اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

EDISI KEMASKINI IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-82: RAMADHAN AWALNYA RAHMAT, PERTENGAHANNYA KEAMPUNAN DAN AKHIRNYA PELEPASAN DARIPADA NERAKA.

 

Soalan:

Apakah status berkaitan hadith ini ?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Matan Hadith

Antara matan hadith berkaitan isu ini adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

أَوَّلُ شَهْرِ رَمَضَانَ رَحْمَةٌ ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Permulaan bulan Ramadhan membawa kerahmatan, pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan daripada api neraka”. [Lihat: al-Jami’ al-Saghir, no. Hadith 2815]

 

  • Daripada Salman RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَهُوَ شَهْرٌ أَوَّلُهُ رَحْمَةٌ، وَأَوْسَطُهُ مَغْفِرَةٌ، وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan ia (Ramadhan) permulaannya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pelepasan daripada api neraka”. [Riwayat Ibn Khuzaimah (1887)]

 

Hukum Hadith

Antara ulama’ yang menilai dan menghukum hadith ini ialah:

  • Imam Ibn Khuzaimah menilai hadith ini sebagai sahih di dalam kitabnya iaitu Sahih Ibn Khuzaimah. [Lihat: Sahih Ibn Khuzaimah, no. Hadith 1887]
  • Ibn ‘Adiy: Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt dan dia tidak diketahui. [Lihat: al-Kamil fi Dhu’afa’, 4/325]
  • Al-Khatib al-Baghdadi: Padanya (sanad) terdapat Salam bin Sulaiman dan dia seorang yang dhaif dalam hadith. [Lihat: Awham al-Jama’ wa al-Tafriq, 2/147]
  • Al-‘Uqailiy: Tiada asal baginya dan ia daripada al-Zuhri. [Lihat: al-Dhu’afa’ al-Kabir, 2/162]
  • Al-Hafiz Ibn Hajar: : Padanya (sanad) terdapat Maslamah bin al-Salt. Telah berkata Ibn ‘Adiy bahawa dia (Maslamah) tidak diketahui. [Lihat: Mizan al-I’tidal, 8/59]
  • Al-Albani: Hadith ini adalah Dhaif Jiddan (teramat lemah) [Lihat: Dhaif al-Jami’, 1/135] dan di dalam silsilahnya beliau menghukum hadith ini sebagai Munkar. [Lihat: Silsilah al-Dha’ifah, 2/263]

 

Tarjih Atau Pendapat Kami

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah teramat lemah walaupun Imam Ibn Khuzaimah meriwayatkan hadith ini di dalam sahihnya. Akan tetapi, walaupun statusnya teramat lemah namun ia boleh diamalkan di dalam fadhail al-A'mal. Ini kerana, bulan Ramadhan kesemuanya adalah rahmat, pengampunan dan pembebasan daripada api neraka.

 

Maksud Hadith

Mafhum daripada hadith ini, ia jelas menunjukkan kerahmatan diperolehi dengan tibanya bulan Ramadhan. Hal ini, dapat disaksikan dengan pelbagai bentuk limpahan rahmat dan rezeki yang diperolehi dan dirasai oleh umat Islam. Begitu juga apabila mereka menekuni ibadat dengan bersungguh-sungguh sudah pasti mereka diberi keampunan Allah SWT yang akhirnya melayakkan seseorang itu terselamat daripada api neraka.

 

Penutup

Kesimpulannya, bulan Ramadhan adalah bulan rahmat, pengampunan serta pembebasan daripada api neraka. Untuk itu, sepatutnya kita sebagai umat Islam perlulah bersungguh-sungguh apabila berada di dalam bulan ini dan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang mendapat rahmat, pengampunan serta pembebasan daripada api neraka. Amin.

 

Wallahua'lam