اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE - 67 : ADAKAH SAH HAIWAN SEMBELIHAN KORBAN YANG DITEBUK TELINGANYA?

tindik

 

 

SOALAN

Assalammualaikum, Pihak veterinar dalam perancangan penetapan tanda pengenalan haiwan  terhadap pelbagai jenis haiwan ternakan. Antara jenis-jenis tanda pengenalan ialah menggunakan tag telinga dengan cara menindik telinga (electronic or non-electronic) bagi tujuan penandaan. Proses tersebut tidak menyakitkan binatang. Namun timbul kerisauan kepada pihak penternak  jika berlaku telinga koyak atau berlubang  semasa atau sepanjang  tag telinga berkenaan  berada di telinga haiwan ternakan. Hal yang demikian dikatakan tidak sesuai dijadikan haiwan sembelihan korban.  Mohon pencerahan S.S Mufti?

Ringkasan Jawapan:

Tebukan telinga haiwan lembu itu bagi tujuan penandaan nombor tidak menjejaskan implikasinya terhadap syarat sah haiwan sembelihan korban. Namun, dicadangkan pihak berkenaan agar menggunakan apa-apa kaedah yang boleh meminimumkan lubang tebukan dengan tindikan yang paling kecil dan halus seperti tindikan jarum anting -anting yang sangat halus sekadar ia mampu berfungsi sebagai penandaan

Huraian Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pemilihan haiwan korban mestilah tiada cacat cela yang jelas ketara berdasarkan hadis sahih daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي

Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”.

Riwayat Abu Daud (2802)

Jenis-jenis Kecacatan Yang Menghalang Ibadah Korban

Para ulama bersepakat terhadap galakkan untuk memilih haiwan korban yang terbaik dan yang sempurna. [1] 

Al-Nawawi menjelaskan jenis-jenis  kecacatan yang ketara pada binatang yang tidak menepati syarat-syarat korban. Antara syarat haiwan korban mestilah   selamat daripada aib mahupun aib yang boleh mengurangkan dagingnya.  Oleh yang demikian, tidak sah binatang sembelihan korban yang mempunyai ciri-ciri berikut :

  1.  sangat kurus,
  2. gila,
  3.  putus sebahagian telinga,
  4.  tempang,
  5.  buta sebelah mata,
  6. sakit
  7. kudis yang sedikit tidak sah dijadikan haiwan korban menurut pendapat mazhab Syafi’i.

Namun  tidak terjejas yang sedikit aibnya  seperti  berikut  :

  1.  ketiadaan tanduk-tanduk,
  2.  koyak telinga,
  3.  tebukan telinga.”[2]

Berdasarkan kenyataan di atas, haiwan korban yang tidak jelas ketara kecacatannya seperti koyak telinga dan tebukan telinga, masih sah dijadikan haiwan korban disebabkan hanya sedikit aib dan tidak mengurangkan daging.

Keputusan Fatwa Antrabangsa Haiwan Korban Yang DiTebuk/DiTindik Telinga

i. Darul Ifta’ Fatwa Jordan: Sah korban sekiranya terdapat koyak atau tebukan pada telinga haiwan kerana tidak berlaku sebarang pengurangan pada daging.[3]

ii. Darul Ifta’ Mesir: Sah korban sekiranya terkoyak pada telinga haiwan yang tidak melebihi satu pertiga, ataupun berlaku tebukan yang tidak dianggap besar.[4]

iii. Darul Ifta’ UAE: Harus melakukan korban pada haiwan yang terkoyak atau tertebuk pada telinganya kurang dari satu pertiga. Manakala makruh jika melebihi satu pertiga hingga separuh. Tidak sah korban sekiranya melebih dari separuh.[5]

Berdasarkan amalan menebuk telinga haiwan di negara kita, masih dianggap kecacatan yang sedikit. Bahkan koyak telinga dan tebukan telinga merupakan aib yang sedikit dan tidak mengurangkan daging, maka sah untuk sembelihan haiwan korban.

