اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-408: HUKUM MENGGUNAKAN (كُنْيَةْ) KUNYAH (PANGGILAN NAMA)

 

 

ih408_15291523.png

 

Soalan: Adakah (كُنْيَةْ) kunyah atau panggilan nama sebahagian daripada sunnah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kunyah (كُنْيَةْ) merupakan satu panggilan yang dimulakan dengan perkataan “أَبُوْ (Abu iaitu bapa)” atau “أُمُّ (Ummu iaitu ibu).” Kebiasaannya kunyah ini digunakan kepada anak-anak dan yang afdhal adalah digunakan kepada anak yang paling besar (tua) tetapi ia bukanlah satu kemestian. Bahkan seseorang itu boleh juga menggunakan kunyah kepada sesuatu benda atau haiwan dan sebagainya seperti Abu Hurairah (iaitu bapa kepada kucin), Abu Turab dan lain-lain lagi.

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ada meletakkan satu bab yang khusus berkaitan dibolehkan dan tiada halangan bagi seorang lelaki (atau wanita) menggunakan kunyah sama ada pada anak lelaki atau anak perempuan. Hal ini telah dilakukan oleh kebanyakan para salaf yang hidup pada kurun yang terbaik daripada kalangan sahabat dan juga tabi’in seperti Uthman bin Affan. Beliau mempunyai tiga panggilan nama iaitu Abu ‘Amr, Abu Abdillah dan Abu Layla. Begitu juga dengan Abu al-Darda’ yang mana beliau mempunyai dua orang isteri yang digelar Ummu al-Darda’ al-Kubra dan juga Ummu al-Darda’ al-Sughra. [Lihat: al-Azkar, 297]

Antara dalil yang menunjukkan kunyah ini merupakan satu sunnah adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.anha:

 

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa beliau pernah mengadu kepada Nabi SAW bahawa semua sahabat beliau mempunyai panggilan. Maka Nabi SAW bersabda:

 

فَاكْتَنِي بِابْنِكِ عَبْدِ اللَّهِ

Maksudnya: “Maka gelarlah (panggillah) dirimu dengan nama anak saudaramu (iaitu anak kepada kakaknya Asma’ binti Abi Bakar) iaitu Abdullah (Abdullah bin Zubair).” [Riwayat Abu Daud (4970)][Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Tambahan pula, kebiasannya kunyah atau panggilan ini digunakan pada anak yang paling tua. Ini berdasarkan kepada persoalan Nabi SAW kepada Hani’:

 

  • Daripada Hani’ RA bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepadanya (ketika mana Nabi SAW ingin menukar namanya daripada Abu al-Hakam:

 

فَمَا لَكَ مِنَ الْوَلَدِ؟ قَالَ: لِي شُرَيْحٌ، وَمُسْلِمٌ، وَعَبْدُ اللَّهِ، قَالَ: فَمَنْ أَكْبَرُهُمْ؟ قُلْتُ: شُرَيْحٌ، قَالَ: فَأَنْتَ أَبُو شُرَيْحٍ

Maksudnya: “Adakah kamu mempunyai anak?.” Jawab beliau: Anakku ialah Syuraih, Muslim dan Abdullah. Baginda SAW bertanya lagi: “ Siapakah yang paling tua daripada kalangan mereka?.” Beliau menjawab: Syuraih. Lalu Nabi SAW bersabda: “Maka dengan itu, kamu adalah Abu Syuraih.” [Riwayat Abu Daud (4955)][ Sanad hadith ini adalah baik mengikut penilaian Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]

 

Di samping itu juga, dibolehkan untuk menggunakan kunyah walaupun belum berkahwin atau belum mempunyai anak. Antara contoh di dalam hal ini adalah kunyah bagi Imam al-Nawawi ialah Abu Zakariyya sedangkan beliau tergolong dalam kalangan ulama yang tidak pernah berkahwin sebagaimana disebutkan di dalam kitab al-Ulama al-‘Uzzab karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Antara dalilnya adalah:

 

  • Telah berkata Umar RA kepada Suhaib RA: Mengapa kamu digelar Abu Yahya sedangkan kamu tidak mempunyai anak? Jawab Suhaib:

 

كَنَّانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَبِي يَحْيَى

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memberi gelaran (panggilan nama) kepadaku dengan Abu Yahya.” [Riwayat Ibn Majah (3738)][Sanad hadith ini adalah hasan sebagaimana di dalam al-Zawaid]

 

Di dalam al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwatiyyah menyatakan bahawa hukum kunyah ini adalah sunnah. [Lihat: al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwatiyyah, 35/169] Justeru, melihat kepada perbincangan di atas, kunyah merupakan satu sunnah yang kurang diamalkan di dalam masyarakat kita pada hari ini sedangkan ia merupakan satu sunnah yang amat mudah untuk diamalkan. Antara bukti generasi yang terdahulu amat mengambil berat dalam isu ini adalah terhasilnya karya-karya yang menghimpunkan nama-nama kunyah ini seperti kitab al-Kuna wa al-Asma’ oleh Imam Muslim bin Hajjaj dan ramai lagi daripada kalangan ulama.

 

Penutup

Kesimpulannya, kunyah merupakan satu sunnah Nabi SAW iaitu nama yang dimulai dengan perkataan “Abu” bagi lelaki atau “Ummu” bagi wanita. Kebiasaannya kunyah atau panggilan nama ini disandarkan kepada anak yang paling tua dan sekiranya seseorang itu tidak mempunyai anak maka tidak menjadi masalah untuk menggunakan kunyah sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan serta menghidupkan sunnah Nabi SAW di dalam kehidupan seharian kita. Amin.

 

Wallahua’lam