اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-345: HUKUM MENCEDERAKAN ISTERI HAMIL SEHINGGA MENYEBABKAN KEGUGURAN

hukum_pukul_isteri_hamil_sehingga_gugur.JPG

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya ada satu persoalan. Apakah hukum seorang suami mencederakan isterinya yang hamil sehingga menyebabkan keguguran. Mohon ulasan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Keganasan rumah tangga yang melibatkan perlakuan suami mencederakan isteri yang hamil adalah haram dan berdosa. Perlakuan ini bukan sahaja haram di sisi Syarak namun terdapat implikasinya dari sudut undang-undang di Malaysia. Isteri yang dicederakan oleh suami berhak menuntut perceraian di Mahkamah Syariah berdasarkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam. Selain itu, jika perbuatan tersebut menyebabkan keguguran janin yang dikandungkan oleh isteri, maka dia telah melakukan kesalahan jenayah dan wajib membayar pampasan berbentuk ‘ghurrah’ mengikut hukum syarak.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Suami Mencederakan Isteri

Syariat Islam menuntut agar suami sentiasa bergaul dengan isteri mereka dengan cara yang baik. Tuntutan ini merangkumi layanan yang penuh kasih sayang, penghormatan, kesabaran serta keadilan dalam memenuhi hak-hak isteri sama ada dari sudut nafkah zahir, batin mahupun emosi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

Surah an-Nisa’ (19)

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat ini secara umumnya menjelaskan tentang perintah Allah ke atas para suami agar berinteraksi dengan isteri-isterinya dengan pergaulan yang baik.[1]

Syariat Islam sememangnya memberi ruang kepada suami untuk memukul isteri yang benar-benar tidak mentaati suaminya dan terus nusyuz dengan pukulan yang bertujuan mendidik, namun dengan syarat pukulan itu adalah tidak bersangatan, tidak melukakan atau tidak membahayakan tubuh badan isteri. Begitu juga terdapat syarat-syarat yang lain seperti tidak memukul menggunakan alatan yang keras atau tidak memukul di bahagian muka, kepala, perut, dada yang dikuatiri menyebabkan kecacatan atau kematian. Menurut Imam al-Syafi’i, jika isteri cedera atau meninggal dunia disebabkan pukulan tersebut, maka suami wajib membayar ganti rugi.[2]

Oleh yang demikian, suami tidak mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk mencederakan, memukul atau sebarang bentuk penganiayaan fizikal kepada isteri kerana hal ini memiliki implikasi dari sudut undang-undang jenayah syariah dan juga jenayah sivil. Menurut undang-undang jenayah syariah, keganasan rumah tangga merupakan alasan kukuh untuk isteri menuntut cerai secara fasakh dan suami boleh didakwa atas tuduhan berkenaan.

Merujuk Seksyen 52 Akta 303 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 bahawa Mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh:

1)      Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syara' adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

 

Mencederakan Wanita Hamil sehingga Menyebabkan Keguguran

Islam sangat menjaga nyawa manusia termasuk nyawa janin yang masih dalam kandungan ibunya. Mengikut hukum syarak, seseorang yang menyebabkan wanita hamil keguguran dengan sengaja adalah perbuatan yang haram dan berdosa sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”

Surah al-Isra’ (33)

Ijmak bersepakat bahawa pampasan wajib dikenakan apabila menyebabkan keguguran janin iaitu ghurrah[3] yang bermaksud membebaskan seorang hamba lelaki atau perempuan. Perkara ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

أَنَّ امْرَأَتَيْنِ مِنْ هُذَيْلٍ، رَمَتْ إحداهما الأخرى، فطرحت جنينه. فَقَضَى فِيهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم، بغرة: عبد أو أمة.

Maksudnya: “Bahawa dua orang wanita daripada kabilah Hudhail telah bergaduh, lalu salah seorang daripada mereka melontar (memukul) yang seorang lagi hingga menyebabkan keguguran janin. Maka Nabi SAW telah memutuskan hukuman dalam kes tersebut dengan ghurrah, iaitu seorang hamba lelaki atau perempuan (sebagai pampasan bagi janin yang gugur).

