اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-379: SOLAT MERUPAKAN TIANG AGAMA

solat tiang agama.JPG

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

الصَّلاةُ عِمادُ الدِّينِ

Maksudnya: “Solat merupakan tiang agama”.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, hadith tersebut amat masyhur dalam kalangan masyarakat kita dan sebahagian besarnya mengetahui bahkan menghafal makna hadith di atas. Ini kerana, hadith tersebut sering diungkapkan oleh para ustaz atau penceramah apabila mereka membicarakan berkaitan isu solat.

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba untuk menerangkan dan mengupas berkaitan hadith di atas dari sudut kesahihannya. Sebelum kami nyatakan hukum berkaitan hadith, suka bagi kami untuk menyatakan sumber bagi hadith ini terlebih dahulu:

Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT di dalam Islam? Nabi SAW bersabda:

الصَّلَاةُ لِوَقْتِهَا، وَمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ

Maksudnya: “Solat pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama”. [Riwayat al-Baihaqi (2550) di dalam al-Syu’ab]

Di sini, kami nyatakan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith di atas:

 

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menyatakan hukum berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, 2/64]
  • Imam al-Sakhawi menyatakan bahawa hadith ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang dhaif. [Lihat: al-Mughni, 1/174]
  • Imam al-Sakhawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif. Beliau juga menukilkan bahawa: Imam Ibn Solah mengatakan hadith ini tidak diketahui di dalam Musykil al-Wasith dan Imam al-Nawawi menghukum hadith ini sebagai munkar dan bathil. [Lihat: Maqasid al-Hasanah, 427]
  • Imam Mulla Ali al-Qari menyatakan hadith dikatakan tiada asal baginya atau asalnya adalah palsu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah 236-237]

Setelah melihat kepada beberapa pandangan ulama berkaitan hadith di atas, maka kami cenderung kepada hadith tersebut adalah dhaif dari sudut sanadnya kerana Imam al-Hakim menyatakan ‘Ikrimah tidak mendengar hadith daripada ‘Umar RA. Walaupun begitu, hadith ini mempunyai sokongan daripada hadith sahih yang lain iaitu:

  • Daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الجِهَادُ

Maksudnya: “Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad.” [Riwayat al-Tirmizi (2616)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith tersebut adalah dhaif dari sudut riwayatnya. Akan tetapi, makna hadith tersebut adalah sahih berdasarkan hadith riwayat al-Tirmizi dan juga hadith-hadith sahih yang menceritakan berkaitan kelebihan dan kepentingan solat. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang menjaga solat serta diterima segala amalan yang kita lakukan terutamanya di dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini. Amin.

Wallahua’lam