اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-69: BENARKAH KISAH BUKIT SAFA DAN MARWAH BERASAL DARIPADA SUMPAHAN NAILA DAN ISAF YANG BERZINA

ifhk69.JPG

Soalan

Assalamualaikum wrt.wbt. Saya akan pergi menunaikan haji dalam masa terdekat ini. Kawan saya ada menceritakan tentang sejarah sa’i di safa dan marwah. Katanya bukit safa dan marwah berasal dari sumpahan orang yang bernama Isaf dan Nailah. Benarkah kisah ini? Mohon pencerahan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Isaf dan Nailah merupakan berhala yang disembah dan diagungkan oleh masyarakat jahiliah ketika melakukan sa’i. Berhala Isaf diletakkan di bukit Safa manakala Nailah di Marwah. Menurut kepercayaan ahli kitab, kisah berhala Isaf dan Nailah disumpah menjadi batu kerana mereka berzina di dalam Kaabah, lalu Allah SWT murka kemudian mereka disumpah menjadi batu.

Malah kepercayaan ini turut terkesan kepada masyarakat jahiliah dan juga golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Apabila masyarakat Ansar telah memeluk Islam, mereka masih menyangka bahawa ibadah Sa’i merupakan amalan masyarakat jahiliah dan mengangap perbuatan sa’i merupakan amalan mensyirikkan Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT menurunkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) yang menjelaskan bahawa ibadah sa’i dari Safa dan Marwah bukanlah amalan masyarakat jahiliah, akan tetapi ia merupakan syiar agama Allah SWT (Islam). Setelah kedatangan Islam dan pembukaan kota Mekah patung Isaf dan Nailah dimusnahkan oleh Baginda Nabi SAW kerana perbuatan sa’i di antara dua patung tersebut merupakan amalan syirik pada zaman jahiliah dan ia bercanggah dalam ajaran Islam.

Huraian Jawapan

Ibadah Sa’i merupakan rukun dalam ibadah haji dan umrah, ia disyariatkan berjalan dengan berulang-alik bermula dari bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

Surah al-Baqarah (158)

Ayat di atas diturunkan kerana masyarakat pada ketika itu telah meletak dua berhala bernama Isaf dan Nailah di bukit Safa dan Marwah. Ketika mereka bersa’i dengan berjalan berulang alik dari Safa dan Marwah, mereka akan menyentuh dan mengusap kedua-dua patung itu sebagai tanda mengagungkannya. Imam al-Baghawi menyebut di dalam tafsirnya:

وَسَبَبُ نُزُولِ هَذِهِ الْآيَةِ أَنَّهُ كَانَ عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ صَنَمَانِ أَسَافُ وَنَائِلَةُ، وَكَانَ أَسَافُ عَلَى الصَّفَا وَنَائِلَةُ عَلَى الْمَرْوَةِ، وَكَانَ أَهْلُ الْجَاهِلِيَّةِ يَطُوفُونَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ تَعْظِيمًا لِلصَّنَمَيْنِ وَيَتَمَسَّحُونَ بِهِمَا

Maksudnya: Sebab diturunkan ayat ini kerana terdapat pada Safa dan Marwah dua bentuk patung Isaf dan Nailah. Patung Isaf diletak pada Safa dan Nailah pada Marwah. Oleh itu, masyarakat jahiliah melakukan sa’i di antara Safa dan Marwah sebagai tanda mengagungkan kedua-dua patung tersebut di samping menyentuh mereka ketika bersa’i.[1]

Selain itu, terdapat hadis yang menceritakan tentang Isaf dan Nailah iaitu patung yang terletak di pinggir pantai. Patung ini disembah oleh golongan Ansar sebelum mereka pergi mengerjakan sa’i. Hal ini sepertimana yang direkodkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah RAnha:

