Soalan:
Assalamualaikum WBT. Sekiranya saya mempunyai kemampuan, mana lebih baik bagi saya untuk melakukan korban, sama ada menyembelih seekor kambing atau satu bahagian lembu?
Ringkasan Jawapan:
Melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal dibandingkan dengan satu bahagian lembu.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal dibandingkan dengan satu bahagian lembu. Perkara ini disebutkan oleh Imam Khatib al-Syirbini, menurutnya:
(Melakukan korban) bagi seekor kambing adalah lebih afdal daripada berkongsi seekor unta kerana seseorang itu bersendirian dalam menumpahkan darah dan lebih enak dagingnya (Rujuk Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 4/285).
KESIMPULAN
Melakukan korban dengan seekor kambing lebih afdal dibandingkan dengan satu bahagian lembu kerana mengorbankan satu haiwan untuk seorang lebih afdal daripada berkongsi beberapa orang pada satu haiwan. Selain itu, daging kambing juga lebih baik dan enak untuk dikongsi dan diagihkan kepada orang lain.
Wallahu a’lam.