اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 515 : STATUS HADITH “TANGISAN BAYI KECIL ADALAH ZIKIR”

 

bayi nangis

Soalan:

Adakah sahih hadis yg menyatakan tangisan bayi kecil itu adalah zikir?

Ringkasan Jawapan:

Riwayat tangisan bayi kecil merupakan zikir adalah riwayat yang palsu. Hadith ini tidak boleh disebarkan dan dinisbahkan sebagai kalam Nabi SAW. Oleh itu, kita sebagai umat Islam diminta agar sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu teks hadith atau sesuatu berita tanpa terlebih dahulu diteliti kesahihan perkara tersebut.

Huraian Jawapan:

Islam adalah agama yang menjaga keautentikan sesuatu perkhabaran khususnya hadith Nabi SAW. Hal ini kerana, untuk mengelakkan daripada berlaku pendustaan ke atas baginda SAW. Perkara ini berdasarkan amaran keras baginda SAW dalam hadith yang menyebutkan berkenaan melakukan pendustaan ke atas nama baginda SAW.

Sepanjang sorotan yang dilakukan terhadap karya-karya hadith muktabar, tidak ditemui riwayat yang maqbul (diterima) berkenaan tangisan bayi kecil adalah zikir. Namun, riwayat tersebut terdapat di dalam karya-karya yang menghimpunkan riwayat-riwayat palsu. Berikut adalah teks bagi riwayat tersebut yang disandarkan kepada Ibn ‘Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَضْرِبُوا أَوْلادَكُمْ عَلَى بُكَائِهِمْ، فَبُكَاءُ الصَّبِيِّ أَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلا اللَّهُ، وَأَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ الصَّلاةُ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ دُعَاءٌ لِوَالِدَيْهِ

Maksudnya: Janganlah kamu pukul anak-anak kamu disebabkan mereka menangis, kerana tangisan bayi pada empat bulan pertama kelahirannya adalah mereka sedang mengucapkan syahadah. Empat bulan kedua bayi tersebut berselawat ke atas Nabi SAW. Kemudian, pada empat bulan berikutnya bayi tersebut mendoakan (kebaikan) bagi kedua ibu bapanya.

Lafaz teks seperti di atas memang terkandung dalam beberapa karya seperti Tārikh Baghdād, al-Mawdu’āt li Ibn al-Jawzi di bawah tajuk Bab Darb al-Atfāl. Kemudian, boleh juga dijumpai di dalam al-Lāli’ al-Masnu’ah fi al-Ahadith al-Mawdu’ah, Lisān al-Mizān dan Tazkirah al-Mawdu’at li al-Fattani.

Komentar Ulama:

Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan riwayat ini adalah tersangat munkar. Hal ini kerana, pada sanadnya terdapat perawi yang bermasalah iaitu Abu al-Hasan ‘Ali Ibn Ibrahim Ibn al-Haytham. (Tārikh Baghdād, 13: 246)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa hadith ini palsu tanpa syak (بلا ريب). (Lisān al-Mizān, 4: 191)

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa hadith “Tangisan bayi kecil adalah zikir” merupakan hadith palsu dan tidak ada asal baginya. Menyebarkan dan menyandarkannya kepada Nabi SAW adalah berdosa serta haram hukumnya. Oleh itu, setiap individu muslim perlu lebih berhati-hati dan mempunyai sikap untuk bertabayyun setelah menerima sesuatu perkhabaran daripada mana-mana saluran sekalipun sebelum disebarkan. Moga Allah SWT menjaga tangan dan lidah kita daripada berkata serta menyebarkan sesuatu berita-berita yang berunsur Hoax. Wallahua’lam.