اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 562: ADAKAH SAHABAT DICELA KERANA MEMINUM DARAH BEKAM NABI

ADAKAH_BENAR_SAHABAT_DICELA_KERANA_MEMINUM_DARAH_BEKAM_NABI.jpg

 

SOALAN:

“Saya ada terdengar ceramah yang menyatakan  bahawa Rasulullah  mencela dengan perkataan   ويل  “celaka”  terhadap perbuatan Sahabat yang minum darah bekam Baginda.  Persoalannya, adakah benar  ia satu celaan terhadap Sahabat seperti yang dimaksudkan  dalam  riwayat ‘Abdullah bin al-Zubayr?    Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih

RINGKASAN JAWAPAN:

Perkataan  ويل “celaka” yang ditujukan kepada  ‘Abdullah bin al-Zubayr dalam riwayat hadis bukanlah satu bentuk celaan terhadap beliau, sebaliknya ia merupakan satu bentuk pengkhabaran mengenai perkara yang akan datang, iaitu satu musibah besar yang akan dihadapi oleh ‘Abdullah bin al-Zubayr sesuai dengan kepahlawanan dan kehebatan ibadah beliau.

HURAIAN JAWAPAN:

Secara asasnya, para Sahabat keseluruhannya berada pada satu kedudukan yang mulia. Sungguhpun mereka bukanlah maksum, namun mereka telah mendapatkan didikan secara langsung daripada sebaik-baik guru, iaitu junjungan mulia Rasulullah SAW. Mereka inilah golongan yang disifatkan oleh Baginda sebagai sebaik-baik manusia, seperti hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Mas’ūd bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka”.

[Riwayat al-Bukhari]

Kisah yang ditanyakan di dalam soalan ini adalah merujuk kepada peristiwa berkaitan salah seorang sahabat Nabi yang bernama ‘Abdullah bin al-Zubayr, yang telah minum darah bekam Rasulullah SAW. ‘Abdullah bin al-Zubayr ini merupakan anak kepada Asmā' binti Abū Bakr. Ayah beliau ialah al-Zubayr bin al-‘Awwām, iaitu merupakan salah seorang seorang sahabat Nabi SAW yang dijamin masuk syurga.

Autoriti Hadis

Peristiwa ‘Abdullah bin al-Zubayr meminum darah bekam dan kata-kata Rasulullah yang ditanyakan ini telah diriwayatkan di dalam beberapa kitab hadis, antaranya al-Ḥākim meriwayatkan bahawa ’Abdullah bin al-Zubayr telah datang kepada Rasulullah SAW pada ketika Baginda sedang berbekam. Apabila Baginda selesai, Baginda pun bersabda:

«يَا عَبْدَ اللَّهِ، اذْهَبْ بِهَذَا الدَّمِ فَأَهْرِقْهُ حَيْثُ لَا يَرَاكَ أَحَدٌ» ، فَلَمَّا بَرَزْتُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَمَدْتُ إِلَى الدَّمِ فَحَسَوْتُهُ، فَلَمَّا رَجَعْتُ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ: «مَا صَنَعْتَ يَا عَبْدَ اللَّهِ؟» قَالَ: جَعَلْتُهُ فِي مَكَانٍ ظَنَنْتُ أَنَّهُ خَافٍ عَلَى النَّاسِ، قَالَ: «فَلَعَلَّكَ شَرِبْتَهُ؟» قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: «وَمَنْ أَمَرَكَ أَنْ تَشْرَبَ الدَّمَ؟ ‌وَيْلٌ ‌لَكَ ‌مِنَ ‌النَّاسِ، وَوَيْلٌ لِلنَّاسِ مِنْكَ»

Maksudnya:Wahai ‘Abdullah, pergilah dengan membawa darah ini, dan buangkannya di tempat yang tiada orang lain melihatmu”.

Ibn al-Zubayr berkata: “Apabila aku berada jauh daripada Rasulullah SAW, aku pun telah meminum darah tersebut. Apabila aku pulang kepada Nabi SAW, Baginda bertanya: “Apa yang kamu lakukan wahai ‘Abdullah?” Aku pun berkata: “Aku telah jadikannya di tempat yang aku anggapnya sebagai tersembunyi daripada manusia”. Nabi bersabda: “Kemungkinan kamu meminumnya?”. Aku pun menjawab: “Ya”. Nabi pun membalas: “Siapakah yang menyuruhmu untuk meminum darah? celakalah “Wayl” kepada kamu disebabkan manusia, dan celaka kepada manusia daripada kamu””.

