Soalan
Assalamualaikum. SS Mufti, saya ingin bertanya, adakah perlu untuk saya bertahan dalam perkahwinan sehingga memberi kesan penderitaan kepada emosi dan mental saya. Sedangkan, ramai kata cerai perkara yang dibenci dan minta saya bersabar. Saya rasa itu satu solusi terakhir untuk saya keluar daripada hubungan penuh dengan toksik.
Ringkasan Jawapan
Dalam Islam, perceraian dibenarkan apabila berlaku pertelingkahan yang berpanjangan (syiqaq). Solusi ini dilihat apabila pihak suami diberi kuasa talak sementara pihak isteri mempunyai pilihan dengan cara memohon khulu’ (tebus talak) melalui perantaraan hakam mahupun fasakh. Proses perceraian secara baik adalah dengan mengikut prosedur undang-undang agar ia dilakukan secara beradab dan terhormat demi menjaga kemaslahatan kedua-dua belah pasangan.
Fuqaha’ membahagikan hukum-hakam penceraian kepada empat iaitu wajib, sunat, makruh dan haram berdasarkan kemaslahatan pasangan mengikut situasi berikut:
- Wajib menjatuhkan talak apabila berlaku pertelingkahan berpanjangan (syiqaq) dan perlu kepada lantikan hakam sebagai penimbang tara oleh mahkamah. Hakim memutuskan penceraian sebagai kemaslahatan pasangan.
- Sunat menjatuhkan talak apabila pasangan telah mengabaikan haknya dalam perkahwinan atau pasanagan tidak menjaga kesucian batasan syariat, maka penceraian adalah jalan terbaik kerana dikhuatiri akan bertambah perselisihan antara pasangan.
- Makruh menjatuhkan talak apabila hubungan antara suami isteri masih baik dan suami tidak membenci akhlak mahupun rupa paras isterinya. Selain itu, isteri meminta cerai tanpa hajat keperluan dan tiada alasan munasabah.
- Haram menjatuhkan talak apabila suami melafazkan cerai ketika isteri dalam keadaan haid yang dikategori sebagai talak bid'i ataupun suami menjatuhkan talak ketika keadaan isterinya suci selepas disetubuhi, sebelum jelas sama ada dia hamil atau tidak.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Dalil berkaitan Cerai
Perkahwinan merupakan satu bentuk ibadah yang menjadi medan menuai pahala dalam menjalankan amanah. Islam memberi jalan keluar bagi sesebuah perkahwinan yang gagal mencapai ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Solusi ini dilihat apabila pihak suami diberi kuasa talak, sementara pihak isteri mempunyai pilihan dengan cara memohon khulu’ (tebus talak), fasakh (pembubaran perkahwinan) mahupun kuasa hakam. Perceraian merupakan jalan terakhir bagi pasangan setelah mempertimbangkan semua aspek dan implikasi yang mungkin timbul sekiranya perkahwinan diteruskan. Hal ini termasuklah berusaha sehabis daya untuk menyelamatkan dan mempertahankan rumah-tangga. Dalam hal ini, perceraian dibenarkan dengan cara yang baik dan terhormat berdasarkan firman Allah SWT:
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ ۚ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِّتَعْتَدُوا ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ وَلَا تَتَّخِذُوا آيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا ۚ
Maksudnya: “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan)”.
