اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-34 : BAGAIMANA NIAT UMRAH NAZAR SERTA YANG MANAKAH PATUT DIDAHULUKAN ANTARA UMRAH WAJIB DAN UMRAH NAZAR?

IF HAJI 34

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada beberapa persoalan. Pada 2007, saya telah bernazar sekiranya saya mendapat anak, saya akan membawanya menunaikan umrah. Alhamdulillah, dalam masa terdekat, saya akan berangkat untuk menunaikan umrah bersama suami dan anak saya itu. Penerbangan saya dijadualkan akan ke Madinah terlebih dahulu. Jadi, saya akan miqat di Bir Ali.

Soalan saya, bagaimanakah niat umrah saya? Adakah niat umrah nazar seperti umrah kebiasaan? Selain itu, yang manakah patut saya utamakan, adakah saya perlu melakukan umrah Islam (wajib) atau umrah nazar terlebih dahulu?

Harap Datuk Mufti dapat beri pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya : “Dan sempurnakanlah Ibadah  Haji dan Umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah : 196)

Selain itu, terdapat sebuah hadis daripada Aisyah R.Anha, katanya : “Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?” Baginda bersabda :

نَعَمْ : جِهَادٌ لاَ قِتَالَ فِيهِ : الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya :Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.

Riwayat Ibn Majah (3013)

Para ulama’ telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma’. Begitu juga, berdasarkan pendapat yang lebih jelas daripada Imam al-Syafie, umrah juga adalah fardhu, sebagaimana haji. Dan ayat dia atas adalah merupakan dalil bagi mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah fardhu. Selain itu, mereka juga telah bersepakat mengatakan bahawa haji dan umrah wajib dilakukan oleh mereka yang mampu, hanya sekali seumur hidup. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/115-116 dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 378-379)

Rukun-rukun umrah

Sepertimana yang kita ketahui, rukun ialah bahagian-bahagian yang asas bagi sesuatu ibadah. Maka, amalan (rukun) umrah adalah seperti berikut :

  • Ihram umrah adalah sebagaimana ihram haji.
  • Melakukan tawaf umrah.
  • Sa’ie di antara Bukit Safa dan Marwah
  • Bercukur atau bergunting rambut.

Syeikh Abd al-Fattah Husein menyatakan difahami daripada perkataan penulis iaitu Imam al-Nawawi bahawa rukun yang kelima bagi ibadah umrah ialah Tertib.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji,2/144 dan al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 386)

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, kami akan bahagikan jawapan kami kepada dua bahagian. Bahagian pertama berkenaan cara niat ihram umrah dan bahagian kedua mengenai yang mana lebih patut diutamakan dahulu antara umrah wajib dan umrah nazar.

Cara niat umrah ihram

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan sesiapa yang mahu menunaikan umrah, hendaklah berniat di dalam hatinya dan melafazkan dengan lisannya secara perlahan (ketika di Miqat) :

نَوَيتُ العُمْرَةَ وَأَحرَمْتُ بها لله تعالى ، لَبَّيكَ اللهُمَّ بِعُمْرَةِ

Maksudnya : “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah taala, Aku menyahut seruanMu Ya Allah untuk berumrah.”

(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 476)

Seterusnya, ucapkanlah talbiah :

لَبَيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya : “Aku menyahut seruan-Mu ya Allah, aku menyahut seruanMu. Tiada sekutu bagiMu, aku menyahut seruanMu. Sesungguhnya puji-pujian dan nikmat adalah bagiMu, dan begitu juga pemerintahan. Tiada sekutu bagiMu.”

Walau bagaimanapun, yang wajib hanyalah berniat dalam hati, manakala melafazkannya dan mengucap talbiah adalah sunat sahaja. Setelah selesai berniat ibadah umrah, maka bermulalah ibadah tersebut dengan segala hukum dan perkara wajib yang berkaitan dengannya.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji,  2/132 )

Manakala, bagi yang mahu menunaikan umrah nazar hendaklah menambah di dalam niatnya seperti, “Sahaja aku mengerjakan umrah nazar dan berihram dengannya kerana Allah taala.” (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, Terbitan Tabung Haji, hlm. 30)

Adapun niat bagi anak atau tanggungannya. Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadi anak tangungannya berihram.

Lafaz niatnya : “Sahaja aku mengerjakan Umrah atau untuk anakku/tanggunganku dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT.”

Perkara ini kami telah bahaskan di dalam Bayan Li al-Haj Siri ke-5 : Hukum Kanak-kanak Mengerjakan Haji.

Antara umrah Islam (wajib kali pertama) atau umrah nazar, yang mana patut di dahulukan?