Penutup

Setelah meneliti perbahasan fuqaha serta fatwa-fatwa Antarabangsa, haiwan sembelihan korban mestilah tiada kecacatan ketara seperti terputus telinga atau lebih teruk daripada itu. Bahkan aib telinga yang sedikit sama ada terkoyak atau berlubang pada telinga haiwan adalah sah di jadikan haiwan korban. Hal ini dapat disimpulkan kepada beberapa perkara berikut :

  • Sekiranya telinga haiwan sembelihan korban terbelah atau bertindik maka ia sah dijadikan haiwan korban kerana tidak hilang sebahagian anggota yang dimakan dan aib kecacatanya sedikit.
  • Sah haiwan korban jika kadar tebukan lubang pada telinga kurang dari satu pertiga saiz telinga.
  • Manakala makruh jika melebihi satu pertiga hingga separuh. Tidak sah korban sekiranya melebih dari separuh.
  • Tidak memotong telinga haiwan sembelihan walaupun sedikit, kerana hilang sebahagian daging haiwan korban.

Oleh itu, tebukan telinga haiwan lembu itu bagi tujuan penandaan nombor tidak menjejaskan implikasinya terhadap syarat sah haiwan sembelihan korban. Bahkan  tujuan tersebut atas alasan munasabah dan maslahah umum bagi mengawal penyakit haiwan daripada merebak  selain untuk memudahkan mengenalpasti lembu yang di vaksin. Walau bagaimanapun, dicadangkan kepada pihak yang berkenaan agar menggunakan apa-apa kaedah yang boleh meminimumkan lubang tebukan dengan tindikan yang paling kecil dan halus seperti tindikan jarum anting -anting yang halus sekadar ia mampu berfungsi sebagai penandaan.

 

RUJUKAN : 

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, Beirut, jld. 13, hlmn. 120

وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ الْعُيُوبَ الْأَرْبَعَةَ الْمَذْكُورَةَ فِي حَدِيثِ الْبَرَاءِ وهو المرض والعجف والعور والعرج

[2]Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Dar al-Fikr, Beirut, jld. 1, p:320

وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما فلا تجزىء عجفاء ومجنونة ومقطوعة بعض إذن وذات عرج وعور ومرض وجرب بين ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الجرب والله أعلم

[3] دار الإفتاء - من أحكام الأضحية (aliftaa.jo)

الشاة مقطوعة الأذن لا يصح التضحية بها لنقصها، أما مثقوبة ومشقوقة الأذن فيصح التضحية بها لعدم حصول النقص.

[4] أهم 55 سؤالاً وإجابة شرعية عن "الأضحية".. المصريون سألوا دار الإفتاء عن كيفية تقسيم الذبيحة وآخر وقت للذبح.. وهل تجزئ الأضحية عن العقيقة.. وهل يجوز إنابة غير المسلم فى الذبح؟.. وما حكم صك الأضاحِى؟ - اليوم السابع (youm7.com)

الأنعام التى تجزئ فى الأُضْحِيَّة وبها عيب ليس بفاحش هىكالآتى: الشرقاء وهى مشقوقة الأذن، وإن زاد الشق على الثلث، الخرقاء وهى مثقوبة الأذن.

[5] https://www.emaratalyoum.com/local-section/other/2010-11-01-1.311509«لجنة الفتوى» تجيز ثقب أذن الأضحية (emaratalyoum.com)

ونصت الفتوى على أن «وسم الأضحية (ثقب الأذن) لأجل التعريف أو الترقيم جائز شرعاً، وما كان خفيفاً ولا يزيد على قطع ثلث الأذن لا يكره ولا يمنع جواز الأضحية، وما كان فوق الثلث إلى النصف يجيز مع الكراهة، وما زاد على النصف لا يجيز».