Surah Al-Rum: (2)
Hukum - Hakam Penceraian
Para ulama membahagikan hukum talak kepada empat kategori iaitu haram, makruh, wajib dan sunat (dianjurkan) tertakluk kepada situasi berikut: [1]
- Hukum Talak menjadi wajib:
Pertelingkahan berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan (syiqaq) perlu kepada lantikan hakam sebagai penimbang tara oleh mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian. [2] Apabila hakim melihat bahawa perceraian adalah untuk kemaslahatan mereka, maka talak menjadi wajib. Selain itu, apabila selama empat bulan isteri tidak dapat menerima haknya dan tuntutan hak isteri diabaikan, maka talak boleh dilaksanakan oleh hakim dengan talak raj’i. [3]
Apabila rumahtangga bukan lagi tempat selamat dan ruang yang mendamaikan, sebaliknya ia hanya medan yang menimbulkan penderitaan jiwa serta tekanan emosi dan mudarat yang berterusan, maka hukum perceraian boleh menjadi wajib demi mengelakkan mudarat yang lebih besar. Situasi yang menimbulkan penderitaan ini jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan pencegahan mudarat sama ada dari sudut fizikal mahupun mental selaras dengan kaedah fiqh:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudaratan hendaklah dihilangkan”
- Hukum Makruh Talak:
Apabila hubungan antara suami isteri berjalan dengan baik dan suami tidak membenci akhlak mahupun rupa paras isterinya. Talak yang dilafazkan ketika rumahtangga masih stabil termasuk perbuatan yang makruh dan perkara yang dibenci.[4] Hal ini selari dengan sabda Nabi ﷺ:
أبْغض الْحَلال إِلَى الله الطَّلاق
Maksudnya: “Perkara yang paling dibenci Allah adalah Talak”
Riwayat Abu Daud (2178)
Abu Daud dalam Syarah Sunan menyatakan hadis ini menunjukkan bahawa talak hanya dilakukan apabila berhajat kepada keperluan dan seorang wanita yang menuntut talak tanpa sebab munasabah mendapat peringatan keras iaitu dibenci oleh Allah.[5]
- Hukum Sunat Talak:
Apabila pasangan telah mengabaikan haknya dalam perkahwinan maka adalah lebih baik baginya untuk menceraikannya kerana dikhuatiri akan bertambah perselisihan antara pasangan. Selain itu, talak dianjurkan demi kemaslahatan apabila isteri tidak lagi menjaga kesucian agama atau salah seorang daripada mereka khuatir tidak dapat menegakkan syariat Allah. [6] Mafhum hadis berkaitan talak itu dibenci adalah khusus untuk penceraian tanpa keperluan hajat yang tiada alasan munasabah. Sebaliknya, apabila terdapat keperluan terhadap perceraian dan wujud perkara yang menuntut berlakunya perceraian itu, maka kebaikan sebenarnya terletak pada perceraian tersebut, Oleh itu, perceraian menjadi sesuatu yang disukai bukan dibenci. Talak dianjurkan pabila padanya terdapat jalan keluar daripada masalah serta ketidaksefahaman. [7]
- Hukum Haram Talak:
Suami menjatuhkan talak ketika isteri dalam keadaan haid atau nifas yang dikategori sebagai talak bid'i ataupun suami menjatuhkan talak ketika keadaan isterinya suci selepas disetubuhi, sebelum memastikan isterinya hamil atau tidak. Pengharaman talak ketika haid kerana tempoh iddahnya menjadi panjang dan kiraan mula dihitung apabila ketika isteri dalam keadaan suci. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِذَا طَلَّقۡتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحۡصُواْ ٱلۡعِدَّةَۖ
Maksudnya:” Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya”
Surah al-Talaq: (1)
Maksud menceraikan isteri pada masa yang membolehkan untuk memulakan idah adalah pada ketika isteri dalam keadaan suci tanpa melakukan persetubuhan yang berkemungkinan isteri boleh mengandung. [8] Seterusnya, implikasi cerai ketika isteri dalam keadan haid menyebabkan terjejas tempoh idahnya, ia akan menjadi panjang kerana masa haid tidak dikira sebagai sebahagian daripada tempoh iddah. [9] Status lafaz talak yang dijatuhkan ketika haid adalah sah, namun haram hukumnya. [10] Al-Nawawi menyatakan talak yang haram berlaku dalam tiga keadaan:
- Menceraikan isteri ketika haid tanpa redanya.
- Menceraikan isteri ketika suci setelah bersetubuh sebelum diketahui sama ada ia mengandung atau tidak.