أَنَّ الأَنْصَارَ كَانُوا يُهِلُّونَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لِصَنَمَيْنِ عَلَى شَطِّ الْبَحْرِ يُقَالُ لَهُمَا إِسَافٌ وَنَائِلَةٌ ‏.‏ ثُمَّ يَجِيئُونَ فَيَطُوفُونَ بَيْنَ الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ ثُمَّ يَحْلِقُونَ ‏.‏ فَلَمَّا جَاءَ الإِسْلاَمُ كَرِهُوا أَنْ يَطُوفُوا بَيْنَهُمَا لِلَّذِي كَانُوا يَصْنَعُونَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ قَالَتْ فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ‏ {‏ إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ‏}‏ إِلَى آخِرِهَا - قَالَتْ - فَطَافُوا ‏.‏

Maksudnya: Sesungguhnya golongan Ansar pada zaman jahiliah akan bertalbiah memuja dua bentuk patung yang diletak di persisiran pantai dikenali sebagai Isaf dan Nailah. Kemudian mereka akan pergi bersa’i di antara Safa dan Marwah, setelah itu mereka bercukur. Setelah kedatangan Islam, mereka enggan bersa’i mengelilingi kedua-dua patung tersebut yang mereka sembah pada zaman jahiliah. Saidatina Aishah berkata: Lalu Allah Azza wa Jalla menurutkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) sehingga akhir ayat. Aishah berkata lagi: Kemudian mereka pon bersa’i (di antara Safa dan Marwah)

Riwayat Muslim (1277)

Kisah Isaf dan Nailah merupakan kisah seorang lelaki yang bernama Isaf bin Baqa’ juga dikatakan Isaf bin Amr. Manakala Nailah pula seorang wanita yang bernama Nailah binti Zi’bin dikatakan Nailah binti Sahl dan mereka berdua dari kalangan Jurhum. Diceritakan bahawa mereka berdua telah berzina di dalam Kaabah lalu Allah SWT mengutuk mereka lalu disumpah menjadi batu. Setelah itu, patung mereka diletakkan di dalam Kaabah dan menurut kisah yang lain patung mereka diletak di Safa dan Marwah sebagai iktibar dan peringatan kepada manusia. Kemudian patung mereka dipindahkan oleh Qusai bin Kilab di sisi Kaabah dan seterusnya dipindahkan ke telaga Zamzam. Pada hari pembukaan kota Mekah, Nabi SAW menghancurkan keduanya.[2]

Imam al-Qurtubi menyebut bahawa, kisah zina Isaf dan Nailah dan ditukar oleh Allah SWT menjadi batu lalu patung mereka diletakkan di Safa dan Marwah sebagai pengajaran dan pedoman. Perkara ini dipegang oleh golongan Ahli Kitab, setelah tempoh masa berlalu masyarakat mula menyembah patung tersebut. [3]

Berdasarkan maklumat di atas, Isaf dan Nailah merupakan berhala yang disembah dan diagungkan oleh masyarakat jahiliah ketika melakukan sa’i. Berhala Isaf diletakkan di bukit Safa manakala Nailah di Marwah. Menurut kepercayaan ahli kitab, kisah berhala Isaf dan Nailah disumpah menjadi batu kerana mereka berzina di dalam kaabah, lalu Allah SWT murka kemudian mereka disumpah menjadi batu.

Malah kepercayaan ini turut terkesan kepada masyarakat jahiliah dan juga golongan Ansar sebelum memeluk Islam. Apabila masyarakat Ansar telah memeluk Islam, mereka masih menyangka bahawa ibadah Sa’i merupakan amalan masyarakat jahiliah dan menggangap perbuatan sa’i merupakan amalan mensyirikkan Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT menurunkan ayat (إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ) yang menjelaskan bahawa ibadah sa’i dari Safa dan Marwah bukanlah amalan masyarakat jahiliah, akan tetapi ia merupakan syiar agama Allah SWT (Islam). Setelah kedatangan Islam dan pembukaan kota Mekah patung Isaf dan Nailah dimusnahkan oleh Baginda Nabi SAW kerana perbuatan sa’i di antara dua patung tersebut merupakan amalan syirik pada zaman jahiliah dan ia bercanggah dalam ajaran Islam.[4]

