اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE- 490 : STATUS HADIS ‘’DUDUK DI RUMAH SEMASA WABAK MENDAPAT PAHALA SYAHID’’

IH490

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, dalam suasana Covid- 19 sekarang ini ramai yang kongsikan di media sosial tentang sebuah hadis yang menyebut : ‘’Sesiapa yang duduk di rumahnya semasa wabak berlaku maka dia mendapat pahala syahid sekalipun tidak meninggal dunia’’. Soalan saya, apakah hadis ini sahih dan boleh jelaskan tentang fiqh hadis ini ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam hal ini, terdapat beberapa riwayat yang dijadikan sebagai sandaran bagi anjuran tersebut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata : ‘’Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun, lalu baginda berkata :

 أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلاَّ مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلاَّ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ 

Maksudnya : Sesungguhnya ia adalah azab yang Allah hantar kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki. Dan Allah menjadikan ia sebagai rahmat kepada orang beriman. Tidak ada seorang pun saat berlakunya taun lalu dia duduk di negerinya dengan penuh kesabaran dan mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu bahawa dia tidak akan ditimpa musibah melainkan apa yang telah Allah tetapkan buatnya, melainkan dia akan mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.

Riwayat Al-Bukhari (3474)

Berbalik kepada persoalan di atas, lafaz hadis yang dikemukakan adalah merujuk kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata : ‘’Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang taun, kemudian Rasulullah S.A.W mengkhabarkan kepadaku dengan berkata :

أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Maksudnya : Sesungguhnya ia merupakan azab yang dihantarkan oleh Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Maka Allah menjadikan ia sebagai rahmat bagi golongan yang beriman. Tidaklah seorang lelaki itu saat berlakunya taun lalu dia duduk di dalam rumahnya dengan penuh sabar serta mengharapkan ganjaran pahala, dan dia tahu tidaklah musibah menimpa dirinya melainkan apa yang Allah telah tetapkan buat dirinya maka dia mendapat seperti ganjaran pahala orang yang syahid.

Riwayat Ahmad (26139)

Syeikh Syu’aib Al-Arna’uth dalam tahqiqan beliau ke atas Musnad Imam Ahmad ketika mengulas hadis ini beliau berkata : Hadis ini isnadnya sahih mengikut syarat Imam Al-Bukhari. Rujuk Musnad Ahmad cet. Muassasah Al-Risalah (43/235).

Hadis ini juga turut diriwayatkan dengan lafaz yang sama oleh Imam Al-Baihaqi dalam kitab beliau Al-Asma’ wal-Sifat (1/376). Manakala Imam Al-Nasa’ie meriwayatkan hadis ini dalam Al-Sunan Al-Kubra (7/68) dengan lafaz فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا Demikan juga Imam Al-Baghawi turut meriwayatkan hadis ini dengan lafaz فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا dalam kitabnya Syarh Al-Sunnah (5/253).

Hadis di atas ini menjelaskan tentang hikmah di sebalik musibah taun yang berlaku kepada umat manusia. Maka Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ia merupakan rahmat kepada golongan yang beriman. Ini kerana, telah sabit dalam riwayat yang sahih bahawa mereka yang meninggal dunia disebabkan taun akan mendapat pahala syahid. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya : Golongan yang syahid itu ada lima iaitu mereka yang mati disebabkan taun, penyakit dalam perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan, dan mereka yang mati berperang di jalan Allah.

Riwayat Al-Bukhari (1914)

Demikian juga hadis ini menjelaskan bahawa saat dihantarnya azab, ia akan turut melibatkan semua manusia sama ada orang beriman atau selainnya mengikut kehendak Allah S.W.T. Maka ia merupakan bentuk balasan buruk kepada pelaku maksiat dan dalam masa yang sama ia merupakan ujian dan rahmat bagi golongan yang beriman.

Meskipun begitu, ada syarat-syarat yang disebutkan di dalam hadis tersebut bagi seseorang itu memperoleh pahala syahid. Iaitu hendaklah seseorang yang berada di dalam negeri atau rumahnya dalam tempoh penularan wabak berjangkit itu bersabar dan juga mengharapkan ganjaran pahala dari Allah S.W.T. Disamping dia menambah keimanannya dengan meyakini bahawa tidak ada sebarang mudarat yang akan berlaku pada dirinya melainkan ia merupakan suatu ketetapan daripada Allah S.W.T.

