PENDAHULUAN
Buli ditakrifkan sebagai perlakuan yang bersifat menindas, mendera atau mempermainkan individu yang dianggap lemah dengan tujuan untuk menggertak, mencederakan, merendahkan atau menekan mangsa agar tunduk kepada sesuatu keadaan. Ia merangkumi bentuk fizikal, lisan, emosi dan digital serta lazimnya dilakukan secara berulang dengan niat untuk mewujudkan dominasi atau pengaruh ke atas mangsa.[1] Di sebalik tindakan agresif ini, tersembunyi hakikat yang lebih dalam iaitu kehilangan nilai rahmah dalam diri pelaku dan ketempangan sistem sosial serta pendidikan yang tidak stabil membentuk kemanusiaan. Salah laku buli bukan sekadar kesalahan peribadi, tetapi merupakan cerminan kepada jiwa yang keras, tiada empati dan terputus daripada nilai belas kasihan yang menjadi asas kesejahteraan insan.
Kecenderungan kepada perbuatan membuli seringkali berpunca daripada kerosakan pada empat faktor asas: keluarga, individu, persekitaran dan pengaruh media. Ketandusan kasih sayang, kelemahan bimbingan akhlak, desakan rakan sebaya serta pendedahan kepada elemen ganas melalui media massa telah menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam menyemai sifat ihsan dan rahmah dalam kalangan generasi muda.[2] Situasi ini menjadi lebih membimbangkan apabila sistem pendidikan lebih menekankan pencapaian teknikal berbanding pembangunan sahsiah dan rohani, manakala masyarakat pula semakin hilang sensitiviti terhadap gejala yang sedang menghakis nilai insani.
Fenomena buli dalam konteks ini tidak wajar dianggap sebagai salah laku terpencil, sebaliknya mencerminkan keretakan mendalam dalam sistem nilai masyarakat. Lebih merisaukan, gejala ini sedang menyuburkan kelompok generasi yang kehilangan empati, bersikap agresif dan berisiko membawa kerosakan apabila memegang tampuk kepimpinan kelak. Isu ini menuntut perhatian serius kerana ia tidak hanya berkaitan disiplin atau tatakelakuan bahkan merupakan ancaman besar terhadap keseimbangan sosial dan kesinambungan kepimpinan negara yang berpaksikan nilai akhlak dan keinsanan. Sekiranya tiada tindakan bersepadu yang berteraskan pendidikan rohani dan nilai rahmah, budaya buli akan terus berakar dan melemahkan asas peradaban bangsa.
CERMINAN JIWA KERAS DAN KETIDAKSTABILAN SISTEM MENYEMAI RAHMAH
Fenomena buli yang membarah dalam masyarakat hari ini bukanlah sekadar masalah tingkah laku individu, tetapi merupakan petunjuk kepada ketidakstabilan dalam membentuk jiwa yang sejahtera. Apabila sistem sosial dan pendidikan tidak lagi menekankan nilai kasih sayang, kelembutan hati dan penghormatan terhadap sesama insan, maka lahirlah generasi yang kehilangan arah dan tidak mengenal makna rahmah. Ketiadaan sifat ini menjadikan manusia cenderung untuk menyakiti, menghina dan menindas orang lain demi kepentingan diri. Dalam masyarakat sebegini, kekerasan dianggap kelebihan dan kelembutan dipandang kelemahan. Oleh yang demikian, memahami punca kerosakan ini adalah langkah penting dalam merawat gejala buli yang bukan sahaja merosakkan individu, malah menggugat kesejahteraan ummah dan mencalar nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada keadilan dan rahmat dalam Islam. Nabi SAW bersabda:
لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ
Maksudnya: “Rasa rahmah iaitu kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji).”