[Riwayat al- Ḥākim]

Selain daripada al-Ḥākim, hadis ini turut dikeluarkan oleh Abū Nu’aym, al-Ḍiyā’ al-Maqdisi, al-Haythami, dan lain-lain.

Al-Haythami ketika mengulas mengenai perawi-perawi di dalam jalur riwayat hadis ini menyatakan bahawa perawi-perawi hadis ini kesemuanya merupakan perawi hadis sahih, melainkan seorang perawi yang bernama Hunayd bin al-Qāsim yang dikategorikan sebagai perawi yang boleh dipercayai “thiqah”. Ibn Ḥajar juga turut menyatakan bahawa Hunayd merupakan seorang perawi yang tidak bermasalah, sungguhpun beliau tidak dikenali dari sudut keilmuannya. 

Makna “Wayl” Dalam Quran

Perkataan  ويل “ kecelakaan”  merupakan  satu bentuk ancaman azab di akhirat akibat perbuatan yang diharamkan sebagaimana dalam konteks ayat al-Quran berikut :

Firman-Nya,

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Maksudnya: “ Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pengkeji dan pencaci “

Surah Humazah (1)

Al-Maraghi dalam tafsirnya mendefinisikan  perkataan وَيْلٌ  adalah  kehinaan dan azab seksa. Perkataan itu digunakan dalam bentuk ancaman keras  yang  menunjukkan kemurkaan-Nya  terhadap perbuatan pencaci.

Adakah Nabi Mencela Perbuatan Meminum Darah Baginda?

Merujuk kepada perbincangan mengenai hadis ini, maka persoalan yang timbul ialah adakah “wayl” yang ditujukan kepada Saidina ‘Abdullah bin al-Zubayr merujuk kepada celaan Nabi terhadap perbuatan beliau yang minum darah bekam Baginda?

Walaupun perkataan “wayl” secara asasnya membawa kepada makna “kecelakaan”, namun dalam konteks hadis ini, perkataan “wayl” yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada ‘Abdullah bin al-Zubayr bukanlah menunjukkan Baginda memberikan kecaman dan ancaman disebabkan perbuatan beliau yang minum darah bekam Baginda. Hal ini adalah berdasarkan kepada justifikasi berikut:

1. Majoriti ulama berpendapat bahawa darah Nabi adalah suci. Justeru, perbuatan meminum sesuatu yang suci bukanlah merupakan satu kesalahan sehingga mendapat celaan daripada Baginda.

2. Jika perbuatan ‘Abdullah bin al-Zubayr itu salah sekalipun, beliau juga tidak sepatutnya mendapat celaan terhadap perbuatan itu kerana usia beliau masih kecil pada ketika kejadian tersebut, kerana Rasulullah SAW wafat ketika beliau berumur 8 tahun dan 4 bulan.

3. Jika “wayl” di dalam hadis ini ditujukan kepada ‘Abdullah bin al-Zubayr kerana beliau meminum darah bekam Rasulullah SAW, maka tidak wajar “wayl” tersebut ditujukan juga kepada manusia lain. Hal ini demikian kerana jika sekiranya perbuatan yang dilakukan oleh ‘Abdullah bin al-Zubayr itu haram, maka “wayl” hanyalah beliau sahaja yang melakukan perbuatan tersebut dan bukannya kepada orang lain. Justeru, “wayl” di sini pastinya tidak membawa kepada makna celaan Baginda.

4. Terdapat riwayat lain yang menunjukkan Rasulullah SAW memberikan berita gembira bahawa ‘Abdullah bin al-Zubayr tidak akan disentuh oleh api neraka. Justeru “wayl” di sini pastinya tidak berkait dengan sesuatu perbuatan haram yang dilakukan oleh beliau. Riwayat ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mencela ‘Abdullah bin al-Zubayr di dalam peristiwa ini.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Ungkapan “ويل لك من الناس وويل للناس منك

Oleh kerana “wayl” dalam hadis ini tidak merujuk kepada makna celaan kepada perbuatan meminum darah bekam Nabi, maka perkataan “wayl” ini perlulah ditakwilkan kepada makna yang lebih sesuai untuk ditujukan kepada Saidina ‘Abdullah bin al-Zubayr.