Syeikh Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata :

فلو مكث وهو قلق أو متندم على عدم الخروج ظاناً أنه لو خرج لما وقع به أصلاً ورأساً وأنه بإقامته يقع به، فهذا لا يحصل له أجر الشهيد ولو مات بالطاعون. هذا الذي يقتضيه مفهوم هذا الحديث كما اقتضى منطوقه أن من اتصف بالصفات المذكورة يحصل له أجر الشهيد وإن لم يمت بالطاعون

Maksudnya : Sekiranya seseorang itu duduk (di dalam negara atau rumah) dalam keadaan penuh ketakutan atau menyesal kerana tidak keluar, lalu dia menyangka kalau dia keluar nescaya taun tidak terkena pada dirinya dan dia menyangka yang dia terkena taun disebabkan dia masih duduk (di negara atau di rumahnya), maka orang ini tidak akan mendapat pahala syahid mesikpun dia meninggal dunia disebabkan taun. Inilah yang dimaksudkan oleh mafhum hadis sebagaimana yang dimaksudkan oleh mantuq hadis bahawa sesiapa yang bersifat dengan ciri-ciri yang telah disebutkan maka dia akan memperoleh pahala syahid meskipun dia tidak meninggal dunia disebabkan taun. Rujuk Mir’aat al-Mafatih, Abu Al-Hasan Ubaidullah Al-Mubarakfuri (5/239).

Bolehkah Covid- 19 Dikategorikan Sebagai Taun ?

Dalam menjawab isu ini kami kongsikan beberapa definisi taun seperti yang disebutkan oleh para ulama lughah (bahasa). Antaranya :

  • Al-Jauhari mengatakan : Taun merujuk kepada kematian yang meliputi umum sama seperti wabak.
  • Syeikh Ibrahim Al-Harbi dalam kitab Gharib al-Hadis pula menyatakan : Wabak adalah taun dan juga penyakit yang meliputi umum.
  • Ibn Al-‘Arabi pula menyatakan dalam Syarah al-Tirmizi : Dinamakan sebagai taun kerana musibahnya meliputi umum serta cepat berlaku kematian disebabkannya. Maka penyakit-penyakit yang seumpamanya turut termasuk sebagainya (taun).

Rujuk Bazl Al-Ma’un, Ibn Hajar (Hlm. 95)

 

Maka seperti yang diketahui umum Covid - 19 merupakan virus yang merebak serta membawa kepada penyakit-penyakit berjangkit yang boleh membawa kepada kematian dalam skala yang besar. Justeru, berdasarkan ciri-ciri ini maka ia boleh diiktibarkan sebagai taun seperti yang disebutkan dalam riwayat-riwayat yang sahih.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami akhiri kenyataan ini menerusi beberapa noktah yang berikut :

  • Hadis yang disebutkan dalam soalan di atas adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Ia menepati syarat Imam Al-Bukhari dan rijal-rijalnya juga adalah tsiqah.
  • Feqh dari hadis tersebut mengajar kita supaya saat berlakunya wabak atau penyakit berjangkit di kawasan kita, kita tidak dituntut untuk keluar dari kawasan tersebut bagi melarikan diri.

Bahkan kita dituntut untuk kekal di dalam rumah bagi mengekang penularan wabak tersebut dan inilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah S.A.W yang menyebut :

إِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ

Maksudnya : Apabila berlakunya ia (taun) di sesuatu kawasan dan kamu berada di tempat tersebut maka janganlah kamu keluar melarikan diri darinya.

Riwayat Al-Bukhari (5730)

Demikian juga hal ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muadz bin Jabal R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W menyebutkan tentang lima perkara yang mana jika seseorang itu melakukan salah satunya maka dia berada di bawah jaminan perlindungan daripada Allah S.W.T. Antaranya :

أَوْ قَعَدَ فِي بَيْتِهِ فَسَلِمَ النَّاسُ مِنْهُ وَسَلِمَ مِنَ النَّاسِ

Maksudnya : Atau seseorang yang duduk di dalam rumahnya lalu manusia selamat darinya dan dia juga selamat dari manusia.

Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Mu’jam Al-Kabir (55)

  • Mereka yang menetap di dalam rumah dalam tempoh wabak berlaku dengan penuh kesabaran dan mengharapkan pahala, setelah mengabil semua usaha dan daya bagi menjaga keselamatan diri dan kemudiaannya meyakini bahawa tidak ada yang menimpa dirinya melainkan ia merupakan ketentuan Allah, maka dirinya akan mendapat pahala syahid sekalipun dia tidak mati disebabkan wabak tersebut.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.