(Riwayat Abu Daud)
Hadis ini menjelaskan bahawa rahmah atau belas kasihan tidak akan dicabut kecuali daripada hati orang yang celaka. Kelembutan hati adalah tanda keimanan dan ketiadaannya menunjukkan kecacatan iman. Maka, sesiapa yang hatinya keras dan tidak memiliki rasa belas kasihan, dia tergolong dalam kalangan orang yang celaka serta terhalang daripada rahmat Allah SWT.[3] Apabila Allah SWT menghendaki untuk melimpahkan rahmat kepada seorang hamba, maka Dia akan menyemai dalam hatinya benih kasih sayang dan belas ihsan. Sebaliknya, jika Allah SWT menghendaki untuk menimpakan azab, maka dicabutlah rahmah daripada dalam hatinya dan digantikan pula dengan kekasaran dan kekerasan yang membutakan nurani serta mematikan rasa kemanusiaan.[4]
Hadis ini menjelaskan bahawa ketiadaan rahmah dalam hati adalah petanda kecelakaan serta keterputusan seseorang daripada rahmat Allah SWT. Jiwa yang keras dan tidak mengenal belas kasihan mudah terdorong kepada penindasan, termasuk dalam bentuk perbuatan membuli dan menyakiti sesama insan. Fenomena ini merupakan refleksi ketidakstabilan sistem sosial dalam melahirkan individu yang berakhlak dan memiliki hati nurani yang hidup. Antara aspek penting yang paling terkesan ialah sistem pendidikan yang seharusnya menjadi medan utama untuk menyemai nilai kasih sayang dan membentuk peribadi insan secara menyeluruh melalui penggabungan aspek rohani, akal dan emosi. Ketidakstabilan pendidikan untuk menanamkan kefahaman agama yang membentuk watak dan tanggungjawab diri serta kerapuhan membina budaya masyarakat yang berasaskan belas ihsan dan saling menghormati telah melemahkan keupayaan membentuk tamadun yang sejahtera. Sebaliknya, apabila pendidikan terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik dan pengurusan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan semakin terpinggir. Keadaan ini membawa kepada ketandusan empati dan membuka ruang kepada budaya kekerasan yang akhirnya menghakis kemuliaan insan dalam kalangan generasi muda.
ANCAMAN KEPADA SOSIAL DAN KEPIMPINAN NEGARA
Dalam membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni, nilai kasih sayang atau rahmah merupakan asas utama yang tidak boleh diketepikan. Ia bukan sekadar sifat peribadi yang mulia, bahkan merupakan tonggak utama dalam hubungan sosial yang adil dan penuh belas kasihan. Tanpa rahmah, masyarakat akan kehilangan roh kemanusiaan yang menjadi pemangkin kepada kesejahteraan bersama. Oleh yang demikian, Islam amat menekankan penghayatan rahmah dalam kehidupan seharian, bukan sahaja sebagai tuntutan akhlak, bahkan sebagai syarat untuk meraih rahmat Allah SWT. Nilai ini digariskan secara jelas dalam banyak nas al-Quran dan hadis, termasuk sebuah hadis yang menyentuh secara langsung implikasi besar terhadap kehidupan sosial apabila rahmah diabaikan seperti:
مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi.”
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas menyatakan bahawa sekiranya nilai rahmah tidak menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat, maka yang akan lahir ialah masyarakat yang keras hati, mementingkan diri dan tidak peduli terhadap penderitaan orang lain. Ketiadaan sifat belas kasihan akan membuka ruang kepada pelbagai bentuk kezaliman dan penganiayaan, termasuklah perbuatan membuli, menyakiti serta merendahkan martabat orang yang lebih lemah. Dalam suasana begini, tiada lagi usaha untuk membantu orang susah, menyelamatkan nyawa, menenangkan orang yang terdesak atau memenuhi keperluan golongan yang memerlukan. Akibatnya, masyarakat akan kehilangan jiwa kemanusiaan dan terdedah kepada kemurkaan Allah SWT kerana mengabaikan tanggungjawab sosial yang dituntut dalam agama.[5]
Hadis di atas juga menjelaskan bahawa ketiadaan sifat rahmah dalam hati manusia memberi kesan besar kepada keseimbangan sosial. Apabila seseorang tidak lagi mempunyai belas kasihan terhadap golongan lemah, miskin atau kanak-kanak, maka hubungan antara individu akan terjejas dan masyarakat menjadi lebih keras, tidak peduli serta mudah terjerumus dalam kekejaman. Dalam masyarakat yang kehilangan nilai kasih sayang, si kuat tidak lagi melindungi yang lemah dan si kaya tidak mempedulikan nasib yang miskin. Sebaliknya, akan lahir budaya menindas, meminggir dan mengeksploitasi, yang akhirnya membawa kepada keretakan institusi sosial dan menyuburkan perpecahan dalam komuniti. Fenomena ini menjadi tanda kerosakan nilai insani yang seharusnya menjadi asas kesejahteraan hidup bermasyarakat.[6]
Budaya buli masa kini tidak lagi terbatas kepada institusi persekolahan, malah telah merebak ke pusat pengajian tinggi melalui tekanan pelajar senior, kemudian tempat kerja melalui penyalahgunaan kuasa dan seterusnya ruang digital melalui cercaan serta gangguan siber. Penularan gejala ini mencerminkan ketiadaan sifat rahmah serta kerapuhan membentuk individu yang benar-benar memahami nilai kasih sayang, harga diri dan penghormatan terhadap sesama manusia. Keadaan ini bukan sahaja menggambarkan kemerosotan nilai sosial, malah menandakan tergugatnya fungsi agama dalam membina peribadi yang berakhlak dan amanah. Dalam masa yang sama, ia turut melemahkan asas pembinaan masyarakat bertamadun yang sepatutnya diasaskan atas rasa belas ihsan dan saling menyantuni. Oleh itu, usaha menyuburkan nilai rahmah dalam institusi keluarga, pendidikan dan kepimpinan wajar dianggap sebagai langkah mendesak dalam memulihkan semula jalinan sosial serta memacu pembangunan bangsa yang berteraskan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab bersama.