- Jika suami berpoligami dan menceraikan salah seorang isteri sebelum menunaikan pembahagian hak isterinya ia termasuk talak haram kerana menyalahi prinsip keadilan.[11]
Kesimpulan
- Perkahwinan seharusnya menjadi tempat berlindung dan menuai kebahagian. Maqasid perkahwinan bagi mencapai mawaddah, sakinah dan rahmah dan wasilah mencapai reda-Nya.
- Kedua-dua pihak perlu memiliki ilmu dan kemahiran dalam mengurus perbalahan dengan mengenal pasti ruang untuk memperbaiki hubungan pasangan. Selain itu, pasangan perlu menanam sifat sabar dan toleransi dalam menerima kekurangan serta perbezaan antara satu sama lain agar dapat saling melengkapi.
- Sekiranya dalam hubungan suami isteri yang wujud hanyalah penderitaan jiwa dan sakit emosi, maka Islam memberi solusi kepada perceraian sebagai jalan keluar demi memelihara kemaslahatan serta maruah kedua-dua pihak dengan memberikan kuasa talak kepada suami serta hak menuntut fasakh dan khulu’ kepada isteri melalui perantaraan hakam.
[1]Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1392)Jilid 10, Halamn 62
قَالَ أَصْحَابُنَا الطَّلَاقُ أَرْبَعَةُ أَقْسَامٍ حَرَامٌ وَمَكْرُوهٌ وَوَاجِبٌ وَمَنْدُوبٌ وَلَا يَكُونُ مُبَاحًا مُسْتَوِيَ الطَّرَفَيْنِ
[2] Asyirazi. Abu Ishaq Ibrahim. Muhadzzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie (Dar al-Kutub Ilmiyah ) Jld 3 hlm 5&6
فصل: ويقع الطلاق على أربعة أوجه: واجب ومستحب ومحرم ومكروه فأما الواجب فهو في حالتين: أحدهما: إذا وقع الشقاق ورأى الحكمان الطلاق وقد بيناه في النشوز والثاني: إذا آلى منهما ولم يفئ إليهما ونذكره في الإيلاء إن شاء الله تعالى
وأما المستحب فهو في حالتين: إحداهما إن كان يقصر في حقها في العشرة أوفي غيرها فالمستحب أن يطلقها لقوله عز وجل: {فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ} [الطلاق: 2] ولأنه إذا لم يطلقها في هذه الحال لم يؤمن أن يفضي إلى الشقاق أو إلى الفساد والثاني: أن لا تكون المرأة عفيفة فالمستحب أن يطلقها لما روي أن رجلاً أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: إن إمرأتي لا ترد يد لامس فقال النبي صلى الله عليه وسلم: "طلقها". ولأنه لا يأمن أن تفسد عليه الفراش وتلحق به نسبا ليس منه.
فصل: وأما المحرم فهو طلاق البدعة وهو إثنان: أحدهما: طلاق المدخول بها في حال الحيض من غير حمل والثاني: طلاق من يجوز أن تحبل في الطهر الذي جامعها فيه قبل أن يستبين الحمل
[3] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1392)Jilid 10, Halamn 62
فَأَمَّا الْوَاجِبُ فَفِي صُورَتَيْنِ وَهُمَا فِي الْحَكَمَيْنِ إِذَا بَعَثَهُمَا الْقَاضِي عِنْدَ الشِّقَاقِ بَيْنَ الزَّوْجَيْنِ وَرَأَيَا الْمَصْلَحَةَ فِي الطَّلَاقِ وَجَبَ عَلَيْهِمَا الطَّلَاقُ وَفِي الْمُولِي إِذَا مَضَتْ عَلَيْهِ أَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ وَطَالَبَتِ الْمَرْأَةُ بِحَقِّهَا فَامْتَنَعَ مِنَ الْفَيْئَةِ وَالطَّلَاقِ فَالْأَصَحُّ عِنْدَنَا أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْقَاضِي أَنْ يُطَلِّقَ عَلَيْهِ طَلْقَةً رَجْعِيَّةً
[4] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1392)Jilid 10, Halamn 62
وَأَمَّا الْمَكْرُوهُ فَأَنْ يَكُونَ الْحَالُ بَيْنَهُمَا مُسْتَقِيمًا فَيُطَلِّقَ بِلَا سَبَبٍ وَعَلَيْهِ يُحْمَلُ حَدِيثُ أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقُ
[5] Syarah Sunan Abi Daud Li Ibad Jilid 3, Halamn 255
، وهذا يبين أن الطلاق إنما يُصار إليه للحاجة، وأن المرأة إذا سألت الطلاق من غير الحاجة فهي متوعَّدة بهذا الوعيد الشديد.
