اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-73 : HUKUM PUASA SELEPAS SEPARUH BULAN SYA’BAN

 

 

Soalan:

Apakah dibolehkan berpuasa pada selepas separuh daripada bulan Sya’ban ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berkenaan isu yang akan dibincangkan adalah satu isu yang penting yang sering menjadi persoalan dan perbincangan oleh sebahagian individu apabila menghampiri bulan Ramadhan. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membincangkan berkaitan dengan hukum berpuasa pada dua minggu akhir dalam bulan Sya’ban.

 

Matan Hadith

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

 

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksudnya : “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.

 

 

  • Dalam lafaz yang lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

 

  • Dalam lafaz yang lain pula:

 

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ، فَأَفْطِرُوا حَتَّى يَجِيءَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, makanlah sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

 

  • Dalam lafaz yang lain lagi:

 

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tahanlah diri kalian dari berpuasa sehingga datang bulan Ramadhan”.

 

Takhrij al-Hadith

Hadith ini disebut oleh Imam Ahmad (2/442), Abu Daud (2337), al-Nasaie (2923), al-Tirmizi (738), Ibn Majah (1651), al-Darimiy (1691) dan ramai lagi. Walaupun lafaznya berbeza tetapi maknanya adalah sama.

 

Hukum Hadith

Hadith ini menjadi perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian yang lain mengdhaifkannya.

 

Pendapat Pertama: Antara ulama’ yang mengsahihkan hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi : Hadith adalah hasan sahih. [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, no. Hadith 669]
  • Imam Ibn Hibban : Hadith ini sahih. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 3589]
  • Imam Ibn Abd al-Bar: Hadith ini sahih. [Lihat: al-Istizkar, 10/239]
  • Ahmad Syakir : Hadith ini adalah sahih. [Lihat: Ta’liq ‘ala Tahzib al-Sunan, 3/225]

 

Pendapat Kedua: Antara ulama’ yang mengdhaifkan hadith ini:

  • Imam Ahmad : Hadith ini munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
  • Al-Athram : Hukum hadith ini adalah munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
  • Abdulrahman bin Mahdi : Hadith ini munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]
  • Abu Zur’ah : Ini adalah hadith munkar. [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 135]

Tarjih

Berdasarkan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif walaupun ia juga disahihkan oleh sebahagian para ulama’. Antara sebab yang menyebabkan kami menyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya adalah:

 

  • Pertama: Disebabkan al-‘Ala’ bersendiri dalam riwayat ini. Oleh sebab itu, hadith ini adalah gharib berdasarkan pendapat Imam al-Nasaie iaitu “kami tidak ketahui perawi yang meriwayatkan hadith ini melainkan daripada al-‘Ala bin Abdulrahman”. Selain itu, melalui pendapat Imam al-Tirmizi bahawa “kami tidak ketahui melainkan daripada jalan ini”.

 

  • Kedua: Hadith ini bercanggah dengan hadith yang sahih iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1812]

 

Walaubagaimanapun, kami juga berpendapat bahawa kepada sesiapa yang ingin berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban dibolehkan bagi orang yang selalu melakukan puasa seperti puasa sunat Isnin dan Khamis. Begitu juga, bagi sesiapa yang berpuasa pada hari cerah (أيام البيض) dan juga yang melakukan puasa Nabi Daud AS. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ dalam masalah ini.

 

Makna “فَلَا تَصُوْمُوْا

Larangan berpuasa di dalam hadith tersebut adalah ditujukan kepada sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa. Adapun bagi sesiapa yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa maka ia tidak menjadi masalah untuk dia berpuasa pada waktu tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 4/215]

 

Pendapat ulama’ dalam masalah berpuasa pertengahan bulan Sya’ban

Berikut adalah pendapat para ulama’ dalam masalah ini:

 

  • Mazhab al-Syafie: Berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Dalam makna lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja. [Lihat: al-Mu’tamad, 2/216]

 

  • Jumhur fuqaha’ : Dibolehkan berpuasa selepas daripada 15 Sya’ban. [Lihat: Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1635]

 

Hikmah tidak dibenarkan berpuasa

Tambahan pula, jika kita melihat dan berpegang bahawa hadith ini sahih sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama’ maka di sana terdapat hikmah mengapa tidak dibenarkan berpuasa pada waktu tersebut. Antara hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri mereka sebelum dalam menempuh bulan Ramadhan. Di mana pada bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.

 

Penutup

Kesimpulannya, kami nyatakan sekali lagi bahawa puasa selepas daripada 15 Sya’ban adalah dibenarkan kerana hadith yang melarang untuk berpuasa adalah lemah dan bercanggah dengan hadith yang sahih. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadhannya, maka ianya dituntut. Ini kerana, Saidatina Aisyah RA menggantikan puasa Ramadhannya pada bulan Sya’ban. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan masa lapang agar kita dapat melaksanakan ibadat dengan sesempurna mungkin. Amin.