Ketiadaan sifat rahmah dalam kalangan generasi muda masa kini memberi petanda jelas terhadap ancaman serius ke atas masa depan kepimpinan dan kestabilan negara. Golongan ini sedang dibentuk dalam suasana yang secara tidak langsung membenarkan budaya penindasan berlaku, sama ada melalui perbuatan fizikal, tekanan emosi ataupun serangan dalam ruang digital. Keadaan ini berisiko melahirkan barisan pemimpin yang tidak empati, keras hati dan jauh daripada sifat belas kasihan. Fenomena tersebut bukan sekadar menjejaskan kesejahteraan rakyat, malah menunjukkan bahawa nilai-nilai agama sebagai panduan akhlak dan asas kepimpinan telah kurang difahami dan dihayati dengan berkesan. Dalam konteks yang lebih luas, gejala buli turut menghalang terbentuknya masyarakat yang adil, penyayang dan bertanggungjawab, seterusnya melemahkan asas pembangunan peradaban yang seimbang. Sekiranya budaya buli tidak ditangani secara menyeluruh dan berkesan, negara akan berdepan dengan generasi pemimpin yang hilang pedoman nilai serta tidak berupaya memimpin masyarakat ke arah kemajuan yang bermaruah dan sejahtera.
PENUTUP
Sebagai sebuah masyarakat yang berteraskan nilai rahmah dan keadilan, isu buli tidak boleh lagi dilihat sebagai kes terpencil atau sekadar masalah disiplin pelajar. Ia adalah manifestasi kepada keretakan dalaman sistem yang lebih besar iaitu kelemahan sistem pendidikan dalam membentuk akhlak, kekaburan peranan sosial dalam mendidik serta kerapuhan menanam roh keagamaan dan adab dalam diri insan. Ketiadaan rahmah menjadi petunjuk kepada kekosongan jiwa daripada cahaya iman dan kefahaman agama yang benar. Jiwa yang gersang ini mudah terdorong kepada tindakan menindas, menyakiti dan memutuskan hubungan sesama insan yang sepatutnya didasari kasih sayang dan saling menghormati.
Dalam kerangka Islam yang menyeluruh, setiap bentuk penguatkuasaan undang-undang mesti difahami bukan hanya sebagai pendekatan teknikal, tetapi sebagai manifestasi maqasid syariah dalam melindungi maruah, akal, jiwa dan kestabilan masyarakat. Tindakan kerajaan melalui pindaan undang-undang berkaitan buli adalah selaras dengan kehendak syarak yang menolak kezaliman dan memastikan kesejahteraan sosial. Namun demikian, undang-undang tidak akan berkesan sepenuhnya tanpa disokong oleh proses pendidikan nilai yang berterusan iaitu bermula daripada rumah, diperkuat di sekolah dan didukung oleh masyarakat yang membina kekuatan agama dalam hati dan membentuk kemanusiaan yang menyumbang kepada tamadun yang luhur.
Sehubungan dengan itu, penyelesaian isu buli menuntut pendekatan menyeluruh yang menggabungkan ketegasan pelaksanaan undang-undang dengan agenda pembinaan nilai yang merangkumi aspek kerohanian, moral dan kemanusiaan. Keberkesanan usaha ini bergantung kepada kesepaduan antara sistem perundangan yang adil, dasar pendidikan yang membina sahsiah secara holistik serta jaringan sosial yang berperanan aktif dalam membentuk budaya masyarakat yang peduli dan saling menghormati. Pengukuhan nilai agama dalam kehidupan serta penghayatan budaya kasih sayang dan empati merupakan asas kepada pembinaan sebuah masyarakat yang beradab, seimbang dan bertanggungjawab. Rahmah dan ihsan bukan sekadar ajaran akhlak, bahkan menjadi teras kepada keadilan dan pencegahan kezaliman, sekali gus menjamin lahirnya generasi yang matang dalam kepimpinan, luhur dalam tindakan dan menyumbang kepada kelestarian tamadun yang bermaruah.
