اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-382: MAKNA HADITH BERKAITAN TAKHBIB

 

 

ih382_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah makna hadith ini?

 

  • Daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ خِبٌّ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا بَخِيلٌ

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan takhbib (tipu daya), mannan (pengungkit) dan bakhil.” [Riwayat al-Tirmizi (1963)]

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas berkaitan isu takhbib ini, kami pernah menjawabnya di dalam artikel yang lepas iaitu di dalam al-Kafi siri ke-519. Di sini kami sertakan sebahagian daripada artikel yang pernah kami terbitkan berkaitan takhbib ini:

Perkataan takhbib daripada segi bahasa dan istilah bermaksud seorang lelaki merosakkan hamba atau isteri kepada orang lain, manakala maksud al-khabb pula ialah kerosakan, kekejian dan penipuan. [Lihat: Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 11/18].

Adapun berkaitan status hadith di atas, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukum ke atas hadith di atas. Sebahagian ulama mengdhaifkannya seperti Imam al-Zahabi di dalam al-Kabair, Syeikh Ahmad Syakir dan Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah dhaif ketika mentaqhiq Musnad Imam Ahmad. Manakala sebahagian ulama yang lain mengsahihkannya seperti Imam al-Tirmizi menilai hadith di atas sebagai hasan gharib.

Imam Abu al-Ala al-Mubarakfuri berkata ketika mensyarahkan hadith ini bahawa maksud ‘tidak masuk syurga’ adalah dilambatkan masuk ke dalam syurga. Khibbun atau khabbun bererti penipu yang merosakkan hubungan sesama manusia dengan penipuannya. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 6/83-84]

Tambahan pula, Abu Thib Abadi berkata ketika mensyarahkan hadith yang berkaitan takhbib ini, takhbib ini boleh berlaku kepada lelaki dan juga wanita. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 14/52]

Adapun berkaitan hukum takhbib, para ulama berpendapat perbuatan takhbib ini adalah haram. Mereka berpandangan seseorang yang merosakkan hubungan antara pasangan suami isteri, dengan memperdaya atau menyebabkan isteri itu menuntut perceraian maka lelaki tersebut telah melakukan dosa yang besar. Ini termasuk juga perbuatan menunjukkan perceraian itu sebagai baik supaya dia boleh berkahwin dengan wanita itu atau membolehkan orang lain berkahwin dengannya. [Lihat: Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 5/291, 11/19]

 

Penutup

Kesimpulannya, perbuatan takhbib adalah haram sama ada ia dilakukan oleh lelaki atau wanita dengan tujuan untuk merosakkan rumah tangga seseorang. Justeru, kita dituntut untuk menjauhkan diri daripada perbuatan yang haram ini. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua mahabbah, mawaddah dan rahmat di dalam rumah tangga kita semua. Amin.

 

Wallahua’lam