اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-344: HUKUM MENGANGKAT TANGAN (TAKBIR) BUKAN PADA TEMPAT YANG DISUNATKAN DALAM SOLAT

344.jpg

Soalan:

Terdapat dakwaan bahawa mengangkat tangan (takbir) pada tempat yang tidak disunatkan dalam solat boleh membatalkan solat kerana dianggap melakukan lebih daripada tiga pergerakan besar. Adakah dakwaan ini benar?

 

Ringkasan Jawapan:

Mengangkat tangan pada tempat yang tidak disunatkan dalam solat tidak membatalkan solat. Perbuatan tersebut dinilai sebagai makruh dalam mazhab al-Syafi‘i. Selain itu, pergerakan angkat serta turun tangan dikira sebagai satu pergerakan sahaja. Oleh itu, dakwaan bahawa ia membatalkan solat kerana melebihi tiga pergerakan adalah tidak tepat.

Huraian Jawapan

Mengangkat tangan (raf‘ al-yadayn) merupakan salah satu perkara sunat dalam solat yang dilakukan pada tempat-tempat tertentu iaitu:

  1. Ketika takbiratul ihram,
  2. ketika hendak rukuk,
  3. ketika bangun daripada rukuk.
  4. Apabila bangun dari tahiyat awal untuk meneruskan rakaat yang ketiga[1].

Oleh kerana ia merupakan amalan sunat, maka meninggalkannya tidak memberi kesan kepada sahnya solat. Justeru, melakukannya pada tempat yang tidak disunatkan adalah makruh dan tidak sampai ke tahap membatalkan solat. Dalam hal ini, Imam al-Baijuri menjelaskan bahawa:

ويكره تركه في محله وفعله في غير محله

Maksudnya: “Makruh meninggalkannya (mengangkat tangan ketika takbir) pada tempat yang sepatutnya, serta melakukannya pada tempat yang tidak sepatutnya[2].”

Dalam mazhab al-Syafi‘i, pergerakan yang banyak dan berturut-turut boleh membawa kepada batalnya solat sekiranya pergerakan tersebut berlaku sebanyak tiga kali berturut-turut tanpa keperluan dan mencapai kadar yang dianggap banyak menurut uruf[3]. Walau bagaimanapun, perlu difahami bahawa pergerakan mengangkat dan menurunkan tangan dikira sebagai satu pergerakan sahaja dan bukan dua pergerakan yang berasingan.

Dalam kitab Hasyiah al-Bujairimi disebutkan:

فَنَقَلَ الرَّجُلُ وَعُودُهَا يُعَدُّ نَقْلَتَيْنِ بِخِلَافِ الْيَدِ، فَإِنَّ ذَهَابَهَا وَعَوْدَهَا يُعَدُّ مَرَّةً وَاحِدَةً حَيْثُ كَانَ عَلَى الْوَلَاءِ

Maksudnya: “Maka pergerakan kaki (melangkah pergi dan kembali) dikira sebagai dua pergerakan, berbeza dengan tangan, pergerakan tangan pergi dan kembali dikira sebagai satu pergerakan sahaja, selagi ia dilakukan secara berturut-turut[4].”

Kesimpulannya, mengangkat tangan pada tempat yang tidak disunatkan dalam solat tidak membatalkan solat. Perbuatan tersebut dinilai sebagai makruh dalam mazhab al-Syafi‘i. Selain itu, pergerakan angkat serta turun tangan dikira sebagai satu pergerakan sahaja. Oleh itu, dakwaan bahawa ia membatalkan solat kerana melebihi tiga pergerakan adalah tidak tepat.

Rujukan: 

[1] Muhammad Mahfuz al-Tarmasi, Hasyiah al-Tarmasi (al-Manhal al-Amim bi Hasyiah al-Minhaj al-Qawim), (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2018), 2:764-771

[2] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri ala Syarh Ibn Qasim, (Beirut: Dar al-Fikr, 2009), 1:246.

[3] Ibid, 1:264.

[4] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi, Tuhfah al-Habib ala Syarh al-Khatib, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 2:86.