Wallahu a'lam.
Rujukan:
[1] Dewan Bahasa dan Pustaka. "Buli." Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diakses 30 Jun 2025. https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=buli&d=175768&.
[2] Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia, Bilangan 12 Tahun 2023, “Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia 1.1,” diakses 13 Julai 2025, Kementerian Pendidikan Malaysia, https://www.moe.gov.my/storage/files/shares/Aduan%20Buli/SPI%20KPM%20Bilangan%2012%20Tahun%202023%20Pelaksanaan%20Garis%20Panduan%20Pengurusan%20Salah%20Laku%20Buli%20di%20Institusi%20Pendidikan%20bawah%20Kementerian%20Pendidikan%20Malaysia%201.1.pdf.
[3] Sharf al-Dīn al-Ṭībī, Sharḥ al-Ṭībī ʿalā Mishkāt al-Maṣābīḥ al-Musammā bi al-Kāshif ʿan Ḥaqāʾiq al-Sunan, (Makkah al-Mukarramah – Riyāḍ: Maktabat Nizār Muṣṭafā al-Bāz, 1417H/1997M), 10: 3184. Teks asal:
وقوله: ((لا تنزع الرحمة إلا من شقى))؛ لأن الرحمة في الخلق رقة القلب، والرقة في القلب علامة الإيمان، فمن لا رقة له لا إيمان له، ومن لا إيمان له شقى، فمن لا يرزق الرقة شقى
[4] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, al-Rūḥ, (Beirut: Dār Ibn Ḥazm, 1440 AH / 2019), 2: 700. Teks asal:
والله سبحانه إذا أراد أن يرحم عبدًا أسكن في قلبه الرأفة والرحمة، وإذا أراد أن يعذِّبه نزع من قلبه الرحمة والرأفة، وأبدله بهما الغلظة والقسوة.
[5] ʿIyāḍ ibn Mūsā ibn ʿIyāḍ al-Yahṣubī al-Sabtī, Ikmāl al-Muʿlim bi-Fawāʾid Ṣaḥīḥ Muslim, (Egypt: Dār al-Wafāʾ, 1419H/1998M), 7: 282-283. Teks asal:
إنما هو على عموم الرحمة المشروعة، كما قال فى الحديث الآخر: " من لا يرحم الناس لا يرحمه الله "، وكما قال:" إنما يرحم الله من عباده الرحماء " (١) " ارحموا من فى الأرض يرحمكم من فى السماء " (٢). ومن الرحمة واجبة؛ وهى كف الأذى عن المسلمين، وإغاثة الملهوف، وفك العانى، وإحياء المضطر، واستنقاذ الغريق، والواقع فى هلكته وتسميته. ومن ذلك: سد خلة الضعفاء والفقراء من الواجبات، فهذا كله من لم يرد حق الله فيه عافية الله ومنعه رحمته إذا أنفذ عليه وعيده، إن شاء عفا عنه وسمح له بفضل رحمته وسعتها.
[6] Aḥmad ibn Ḥusayn ibn ʿAlī ibn Ruslān al-Maqdisī al-Ramlī al-Shāfiʿī, Sharḥ Sunan Abī Dāwūd, (Egypt: Dār al-Falāḥ li’l-Baḥth al-ʿIlmī wa-Taḥqīq al-Turāth, 1437H/2016M), 19: 559. Teks asal:
(فقال: إن لي عشرة من الولد ما فعلت هذا بواحد منهم) لفظ "الصحيحين": ما قبلت واحدًا منهم (١) (فقال رسول اللَّه -صلى اللَّه عليه وسلم-: من لا يرحم لا يُرحم) بالجزم فيهما شرطًا وجوابه، ولمسلم: "من لا يرحم الناس لا يرحمه اللَّه" (٢) وحكمة هذِه الرحمة تسخير القوي للضعيف، والكبير للصغير، والغني للفقير، حتى يحفظ نوعه وتتم مصلحته، وذلك تدبير اللطيف الخبير، فمن خلق اللَّه في قلبه الرحمة الحاملة على الرفق فذلك علامة على رحمة اللَّه له في تلك الحال والمآل، ومن سلب اللَّه الرحمة من قلبه وابتلاه بنقيض ذلك من القسوة والغلظة فلم يرفق بضعيف ولا رحم صغيرًا (٣) فذلك علم على شقوته في تلك الحال والمآل.