Sungguhpun perkataan “wayl” yang digunakan di dalam Quran dan hadis secara asasnya merujuk kepada kecelakaan di akhirat disebabkan sesuatu perbuatan haram, namun terdapat juga penggunaan perkataan “wayl” yang merujuk kepada sesuatu keadaan buruk yang menimpa. Hal ini misalnya dapat dilihat pada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Zaynab binti Jaḥsh bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِن شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ

Terjemahan: “Wayl bagi bangsa Arab disebabkan keburukan yang mendekati”.

[Muttafaq ‘Alayh]

Bahkan, Saidatina Zaynab binti Jaḥsh turut bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai keburukan yang akan menimpa bangsa Arab ini, adakah keburukan akan tetap menimpa walaupun ada orang-orang yang baik masih ada? Maka Rasulullah SAW pun menjawab:

نَعَمْ، إذَا كَثُرَ الخَبَثُ

Terjemahan: “Ya, jika banyaknya berlaku kemungkaran”.

[Muttafaq ‘Alayh]

Dalam konteks hadis yang dibincangkan ini, terdapat dua perkataan “wayl” yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW kepada ‘Abdullah bin al-Zubayr, iaitu (1)  wayl yang menimpa beliau, dan (2) wayl yang menimpa manusia. Seperti yang telah dijelaskan tadi, wayl disini pastinya tidak merujuk kepada perbuatan ‘Abdullah bin al-Zubayr yang meminum darah bekam Baginda.

Sebaliknya, “wayl” yang menimpa ‘Abdullah bin al-Zubayr adalah merujuk kepada ujian besar yang menimpa beliau pada pengakhiran kehidupan beliau yang diserang oleh bala tentera al-Ḥajjāj bin Yūsuf al-Thaqafi yang mengepung beliau selama lebih 5 bulan sehingga beliau terbunuh dalam serangan dan jenazah beliau telah disalib.

Manakala “wayl” yang menimpa kepada manusia disebabkan ‘Abdullah bin al-Zubayr pula adalah merujuk kepada kepahlawanan beliau sebagai tentera berkuda yang digeruni oleh pihak musuh dalam pelbagai peperangan besar di dalam sejarah Islam. Kehebatan yang ditonjolkan oleh ‘Abdullah bin al-Zubayr inilah yang menyebabkan sebahagian orang menyangkakan bahawa kekuatan tersebut datang daripada darah Nabi yang diminum oleh beliau.

Kesimpulannya, apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW kepada ‘Abdullah bin al-Zubayr bukanlah satu bentuk celaan terhadap beliau, sebaliknya sabdaan itu adalah satu bentuk pengkhabaran mengenai perkara yang akan datang, iaitu satu musibah besar yang akan dihadapi oleh ‘Abdullah bin al-Zubayr sesuai dengan kepahlawanan dan kehebatan ibadah beliau.

Penutup

Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian yang diberikan di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:

1. Perbuatan Sahabat meminum darah bekam Rasulullah SAW tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan, kerana darah Baginda dianggap sebagai suci.

2. Saidina ‘Abdullah bin al-Zubayr merupakan seorang sahabat yang agung, dan pastinya beliau tidak dicela oleh Rasulullah SAW.

3. Hadis Rasulullah SAW yang disebutkan dalam artikel ini merujuk kepada pengkhabaran Baginda mengenai pengakhiran kehidupan ‘Abdullah bin al-Zubayr yang penuh dengan cubaan. 

WaLlāhu A’lam

 

Rujukan:

1. Iaitu kakak kepada Saidatina Aisyah RA.

2. Ibn Kathīr (1997), “al-Bidāyah wa al-Nihāyah”, Beirut: Dār Hijr, 12:186.

هو عبد الله بن الزبير بن العوام بن خويلد بن أسد بن عبد العزى بن قصي بن كلاب، أبو بكر، ويقال له: أبو خبيب، القرشي الأسدي، أول مولود ولد بعد الهجرة بالمدينة من المهاجرين، وأمه أسماء بنت أبي بكر الصديق

 3. Abū ‘Abdillah al-Ḥākim al-Naysābūri (1990), “al-Mustadrak ‘alā al-Ṣaḥīḥayn”, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 3:639.

 4. Abū Nu’aym  al-Aṣbahāni (1974), “Ḥilyah al-Awliyā’ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiyā’”, Mesir: Maṭba’ah al-Sa’ādah, 1:330.

5. Ḍiyā’ al-Dīn al-Maqdisi (2000), “al-Aḥādīth al-Mukhtārah”, Beirut: Dār Khaḍir, 9:308.

