ‘il al-‘Ajluni, Kasyfu al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas ‘amma Usytuhira min al-Ahadith ‘ala Alsinah al-Nas (Kaherah: Maktabah al-Qudsi,1451H). Jld. 1 Hlm. 44

(‌اتقوا ‌مواضع ‌التهم) ذكره في الإحياء وقال العراقي في تخريج أحاديثه لم أجد له أصلا لكنه بمعنى قول عمر من سلك مسالك الظن اتهم ورواه الخرائطي في مكارم الأخلاق مرفوعا بلفظ من أقام نفسه مقام التهم فلا يلومن من أساء الظن به

[4] Abdullah Muhammad Abdullah, Wilayah al-Hisbah fi al-Islam (versi pdf, tanpa cetakan), hlm. 68.

والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر أصل جامع لكل أعمال الحسبة في الإسلام يشمل الجوانب المختلفة في العقيدة والتشريع والأخلاق والإقتصاد.