Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Semasa menunaikan umrah dahulu, saya ada pergi ke tempat saie untuk melihat keadaan di sana. Ada bau yang harum di sana. Saya menyedut bau tersebut. Dalam hati saya berkata, “Oh begini baunya di tempat saie”. Kemudian, baru saya teringat yang saya masih di dalam ihram. Mohon pencerahan Datuk Mufti.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Mukadimah
Antara perkara yang diharamkan ke atas orang yang sedang berihram ialah memakai wangi-wangian. Perkara ini adalah berdasarkan jawapan Baginda SAW ketika menjawab mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram, sabdanya SAW :
وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ
Maksudnya : “Janganlah kamu memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” Riwayat al-Bukhari (1542)
Memakai wangi-wangian
Maksud wangian tersebut ialah setiap apa yang dianggap sebagai wangi-wangian menurut adat setempat yang mana penggunaannya adalah untuk wangi-wangian semata-mata. Maka, diharamkan ke atas orang yang berihram untuk menggunakannya, walau bagaimana cara sekalipun. Berbeza sekiranya, penggunaan bahan tersebut bukan bertujuan untuk berwangi-wangian semata-mata (dinikmati baunya) tetapi tujuannyanya adalah untuk perubatan atau merawat atau dimakan sekalipun baunya wangi, maka tidak haram ke atasnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 504 dan Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)
Sesiapa yang melanggar pantang larang ini semasa sedang berihram dengan memakai wangi-wangian, wajib ke atasnya membayar dam. Bagi kesalahan ini, dia diberi pilihan antara :
- Menyembelih seekor kambing atau,
- Memberi makanan 3 gantang kepada 6 orang miskin dengan tiap-tiap seorang ½ gantang atau,
- Berpuasa 3 hari.
(Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/325)
Akan tetapi, sekiranya seseorang itu memakai wangi-wangian kerana tidak sengaja (terlupa) atau tidak mengetahui haramnya (jahil) pelakunya dimaafkan dan tidak perlu membayar fidyah (dam). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502 dan Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/308) Namun, dia hendaklah segera menanggalkan atau menghilangkannya saat dia sedar atau tahu akan perkara tersebut.
Menghidu bau wangi ketika dalam ihram
Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa penggunaan wangi-wangian ialah dengan melekatkan bau wangian tersebut pada badan atau pada apa yang dipakainya (pakaian) mengikut cara biasa wangian tersebut dipakai. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/322)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan di dalam kitabnya bahawa penggunaan wangi-wangian boleh berlaku dalam empat keadaan :
- Dengan membakarnya, supaya asapnya dapat digunakan untuk mewangikan seperti menggunakan kayu Oud. Haram bagi seorang yang sedang berihram untuk mengenakan asap tersebut kepada badannya atau pakaiannya.
- Dengan menghilangkan ‘ainnya (kerana meresap) seperti air mawar dan cologne.
- Dengan menikmati baunya (melalui hidung) seperti bunga mawar dan bau-bauan yang lain.
- Dengan membawanya seperti kasturi dan seumpamanya.
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 504)
Namun, Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan bahawa jika seseorang yang sedang berihram duduk di dalam satu tempat yang berbau harum (wangi) seperti di kedai minyak wangi atau di sisi Kaabah yang sedang diasapkan (dengan Oud) atau di dalam rumah yang mana ahlinya sedang membakar Oud (mengasapkannya), dia tidak perlu membayar fidyah (dam). Akan tetapi, sekiranya dia berniat (bertujuan) untuk menghidu baunya (wangian tersebut), hukumnya adalah makruh dan sekiranya dia tidak berniat demikian, hukumnya adalah tidak makruh.
Begitu juga, tidak dikira termasuk dalam hukum wangi-wangian, menghidu bunga mawar atau menghidu air mawar di dalam bekas sebagaimana riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma :
يشم المحرم الريحان، ويتداوى بالزيت أو السمن
Maksudnya : “Seorang yang sedang berihram menghidu wangi-wangian dan berubat dengan minyak atau lemak.”
(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/322-323)
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat bahawa mengidu bau wangi-wangian secara tidak sengaja, hukumnya adalah tidak mengapa dan tidak makruh. Namun, sekiranya dia sengaja melalui kawasan saie untuk menghidu bau wangi-wangian di situ, hukumnya adalah makruh dan tidak perlu membayar dam.
Kesimpulannnya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menghidup bau wangi-wangian secara tidak sengaja di kawasan saie ketika masih dalam ihram, hukumnya adalah tidak makruh serta tidak dikenakan dam. Lebih-lebih lagi, memakai wangi-wangian termasuk dalam perkara yang dimaafkan ke atas pelakunya sekiranya terlupa atau jahil (tidak tahu). Namun, sekiranya seseorang itu sengaja melalui kawasan saie bagi menghidu bau wangi tersebut, hukumnya adalah makruh.
Akan tetapi, kami ingin menasihati, adalah lebih baik sekiranya dapat dielakkkan bagi seseorang yang sedang berihram daripada melalui kawasan-kawasan yang berbau wangi, dengan tujuan menghidu bau wangi-wangian di kawasan tersebut kerana meninggalkan perkara-perkara yang khilaf termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai :
الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya : “Keluar dari perkara-perkara khilaf adalah sunat (digalakkan).”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.