Terlebih dahulu kita kena ketahui bahawa kedua-dua umrah tersebut termasuk di dalam kewajipan (wajib) yang mesti dia tunaikan. Walau bagaimanapun, yang manakah yang patut dia utamakan? Mengenai hal ini, kaedah fiqh ada menyebutkan :

إذَا تَعَارَضَ وَاجِبَانِ أَوْ حَرَامَانِ قُدِّمَ آكَدُهُمَا

Maksudnya : “Jika bertembung antara dua perkara yang wajib, atau antara dua perkara yang haram, maka didahulukan perkara yang mana lebih kuat.” (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra,1/165)

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan :

فلو وجبت عليه الفروض الثلاثة فالمقدَّم : حجة الإسلام فالقضاء فالنذر

Maksudnya : “Sekiranya diwajibkan ke atasnya (untuk melaksanakan) tiga kefarduan (haji), maka didahulukan haji Islam (yang wajib kali pertama). Kemudian, haji Qada’ (ganti) dan barulah haji nazar.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 471)

Begitu juga, Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sekiranya seseorang bernazar mahu menunaikan haji dan dia masih belum lagi menunaikan haji Islam (yang wajib kali pertama sebagai rukun Islam), maka wajib ke atasnya haji yang lain bagi menunaikan nazarnya. Juga, hendaklah dia memulakan dengan haji Islam kerana apa yang telah ditetapkan oleh syarak didahulukan berbanding apa yang ditetapkan oleh manusia. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/515)

Oleh itu, keutamaan patut diberikan kepada umrah Islam terlebih dahulu. Kemudian, barulah selesaikan umrah nazar pula. Hal ini kerana kewajipan umrah Islam adalah lebih kuat. Selain itu, tempoh bagi menyelesaikan ibadah umrah juga pendek, tidak seperti ibadah haji. Justeru, tiada masalah bagi jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah berkali-kali sepanjang tempoh mereka berada di Mekah.

Caranya ialah, apabila selesai mengerjakan semua rukun ibadah umrah. Kemudian, berkeinginan melakukan umrah lagi, hendaklah dia keluar ke tanah halal dan berniat umrah di sana (sebagaimana penduduk Mekah). Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ : يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda : ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan'im.’ Maka, Abdurrahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.” Riwayat al-Bukhari (1518)

Walau bagaimanapun, melihat kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa nazarnya telah tertunai apabila dia membawa anaknya menunaikan ibadah umrah. Hal ini kerana dia bernazar sekiranya dia direzekikan anak, dia akan membawanya menunaikan umrah. Oleh itu, dengan membawanya menunaikan umrah, maka telah tertunai nazar tersebut, tanpa mengambil kira umrah apa yang dilakukan, sama ada wajib sebagai rukun Islam, nazar atau sunat.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Apabila seseorang bernazar, maka hendaklah dia menunaikan apa yang telah dinazarkan semampu mungkin. Sekiranya dia tidak mampu atau terdapat halangan, dia dikenakan kafarah nazar.
  • Kami berpendapat bahawa nazarnya telah tertunai apabila dia membawa anaknya menunaikan ibadah umrah. Hal ini kerana dia bernazar sekiranya dia direzekikan anak, dia akan membawanya menunaikan umrah. Oleh itu, dengan membawanya menunaikan umrah, maka telah tertunai nazar tersebut, tanpa mengambil kira umrah apa yang dilakukan, sama ada wajib sebagai rukun Islam, nazar atau sunat.
  • Sesiapa yang mahu menunaikan umrah, hendaklah berniat di dalam hatinya dan sunat melafazkan dengan lisannya secara perlahan (ketika di Miqat) : “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah taala, Aku menyahut seruanMu Ya Allah untuk berumrah.” Manakala, bagi yang mahu menunaikan umrah nazar hendaklah menambah di dalam niatnya seperti, “Sahaja aku mengerjakan umrah nazar dan berihram dengannya kerana Allah taala.”
  • Selain itu, kami juga berpendapat bahawa keutamaan patut diberikan kepada umrah Islam (yang wajib kali pertama) terlebih dahulu. Kemudian, barulah selesaikan umrah nazar pula. Hal ini kerana kewajipan umrah Islam adalah lebih kuat. Selain itu, tempoh bagi menyelesaikan ibadah umrah juga pendek, tidak seperti ibadah haji. Justeru, tiada masalah bagi jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah berkali-kali sepanjang tempoh mereka berada di Mekah.
  • Caranya ialah, apabila selesai mengerjakan semua rukun ibadah umrah. Kemudian, berkeinginan melakukan umrah lagi, hendaklah dia keluar ke tanah halal dan berniat umrah di sana (sebagaimana penduduk Mekah).

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah SWT memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.