اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-242: MENGHIAS SUARA KETIKA MEMBACA AL-QURAN

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan galakan melagukan bacaan al-Quran?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Al-Quran merupakan salah satu kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mukjizat kepada baginda SAW dan juga sebagai panduan kepada umatnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

[Ibrahim:1]

Maksudnya: “Ini ialah Kitab (al-Quran) yang Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya kamu mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita (kekufuran) kepada cahaya (keimanan) - dengan izin Tuhan mereka - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat galakan atau anjuran untuk kita membaca al-Quran dengan suara yang baik. Antaranya adalah:

 

Nabi SAW bersabda:

 

زَيِّنُوا الْقُرْآنَ بِأَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.” [Riwayat Abu Daud (1468)]

 

Imam al-Khattabi makna hadith di atas adalah hiasilah suara kamu ketika membaca al-Quran dan ini juga yang ditafsirkan ramai daripada kalangan ahli hadith. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 239/4]

Selain itu, menurut Imam al-Nawawi makna hadith di atas adalah hendaklah seseorang itu membaca al-Quran dengan suara yang baik agar orang yang mendengar merasa seronok atau asyik. [Lihat: Fatawa Imam al-Nawawi, 293]

 

Di dalam hadith yang lain pula, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya: “Bukan daripada kalangan kami (umat Nabi Muhammad SAW), sesiapa yang tidak memperlagukan bacaan al-Qurannya.” [Riwayat Abu Daud (1469)]

 

Tambahan pula, al-Barra’ seorang sahabat Nabi SAW pernah menceritakan akan bacaan Nabi SAW di dalam sebuah hadith:

 

Daripada al-Barra RA, bahawa aku telah mendengar Nabi SAW:

 

يَقْرَأُ وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فِي العِشَاءِ، وَمَا سَمِعْتُ أَحَدًا أَحْسَنَ صَوْتًا مِنْهُ أَوْ قِرَاءَةً

Maksudnya: “Membaca surah al-Thin di dalam solat Isyak dan aku tidak pernah mendengar seorang pun yang suaranya atau bacaannya lebih baik daripada beliau (Nabi SAW).” [Riwayat al-Bukhari (769)]

 

Imam al-Nawawi juga ada menyebut di dalam kitabnya pada bab sunat memperelokkan suara ketika membaca al-Quran:

 

“Telah berlaku ijma’ daripada kalangan salaf dan khalaf daripada sahabat, tabi’in dan selepas daripada mereka dalam kalangan ulama’-ulama’ terkini yang menyatakan bahawa sunat memperelokkan suara ketika membaca al-Quran.” [Lihat: al-Tibyan, 111]

 

Setelah melihat kepada beberapa teks hadith di atas beserta dengan pendangan para ulama’, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa membaca al-Quran dengan suara yang baik adalah satu tuntutan atau sunnah. Akan tetapi, ia perlulah mengutamakan juga hukum-hukum tajwid di dalam bacaannya kerana itu adalah lebih utama berbanding melagukan al-Quran.

 

Penutup

Kesimpulannya, membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang amat besar ganjarannya. Di samping itu, antara hikmah disunatkan memperelokkan suara ketika membaca al-Quran adalah agar orang yang mendengarnya merasa khusyuk dan asyik. Jika seseorang itu mampu memahami setiap bacaannya itu juga merupakan satu perkara yang amat baik. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang cintakan al-Quran dan menjadikan al-Quran adalah teman rapatnya. Amin.

 

Wallahua’lam