اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-327: MENGANGKAT TANGAN KETIKA DOA QUNUT

 

 

 

 

ih327.png

 

Soalan: Apakah sunnah mengangkat tangan ketika qunut Subuh?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca qunut di dalam solat Subuh adalah termasuk di dalam perkara-perkara sunat di dalam solat mengikut mazhab al-Syafie. Ia dibaca semasa i’tidal (selepas bangun daripada ruku’) di dalam rakaat yang kedua pada solat Subuh dan ia juga dibaca di dalam rakaat yang kedua di dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga ia dibaca di dalam rakaat yang terakhir dalam mana-mana solat bagi qunut Nazilah. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 89]

Ini berdasarkan kepada hadith Anas bin Malik RA:

 

مَا زَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW berterusan qunut di dalam solat subuh sehingga Baginda SAW berpisah daripada dunia (wafat).” [Riwayat Ahmad (12657)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif kerana seorang perawi bernama Abu Ja’far al-Razi seorang yang buruk hafalannya dan hafalannya itu bertentangan dengan riwayat perawi-perawi lain yang thiqah (dipercayai)][Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid menyatakan riwayat ini perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai)]

 

Tambahan pula, terdapat lagi sebuah hadith yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan qunut di dalam solat Subuh iaitu:

  • Daripada al-Barra’ bin Azib berkata:

 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ وَالمَغْرِبِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW berqunut pada solat Subuh dan Maghrib.” [Riwayat al-Tirmizi (401)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

 

Berdasarkan soalan di atas, mengangkat tangan ketika qunut adalah sunat sebagaimana yang diucapkan ulama bermazhab Syafie dengan beberapa dalil. Di antaranya apa yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi pada membicarkan masalah ini:

Imam al-Nawawi berkata, di dalam masalah ini terdapat dua pandangan yang masyhur iaitu:

  • Pertama: Tidak disunatkan dan ini merupakan pilihan al-Qaffal, al-Baghawi dan Imam al-Syirazi dengan berdalilkan bahawa berdoa di dalam solat tidak perlu diangkat tangan sepertimana juga berdoa di dalam sujud dan tasyahhud.
  • Kedua: Disunatkan mengangkat tangan dan ini adalah pendapat yang sahih di sisi ashab bermazhab al-Syafie dan juga sahih pada dalilnya. Imam al-Baihaqi berhujah dengan apa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih atau hasan daripada Anas bin Malik RA pada kisah Qurra’ (ahli Quran) yang telah dibunuh:

 

لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ يَعْنِي عَلَى الَّذِينَ قَتَلُوهُمْ

Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali melakukan solat Subuh, Baginda SAW akan mengangkat tangan dan berdoa ke atas mereka iaitu orang yang telah membunuh para sahabat yang menghafal al-Quran.” [Riwayat al-Baihaqi (3145)]

 

Imam al-Baihaqi berkata lagi bahawa disebabkan terdapat sebilangan sahabat yang mengangkat tangan mereka ketika qunut sebagaimana diriwayatkan oleh Abi Rafi’:

 

صَلَّيْتُ خَلْفَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَنَتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَجَهَرَ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Aku telah solat dibelakang Umar bin al-Khattab RA, maka beliau berqunut selepas daripada ruku’ dan beliau mengangkat kedua tangan dengan menguatkan suara ketika berdoa.” [Riwayat al-Baihaqi (3150)][Imam al-Baihaqi menyatakan riwayat daripada Umar bin al-Khattab ini adalah sahih]

 

Selain itu, diriwayatkan juga daripada Ali bin Abi Thalib tetapi dengan sanad yang dhaif dan diriwayatkan juga daripada Abdullah bin Mas’ud serta Abu Hurairah R.anhum pada qunut Witir. [Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 499-500/3]

 

Penutup

Kesimpulannya, masalah ini adalah masalah khilaf dalam kalangan ahli ilmu. Maka kita tidak boleh megingkari orang yang tidak berpegang dengan pandangan atau pendapat kita kerana ia termasuk di dalam khilaf yang muktabar. Akan tetapi, kami cenderung kepada pandangan yang kedua iaitu disunatkan mengangkat tangan ketika qunut sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Ini kerana, terdapat sebuah hadith yang menceritakan akan kelebihan mengangkat tangan ketika berdoa, daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Hidup lagi Maha Mulia malu jika seorang lelaki itu mengangkat kedua tangannya kepada-Nya serta memulangkannya dalam keadaan kosong yang tidak membawa hasil”. [Riwayat al-Tirmizi (3556)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama ini serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin.

 

Wallahua’alam