اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-363: QATADAH BIN DI’AMAH

 

 

ih363_15291523.png

 

Soalan: Siapakah Qatadah bin Di’amah?   

   

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dengan mengkaji atau mengenali sejarah para sarjana besar Islam akan meningkatkan semangat seseorang itu dalam menuntut ilmu dan juga sedikit sebanyak dapat diambil manfaat daripada sifat atau akhlak yang ditonjolkan supaya ia dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Berdasarkan soalan di atas, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menceritakan secara ringkas berkaitan latar belakang seorang tokoh tabi’in yang hebat dan sumbangannya amat besar kepada Islam terutamanya Qatadah bin Di’amah.

Nama beliau ialah Abu al-Khattab Qatadah bin Di’amah bin Qatadah bin Aziz ibn ‘Amr bin Rabi’ah bin al-Harith bin Sadus bin Syaiban bin Zahl bin Tha’labah bin ‘Ukabah bin Sa’ab bin Ali bin Bakr bin Wa’il al-Sadus al-Basri al-Tabi’i. Tambahan pula, beliau ini dilahirkan dalam keadaan buta pada tahun 60 Hijrah berdasarkan kata-kata daripada Yahya bin Ma’in. Imam Ahmad pernah berkata bahawa Qatadah dan al-A’mash lahir pada hari yang sama. [Lihat: Siyar A’lam al-Nubala’, 5/271]

Beliau telah mendengar hadith daripada Anas bin Malik, Abdullah bin Sarjis, Abu al-Thufail, Ibn al-Musayyib, Abu ‘Uthman, al-Hasan, Ibn Sirin, Ikrimah, Zurarah bin Awfa, al-Sya’bi dan ramai lagi. Adapun yang mengambil hadith daripada beliau dalam kalangan para tabi’in ialah Sulaiman al-Taimiy, Humaid al-Thawil, al-A’mash, Ayub dan begitu juga ramai daripada kalangan tabi’ tabi’in seperti Matr, Jarir bin Hazim, Syu’bah, al-Awza’iy dan ramai lagi. Kesemua ini telah bersepakat akan kehebatannya dan kethiqahannya. Begitu juga, mereka bersepakat di atas tahap hafalan, ketelitian dan kelebihan yang ada padanya. [Lihat: Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 2/57]

 

Di samping itu juga, Qatadah pernah tinggal bersama dengan Sa’id bin al-Musayyib selama 8 hari. Akan tetapi, pada hari yang ketiga Sa’id bin al-Musayyib berkata kepada Qatadah:

 

“Pergilah kamu wahai si buta kerana kamu telah mengambil semua ilmu yang ada padaku.”

 

Pujian Kepada Qatadah

Di antara tokoh-tokoh yang memuji ketokohan Qatadah ini ialah:

 

  • Kata Abu Bakar bin Abdillah:

“Barangsiapa yang ingin melihat orang yang paling baik hafalannya serta periwayatannya daripada seseorang yang pernah sempat bersama dengan kami (sezaman) maka lihatlah pada Qatadah.”

 

  • Kata Sa’id bin al-Musayyib

“Tidak pernah ada orang yang datang kepada kami daripada Iraq yang lebih menghafal hadith Nabi SAW berbanding Qatadah.”

 

  • Sufyan pernah berkata kepada al-Syu’bah:

“Tidak ada seseorang di dunia ini seperti Qatadah.”

 

  • Kata Ibn Sa’ad:

“Adapun Qatadah seorang yang thiqah, amanah dan hujjah di dalam hadith.”

 

Kewafatan Qatadah

Qatadah telah meninggal dunia pada tahun 117 Hijrah dan dikatakan juga 118 Hijrah. Pada ketika itu, usianya 56 tahun dan dikatakan juga 55 tahun. Telah berkata Abu Hatim bahawa Qatadah meninggal dunia disebabkan penyakit ta’un. [Lihat: Tahzib al-Kamal, 23/517]

 

Penutup

Kesimpulannya, Qatadah bin Di’amah merupakan salah seorang daripada tokoh-tokoh yang hebat dan beliau juga merupakan hujjah atau rujukan utama terutama di dalam bidang al-Quran dan juga hadith. Ini kerana, keilmuannya diakui dan dipercayai oleh para ulama yang sezaman dengannya atau yang datang selepas daripadanya. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan dalam mencontohi sifat atau akhlak yang mulia sepertimana tokh-tokoh Islam terdahulu. Amin.

 

Wallahua’lam