SOALAN
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, apakah hukum memanggil panggilan ‘haji’ atau ‘hajah’ kepada seseorang yang belum menunaikan haji?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Hukum memanggil gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ seperti Haji Ahmad atau Hajah Aminah kepada seseorang yang belum menunaikan haji ialah haram jika bertujuan untuk menipu, mengelirukan masyarakat dan untuk mengambil manfaat daripada gelaran tersebut. Adapun jika dipanggil dengan makna bahasa, seperti merujuk kepada orang yang berusia, orang yang melazimi solat berjemaah dan lain-lain sebagai contoh, maka ia diharuskan.
Namun sebaiknya dielakkan menggunakan panggilan sedemikian kepada orang yang belum menunaikan haji bagi mengelakkan daripada khilaf. Bahkan, digalakkan untuk mengganti kepada gelar-gelar penghormatan yang lain seperti pakcik, makcik, tuan, puan atau selainnya.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pada adatnya, panggilan gelaran dihadapan nama sebenar seseorang itu menunjukkan penghormatan kepadanya. Gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’ pada kebiasaannya ialah gelar bagi mereka yang telah menunaikan fardu haji.[1]
Manakala bagi orang yang belum menunaikan haji disebut dalam kitab turath disebut al-sarurah (الصّرورة). Makna bagi perkataan tersebut dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
وَالصَّرُورَةُ - بِالصَّادِ الْمُهْمَلَةِ - قَدْ بَيَّنَّاهُ قَرِيبًا وَأَنَّهُ اسْمٌ لِمَنْ لَمْ يَحُجَّ سُمِّيَ بِذَلِكَ لِأَنَّهُ صر بنفسه عن أخراجها فِي الْحَجِّ وَيُقَالُ أَيْضًا لِمَنْ لَمْ يَتَزَوَّجْ صَرُورَةٌ لِأَنَّهُ صَرَّ بِنَفْسِهِ عَنْ إخْرَاجِهَا فِي النِّكَاحِ.
Maksudnya: Al-Sarurah, huruf ص tanpa titik, yang akan kami terangkan ini, ialah gelar bagi sesiapa yang belum menunaikan haji. Digelarkan dengan gelar sedemikian kerana mereka menghalang dirinya daripada keluar melakukan haji. Selain itu, ia juga ialah gelar bagi mereka yang belum berkahwin kerana mereka menghalang diri mereka daripada pergi bernikah.[2]
Terdapat perbincangan secara selingan dalam kitab-kitab fiqh tentang hukum memanggil seseorang yang belum menunaikan dengan panggilan ‘haji’. Antaranya yang disebut oleh Imam Syamsuddin al-Ramli di dalam kitabnya, Nihayat al-Muhtaj bahawa:
وَقَعَ السُّؤَالُ عَمَّا يَقَعُ كَثِيرًا فِي مُخَاطَبَاتِ النَّاسِ بَعْضِهِمْ لِبَعْضٍ مِنْ قَوْلِهِمْ لِمَنْ لَمْ يَحُجَّ يَا حَاجَّ فُلَانٍ تَعْظِيمًا لَهُ هَلْ هُوَ حَرَامٌ أَوْ لَا؟ وَالْجَوَابُ عَنْهُ أَنَّ الظَّاهِرَ الْحُرْمَةُ لِأَنَّهُ كَذَبَ، إنَّ مَعْنَى يَا حَاجُّ: يَامَنَ أَتَى بِالنُّسُكِ عَلَى الْوَجْهِ الْمَخْصُوصِ. نَعَمْ إنْ أَرَادَ بِيَا حَاجُّ الْمَعْنَى اللُّغَوِيَّ وَقَصَدَ بِهِ مَعْنًى صَحِيحًا، كَأَنْ أَرَادَ بِيَا حَاجُّ يَا قَاصِدَ التَّوَجُّهِ إلَى كَذَا كَالْجَمَاعَةِ أَوْ غَيْرِهَا فَلَا حُرْمَةَ.
Maksudnya: Terdapat pertanyaan tentang hal yang banyak berlaku dalam perbualan masyarakat sesama mereka iaitu panggilan mereka kepada seseorang yang belum menunaikan haji dengan panggilan ‘wahai Haji Fulan’ sebagai penghormatan kepadanya, adakah ia haram ataupun tidak? Jawapannya, secara zahir hukumnya adalah haram kerana ia merupakan penipuan. Ini kerana makna sebenar ‘wahai Haji Fulan’ ialah ‘wahai orang yang telah menunaikan ibadah haji’ dalam bentuk khusus. Ya, jika diinginkan daripada panggilan ‘Haji Fulan’ tersebut dengan maksud bahasa dan dia maksudkan dengannya panggilan itu makna yang betul dari sudut bahasa, seperti menganggap panggilan ‘wahai orang yang menuju kepada solat berjemaah dan selainnya sebagai contoh, maka tidak menjadi haram.[3] (Rujuk Nihayat al-Muhtaj, 3:242)
Oleh yang demikian, haram memanggil seseorang yang belum menunaikan haji dengan panggilan ‘Haji Fulan’ dengan tujuan untuk menipu, mengelirukan masyarakat dan untuk mengambil manfaat daripada gelaran tersebut. Adapun jika disebutkan dengan makna bahasa yang bukan dimaksudkan dengan panggilan tersebut bagi seseorang yang telah menunaikan haji serta tidak berniat untuk menipu, seperti merujuk kepada orang yang telah berusia, orang yang melazimi solat berjemaah dan seumpamanya sebagai contoh, maka ia diharuskan.
WaAllahu a’lam.
RUJUKAN
[1] Ahmad, Muhammad Arif, 1998, Penggunaan Kata-kata Panggilan Hormat dan Gelar Menurut Kaedah Bahasa dan Kebudayaan Melayu, The Malay Language Council, 5-6.
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, Beirut, jld 7, hlmn. 117.
[3] Al-Ramli, Syamsuddin, 1984, Nihayat al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 3, hlmn. 242