Riwayat Muslim

Imam Ibn Hajar al-Haitami juga menjelaskan bahawa kewajipan ghurrah apabila janin keluar dalam keadaan mati akibat jenayah ke atas ibunya yang masih hidup yang boleh memberi kesan kepada janin dengan cara seperti ancaman, tekanan daripada orang berpengaruh atau menyebabkan kelaparan yang membawa kepada keguguran, berdasarkan pengesahan dua pakar. Namun ia tidak termasuk kes ringan seperti tamparan kecil yang tidak memberi kesan.[4]

Ghurrah atau pampasan janin merupakan seorang hamba yang nilainya menyamai lima ekor unta. Jika ghurrah tidak didapati secara fizikal atau dari sudut syarak seperti hanya ada hamba dengan harga lebih tinggi daripada nilai sepatutnya walaupun sedikit, maka wajib dibayar nilai 1/20 diyat bapanya.[5]

Kesimpulan

Keganasan rumah tangga yang melibatkan perlakuan suami mencederakan isteri yang hamil adalah haram dan berdosa. Perlakuan ini bukan sahaja haram di sisi Syarak namun terdapat implikasinya dari sudut undang-undang di Malaysia. Isteri yang dicederakan oleh suami berhak menuntut perceraian di Mahkamah Syariah berdasarkan Akta Undang-Undang Keluarga Islam. Selain itu, jika perbuatan tersebut menyebabkan keguguran janin yang dikandungkan oleh isteri, maka dia telah melakukan kesalahan jenayah dan wajib membayar pampasan berbentuk ‘ghurrah’ mengikut hukum syarak.

[1] Al-Qurtubi. al-Jami’ li Ahkam al-Quran. Jld 5 hlm 97

السَّادِسَةُ- قَوْلُهُ تَعَالَى: ﴿وَعاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ﴾ أَيْ عَلَى مَا أَمَرَ اللَّهُ بِهِ مِنْ حُسْنِ الْمُعَاشَرَةِ.

[2] Dr. Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Dar al-Qalam: Damsyik: 2015). Jld 4 hlm 93.

[3] Ibn Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1983). 9:39.

(غُرَّةٌ) إجْمَاعًا وَهِيَ الْخِيَارُ وَأَصْلُهَا بَيَاضٌ فِي وَجْهِ الْفَرَسِ

[4] Ibid. 9:39.

وَإِنَّمَا تَجِبُ (إنْ انْفَصَلَ مَيِّتًا بِجِنَايَةٍ) عَلَى أُمِّهِ الْحَيَّةِ تُؤَثِّرُ فِيهِ عَادَةً وَلَوْ نَحْوَ تَهْدِيدٍ أَوْ طَلَبِ ذِي شَوْكَةٍ لَهَا أَوْ لِمَنْ عِنْدَهَا كَمَا مَرَّ أَوْ تَجْوِيعٍ أَثَّرَ إسْقَاطًا بِقَوْلِ خَبِيرَيْنِ لَا نَحْوَ لَطْمَةٍ خَفِيفَةٍ

[5] Ibid. 9:42.

(وَيُشْتَرَطُ بُلُوغُهَا) أَيْ قِيمَةِ الْغُرَّةِ (نِصْفَ عُشْرِ الدِّيَةِ) أَيْ دِيَةِ أَبِ الْجَنِينِ إنْ كَانَ وَإِلَّا كَوَلَدِ الزِّنَا فَعُشْرُ دِيَةِ الْأُمِّ بِهِ أَوْلَى فَفِي الْكَامِلِ وَلَوْ حَالٌّ الْإِجْهَاضِ بِأَنْ أَسْلَمَتْ أُمُّهُ الذِّمِّيَّةُ أَوْ أَبُوهُ قُبَيْلَهُ وَكَذَا مُتَوَلِّدٌ بَيْنَ كِتَابِيَّةٍ وَمُسْلِمٍ لِلْقَاعِدَةِ أَنَّ الْأَبَ إذَا فَضَّلَ الْأُمَّ فِي الدِّينِ فُرِضَتْ مِثْلُهُ فِيهِ رَقِيقٌ تَبْلُغُ قِيمَتُهُ خَمْسَةَ أَبْعِرَةٍ كَمَا رُوِيَ عَنْ جَمَاعَةٍ مِنْ الصَّحَابَةِ رضي الله عنهم وَلَا مُخَالِفَ لَهُمْ وَتُعْتَبَرُ قِيمَةُ الْإِبِلِ الْمُغَلَّظَةِ إذَا كَانَتْ الْجِنَايَةُ شِبْهَ عَمْدٍ وَاعْتُبِرَ الْكَمَالُ حَالَ الْإِجْهَاضِ دُونِ الْعِصْمَةِ كَمَا مَرَّ لِأَنَّ الْعِبْرَةَ فِي قَدْرِ الضَّمَانِ بِالْمَآلِ نَظِيرَ مَا مَرَّ أَوَّلَ الْبَابِ (فَإِنْ فُقِدَتْ) حِسًّا أَوْ شَرْعًا بِأَنْ لَمْ تُوجَدْ إلَّا بِأَكْثَرَ مِنْ قِيمَتِهَا وَلَوْ بِمَا قَلَّ وَجَبَ نِصْفُ عُشْرِ دِيَةِ الْأَبِ