اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-22: BOLEHKAH MELAKUKAN IBADAH KORBAN KE ATAS IBU YANG SEDANG KOMA

ifkh 22

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkaitan ibadah korban, untuk makluman ibu saya sedang sakit dalam keadaan koma (tidak sedarkan diri) sudah 5 tahun, boleh tak sekiranya saya ingin melakukan ibadah korban utk ibu saya yang sedang sakit itu? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW

Syariat Korban

Ibadah korban merupakan salah satu daripada syi’ar Islam. Dan bagi setiap muslim untuk menjaga dan mengamalkannya. Selain itu, ibadah korban juga merupakan Sunnah Nabi Ibarahim AS yang diuji Allah SWT supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Ini supaya dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)

(Surah Al-Kausar, 2)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya:

انَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ‏.‏

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing dan aku juga melakukan korbang dengan dua ekor kambing.

Riwayat al-Bukhari (5553)

Hukum melaksanakan korban ini adalah sunat Muakkad (sangat dituntut) bagi setiap muslim yang berkemampuan. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/478)

Melakukan Korban Untuk Orang Lain

Setiap amalan yang dilakukan itu diberi ganjaran mengikut apa yang diusahakan. Ini kerana pada asal ibadah, tidak boleh dilakukan oleh orang lain, melainkan terdapat dalil yang membolehkannya. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.

(Surah al-Najm, 39)

Begitu juga Firman Allah SWT:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Maksudnya: Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Surah al-Baqarah, 286)

Dalam hal ini, Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya: “Mengikut pandangan ulama’ Syafi’e, tidak boleh melakukan ibadah korban selain daripada mendapat keizinannya. Begitu juga, ke atas orang yang meninggal dunia tidak boleh melainkan sekiranya diwasiat maka diharuskan”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2743)

Imam Nawawi di dalam menyentuh hal ini menyatakan: “Sekiranya seseorang itu melakukan ibadah korban ke atas orang lain tanpa keizinan daripadanya, maka tidak terlaksana ibadah korban ke atasnya”. (Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 8/406)

Selain itu, Dr. Muhammad Zuhaili menyatakan di dalam mu’tamadnya: “Bahawa tidak sah melakukan ibada korban ke atas seseorang yang hidup melainkan mendapat keizinan daripadanya. Ini kerana ibadat secara asalnya tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan di datangkan dengan dalil. Terutamanya apabila tidak mendapat keizinannya. Akan tetapi sekiranya seseorang daripada isi rumah itu melakukan korban maka tertunai sunat kifayah ke atas keluarga yang lain walaupun mereka tidak mengetahuinya”. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Stafi’e, 490)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan nas yang diberikan, dapat disimpulkan kepada dua keadaan:

  • Sekiranya diwasiatkan untuk melakukan ibadah korban, maka dibenarkan
  • Namun sekiranya tidak mewasiatkannya maka tidak dibenarkkan untuk melakukannya. Ini kerana korban merupakan ibadah. Dan ibadah pada asalnya tidak dilakukan oleh orang lain melainkan dengan dalil membenarnya. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh a-Syafi’e, 2/490)
  • Sebaiknya melakukan ibadah korban di atas dirinya sendiri dan iringi dengan niat untuk disedekahkan pahala kepada ibunya. Ini seperti yang dilakukan Baginda SAW. Hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah RAnha bahawa Baginda SAW menyebut ketika melakukan sembelihannya:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.

Riwayat Muslim (1967)

Semoga kita semua mendapat kefahaman yang betul dalam mempraktikan syariat-Nya. Amin