اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-25: ADAKAH DIBOLEHKAN PENGGUNAAN KAIN IHRAM YANG DIBASUH MENGGUNAKAN PELEMBUT KAIN

ifkh25

Soalan

Assalamualaikum Ustaz, kain ihram dan pakaian solat dibasuh serta diletakkan pelembut baju, bolehkah digunakan untuk berihram atau kena basuh semula. Sekiranya saya memakai kain ihram tapi belum niat ihram, jadi belum kena pantang larang ihram. Selepas niat ihram dan kemudian kain ihram saya kotor lalu ditukarkan kain ihram itu dengan kain ihram yg sudah dibasuh dengan pelembut kain (ada wagian). Adakah dibolehkan atau haram.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Perkara Yang Dilarang Ketika Ihram

Setelah berniat untuk berihram, seseorang itu berada di dalam pantang larang ihram. Perkara ini telah ditetapkan oleh syarak dan sekiranya melanggarnya, maka akan dikenakan denda atau dam mengikut jenis larangan yang dilakukannya.

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam karangannya menyatakan: “Di antara larangan-larangan ihram adalah menutup kepala, memakai pakaian berjahit bagi lelaki, menutup muka dan memakai sarung tangan bagi perempuan, berwangi-wangian, bersetubuh, memakai minyak rambut dan janggut, memburu dan mencabut atau membinasakan tumbuhan di tanah Haram”. (Lihat: al-Takrirat al-Sadidah, hlm 502)

Berwangi-wangian (التطيب)

Berwangian merupakan perkara yang dikhususkan dengan nas syarak tentang larangan ketika Ihram. Mengikut pendapat Syafi’eyyah yang dimaksudkan dengan berwangi-wangian adalah bauan yang menyenangkan.

Dan diharamkannya adalah bertujuan untuk berwangi-wangian semata-mata. Sama ada digunakan pada kain ihram, tempat tidur atau kasutnya. Sehingga sekira pada kasutnya itu terdapat wangian wajib menghilangkannya. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/161)

Imam Ramli berpendapat: “Yang dimaksudkan dengan perkara yang dilarang berkenaan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata”. (Lihat: Hasyiah Qalyubi wa U’mairah, 2/168)

Namun, sekiranya bertujuan untuk menyucikan badan dengan menggunakan sabun tidak menjadi larangan ketika berihram. Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan:

Dan tidak menjadi larangan di sisi Syafieyyah membasuh badan dan kepala dengan menggunakan sabun tanpa mencabut rambut. Dan aula (lebih utama) meninggalkannya”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa al-adillatuhu, 3/2297)

Dar Ifta Misriyyah di dalam fatwanya menyatakan:

Selepas berihram diharuskan untuk bermandi, menukar pakaian ihram, menggunakan sabun bagi tujuan menyucikan walaupun terdapat bau menyenangkan. Ini kerana, sabun bukan dinamakan sebagai pewangi. Adapun penggunaan sabun selain daripada yang mempunyai bauan adalah lebih utama”. (Lihat: Dar Ifta’ Misriyyah, No 3308)

Adapun, sebelum melakukan ihram ia merupakan perkara yang disunatkan. Ini merupakan pendapat jumhur fuqaha’, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha:

كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لإِحْرَامِهِ قَبْلَ أَنْ يُحْرِمَ وَلِحِلِّهِ قَبْلَ أَنْ يَطُوفَ بِالْبَيْتِ

Maksudnya: Aku telah memakaikan wangian kepada Rasullullah SAW untuk ihramnya sebelum Baginda berihram dan bertahallul. Sebelum Baginda tawaf di Baitullah.

Riwayat Imam Muslim (1189)

Hal berkenaan dengan berwangi-wangian pada pakaian ihram sebelum melakukan ihram, jumhur ulama’ melarangnya. Dan mengikut pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie dibenarkan. Dan tidak memudharatkan dengan berkekalannya bau wangian itu pada pakaian setelah berihram. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaiyyah, 2/172)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan pandangan fuqaha’ yang diberikan, menggunakan kain ihram yang berbau wangi (sebab menggunakan pelembut kain) selepas berniat ihram adalah tidak dibenarkan dan dikenakan dam (Takhyir dan Takdir). Ini kerana tujuan dan maksud penggunaan pelembut kain itu untuk mewangikan.

Dan ini seperti yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji di dalam buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah menyatakan:

“Penggunaan tisu lembap yang terdapat wangian dan juga softland bertujuan berwangian tidak boleh digunakan semasa di dalam ihram”. (Lihat: Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, hlm. 214)

Oleh itu, sebaiknya ia menghilangkan wangian pada kain ihram sebelum memakainya.

Semoga kita diberi kefahaman yang baik untuk melaksanakan ibadah kepada Allah SWT.