6. Abū al-Ḥasan al-Haythami (1994), “Majma’ al-Zawāid wa Manba’ al-Fawā’id”, Kaherah: Maktabah al-Qudsi, 8:270.

7. Abū al-Ḥasan al-Haythami (1994), “Majma’ al-Zawāid wa Manba’ al-Fawā’id”, Kaherah: Maktabah al-Qudsi, 8:270.

رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ وَالْبَزَّارُ بِاخْتِصَارٍ وَرِجَالُ الْبَزَّارِ رِجَالُ الصَّحِيحِ غَيْرَ جُنَيْدِ بْنِ الْقَاسِمِ وَهُوَ ثِقَةٌ.

8. Ibn Hajar al-‘Asqalāniy (1989), “al-Talkhīṣ al-ḥabīr fī Takhrīj Aḥādīth al-Rāfi’i al-Kabīr”, Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1:169.

وَفِي إسْنَادِهِ الْهُنَيْدُ بْنُ الْقَاسِمِ وَلَا بَأْسَ بِهِ لَكِنَّهُ لَيْسَ بِالْمَشْهُورِ بِالْعِلْمِ

9. Al-Maraghi (1946 )”Tafsir Al-Maraghi “, Mesir : Maktabah Mustafa,  30: 237

ويل: أي خزى وعذاب، وهو لفظ يستعمل فى الذم والتقبيح والمراد به التنبيه على قبح ما سيذكر بعد من صفاتهم، والهمزة للمزة: الذي يطعن فى أعراض الناس

أي سخط وعذاب من الله لكل طعّان فى الناس

10. Untuk bacaan lanjut mengenai permasalahan ini, boleh rujuk artikel kami di: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2611-irsyad-al-hadith-siri-ke-287-meminum-darah-rasulullah-saw 

11. Al-Dhahabi (2001), “Siyar A’lām al-Nubalā’”, Beirut: Muassasah al-Risālah, 3:364-365.

قيل : إن ابن الزبير أدرك من حياة رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ثمانية أعوام وأربعة أشهر ، وكان ملازما للولوج على رسول الله ، لكونه من آله ، فكان يتردد إلى بيت خالته عائشة .

12. Abū Nu’aym  al-Aṣbahāni (1974), “Ḥilyah al-Awliyā’ wa Ṭabaqāt al-Aṣfiyā’”, Mesir: Maṭba’ah al-Sa’ādah, 1:330.

Abū Nu’aym membawakan riwayat bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا تمسك النار إلا قسم اليمين

Terjemahan: “Api neraka tidak akan menyentuh kamu melainkan perbuatan melanggar sumpah”.

13.  Dikeluarkan oleh al-Bukhāri (3346) dan Muslim (2880) bahawa Zaynab binti Jaḥsh berkata:

يا رَسولَ اللهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟

14. Ibn Kathīr (1997), “al-Bidāyah wa al-Nihāyah”, Beirut: Dār Hijr, 12:177.

فيها كان مقتل عبد الله بن الزبير رضي الله عنه، على يدي الحجاج بن يوسف الثقفي، المبير، قبحه الله وأخزاه. قال الواقدي: حدثني مصعب بن ثابت، عن نافع مولى بني أسد - وكان عالما بفتنة ابن الزبير - قال: حصر ابن الزبير ليلة هلال ذي الحجة سنة ثنتين وسبعين، وقتل لسبع عشرة ليلة خلت من جمادى الأولى، سنة ثلاث وسبعين، فكان حصر الحجاج له خمسة أشهر، وسبع عشرة ليلة.

15. Al-Dhahabi (2001), “Siyar A’lām al-Nubalā’”, Beirut: Muassasah al-Risālah, 3:379.

قال ابن أبي الدنيا في كتاب " الخلفاء " : صلبوا ابن الزبير منكسا ، وكان آدم ، نحيفا ، ليس بالطويل ، بين عينيه أثر السجود . بعث عماله إلى المشرق كله والحجاز .

16.  Al-Dhahabi (2001), “Siyar A’lām al-Nubalā’”, Beirut: Muassasah al-Risālah, 3:364.

وكان فارس قريش في زمانه ، وله مواقف مشهودة . قيل : إنه شهد اليرموك وهو مراهق ، وفتح المغرب ، وغزو القسطنطينية ، ويوم الجمل مع خالته .

17.  Al-Dhahabi (2001), “Siyar A’lām al-Nubalā’”, Beirut: Muassasah al-Risālah, 3:364.