[6] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Muhyi Ad-Din, Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1392)Jilid 10, Halamn 62
هُوَ أن لا تَكُونَ الْمَرْأَةُ عَفِيفَةً أَوْ يَخَافَا أَوْ أَحَدُهُمَا أن لا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ أَوْ نَحْوَ ذَلِكَ وَاللَّهُ أعلم
[7] Syarah Sunan Abi Daud Li Ibad Jilid 3, Halamn 255
أما إذا كان هناك حاجة إليه وهناك أمر يقتضيه فإن المصلحة فيه، وليست في غيره؛ لأن البقاء على شقاق وعلى خلاف وعلى تنافر قلوب وعلى كلام سيء من الطرفين غير صحيح، والمصلحة في التخلص منه، ويكون بذلك محبوباً وليس مبغوضاً.وقد يستشكل ما ورد في الحديث من كون الله تعالى يحل شيئاً يبغضه.والجواب أنه قد يكون الشيء محبوباً باعتبار مبغوضاً باعتبار، فالطلاق يكون محبوباً باعتبار أن فيه التخلص من المشاكل وعدم الوئام، ويكون مبغوضاَ إذا كان لغير أمر يقتضيه وترتب على ذلك الانفصال بين شخصين بينهما الوئام والمودة، ثم حصل من ذلك ضرر على الزوجة بترك زوجها لها من غير أمر يقتضي ذلك.
[8] Abu Jaafar al-Tabari. Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran (Muassasah al-Risalah, 2000)23/ 434
(فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ) قالَ: يطلقها وهي طاهر من غير جماع، أو حَبَل يستبين حملها.
[9] Al-Khatib As-Syirbini. Mugni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj (Dar al-Kutub Ilmiyah, 1994) 1/ 280
{إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ} [الطلاق: 1] [الطَّلَاقُ] أَيْ فِي الْوَقْتِ الَّذِي يَشْرَعْنَ فِيهِ فِي الْعِدَّةِ، وَالْمَعْنَى فِيهِ تَضَرُّرُهَا بِطُولِ الْمُدَّةِ فَإِنَّ زَمَنَ الْحَيْضِ لَا يُحْسَبُ مِنْ الْعِدَّةِ،
[10] Muhammad al-Zuhaili.al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011) 4/262
ولذلك كان الطلاق في الحيض بدعة ومحرماً ؛ لأنه يطيل العدة على المرأة
[11] شرح النووي على مسلم (10/ 62)
وَأَمَّا الْحَرَامُ فَفِي ثَلَاثِ صُوَرٍ أَحَدُهَا فِي الْحَيْضِ بِلَا عِوَضٍ مِنْهَا وَلَا سُؤَالِهَا وَالثَّانِي فِي طُهْرٍ جَامَعَهَا فِيهِ قَبْلَ بَيَانِ الْحَمْلِ وَالثَّالِثُ إِذَا كَانَ عِنْدَهُ زَوْجَاتٌ يَقْسِمُ لَهُنَّ وَطَلَّقَ وَاحِدَةً قَبْلَ أَنْ يُوَفِيَهَا قَسْمَهَا