Wallahu’alam

 

[1] Abu Muhammad al-Husain bin Mas’ud bin Muhammad bin Fira’ al-Baghawi al-Syafi’e, Ma’alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1420H) 1/191

[2] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi 1392H) 9/22-23

وَأَمَّا إِسَافٌ وَنَائِلَةٌ فَلَمْ يَكُونَا قَطُّ فِي نَاحِيَةِ الْبَحْرِ وَإِنَّمَا كَانَا فِيمَا يُقَالُ رَجُلًا وَامْرَأَةً فَالرَّجُلُ اسمه اساف بن بقاء ويقال بن عَمْرٍو وَالْمَرْأَةُ اسْمُهَا نَائِلَةُ بِنْتُ ذِئْبٍ وَيُقَالُ بِنْتُ سَهْلٍ قِيلَ كَانَا مِنْ جُرْهُمَ فَزَنَيَا دَاخِلَ الْكَعْبَةِ فَمَسَخَهُمَا اللَّهُ حَجَرَيْنِ فَنُصِّبَا عِنْدَ الْكَعْبَةِ وَقِيلَ عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ لِيَعْتَبِرَ النَّاسُ بِهِمَا وَيَتَّعِظُوا ثُمَّ حَوَّلَهُمَا قُصَيُّ بْنُ كِلَابٍ فَجَعَلَ أَحَدَهُمَا مُلَاصِقَ الْكَعْبَةِ وَالْآخَرَ بِزَمْزَمَ وَقِيلَ جَعَلَهُمَا بِزَمْزَمَ وَنَحَرَ عِنْدَهُمَا وَأَمَرَ بِعِبَادَتِهِمَا فَلَمَّا فَتَحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَكَّةَ كَسَرَهُمَا

[3] Tafsir al-Qurtubi 2/179

وَزَعَمَ أَهْلُ الْكِتَابِ أَنَّهُمَا زَنَيَا في الكعبة فمسخهما الله حجرين فَوَضَعَهُمَا عَلَى الصَّفَا وَالْمَرْوَةِ لِيُعْتَبَرَ بِهِمَا، فَلَمَّا طَالَتِ الْمُدَّةُ عُبِدَا مِنْ دُونِ اللَّهِ، وَاللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ

[4] Badruddin al’Aini, Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad bin Musa al-Ghaitabi al-Hanafi, ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabiy) 9/287

يُقَال لَهما: أساف ونائلة، ثمَّ يجيئون فيطوفون بَين الصَّفَا والمروة، ثمَّ يحلقون، فَلَمَّا جَاءَ الْإِسْلَام كَرهُوا أَن يطوفوا بَينهمَا للَّذي كَانُوا يصنعونه فِي الْجَاهِلِيَّة، فَأنْزل الله تَعَالَى الْآيَة. وَفِي لفظ إِذا أهلوا لمناة لَا يحل لَهُم أَن يطوفوا بَين الصَّفَا والمروة، وَيُقَال: إِن الْأَنْصَار قَالُوا: إِنَّمَا أمرنَا بِالطّوافِ وَلم نؤمر بالسعي بَين الصَّفَا والمروة، فَنزلت الْآيَة وَقَالَ السّديّ: كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّة تعرف الشَّيَاطِين فِي اللَّيْل بَين الصَّفَا والمروة، وَكَانَت بَينهمَا آلِهَة، فَلَمَّا ظهر الْإِسْلَام قَالَ الْمُسلمُونَ: يَا رَسُول الله لَا نطوف بَين الصَّفَا والمروة، فَإِنَّهُ شرك كُنَّا نضعه فِي الْجَاهِلِيَّة، فَنزلت الْآيَة