اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 598: BUAH TEMBIKAI BUAH SYURGA SERTA MENGHAPUSKAN KEBURUKAN?

BUAH_TEMBIKAI_BUAH_SYURGA_SERTA_MENGHAPUSKAN_KEBURUKAN.jpg

 

Soalan

Salam, saya ada terlihat satu video yang menerangkan bahawa buah tembikai ini digalakkan untuk makan kerana air dan manisnya langsung daripada syurga Allah SWT. Sesiapa yang memakannya maka ia akan mendapat 10 kebaikan dan dihapuskan padanya 10 keburukan.

Ringkasan Jawapan

Hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihan memakan buah tembikai kesemuanya adalah palsu melainkan satu hadis yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah makan buah tembikai bersama dengan kurma basah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkah Baginda SAW hingga hari kiamat.

Kecintaan kepada Nabi SAW adalah suatu sikap yang mulia dan wajib ada dalam diri seluruh umat Islam. Namun, janganlah kotori rasa cinta itu dengan pendustaan ke atas nama Baginda SAW melalui sebaran hadis-hadis yang palsu bagi menggalakkan umat Islam untuk beramal. Terkait persoalan yang ditanya, adakah benar air dan manis buah tembikai itu datang daripada syurga. Bahkan, mereka yang memakannya akan diganjari 10 kebaikan dan dihapuskan 10 keburukan?

Persoalan ini timbul kerana tular satu video yang menceritakan tentang kelebihan buah tembikai yang disandarkan kepada Nabi SAW.

Dalam hal ini, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah menukilkan kalam Imam Ahmad bin Hanbal yang menyebut:

لا يصح في فضل البطيخ شيء إلا أن رسول الله كان يأكله

Maksudnya: Tidak ada satu pun hadis sahih yang menceritakan berkenaan kelebihan tembikai melainkan Rasulullah SAW pernah memakannya.[1]

Hadis sahih yang dimaksudkan itu ialah hadis riwayat Aisyah RA yang meriwayatkan bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْكُلُ البِطِّيخَ بِالرُّطَبِ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah memakan buah tembikai bersama kurma basah.”[2]

(Riwayat al-Tirmizi)

Menurut sebahagian ulama, Nabi SAW menggabungkan dua jenis atas sebab tujuan tertentu. Jika dilihat kepada sifat dua buah ini maka didapati bahawa tembikai sifatnya sejuk dan kurma basah ini sifatnya panas, jika dimakan secara bersama maka ia dapat menghasilkan satu pemakanan yang seimbang.[3] Oleh itu, Imam al-Bajuri menyebutkan ketika menghuraikan hadis ini, kata beliau:

وهذا يدل على أنه صلى الله عليه وسلم كان يراعي في أكله صفات الأطعمة، واستعمالها على قانون الطب.

Maksudnya: “Perkara ini menunjukkan bahawa Nabi SAW memberikan perhatian terhadap pemakanannya dan ciri-ciri makanan serta menyesuaikan pemakanannya dengan aspek perubatan.”[4]

Kesimpulan

Tidak ada satu pun hadis sahih yang menceritakan tentang kelebihan memakan buah tembikai melainkan terdapat satu hadis yang menceritakan bahawa Nabi SAW gemar memakan buah tembikai bersama kurma basah.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Daif, ed. Abd al-Fattah Abu Ghuddah (Halab: Maktabah al-Matbuʻat al-Islamiyyah, 1970), hlm. 130.

[2] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Awwad (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), hadis no. 1843, jld. 4: hlm. 280.

[3] Ibrahim bin Muhammad al-Bajuri, al-Mawahib al-Laduniyyah ‘ala al-Syama’il al-Muhammadiyyah, ed. ‘Imad Zaki al-Barudi (Kaherah: Dar Mustafa li al-Tibaʻah, 2015), hlm. 292.

لأن البطيخ بارد، والرطب حار فيجمعهما يحصل الاعتدال.

[4] Ibid.