اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE 72: ADAKAH ORANG YANG BANKRAP BOLEH MELAKSANAKAN HAJI

ADAKAH_ORANG_YANG_BANKRAP_BOLEH_MELAKSANAKAN_HAJI_2.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Datuk Mufti. Saya telah diisytiharkan bankrap oleh Mahkamah Tinggi kerana kegagalan membayar hutang. Saya telah membuat permohonan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia untuk menjelaskan hutang tersebut secara ansuran dan telah mendapat kelulusan. Persoalannya, adakah seorang yang bankrap dikira sebagai orang yang tidak mampu untuk mengerjakan fardu haji kerana saya sudah mendapat panggilan haji pada tahun ini. Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Individu yang diisytihar bankrap oleh mana-mana badan berautoriti dan telah mendapat panggilan haji, maka terdapat beberapa pandangan hukum berkenaannya. Pertama, bagi mereka yang berkemampuan untuk membayar segala hutangnya dengan segera maka wajib ia berbuat demikian. Lebihan harta tersebut pula mestilah mencukupi bagi menanggung nafkah tanggungan sepanjang permusafiran. Kemudian, jika ada lebihan harta maka dia wajib menunaikan haji. Kedua, jika dia tidak mampu membayar segera maka perlu membuat permohonan kepada badan berautoriti untuk membuat pembayaran ansuran. Sekiranya diluluskan, maka mereka harus menunaikan haji dengan syarat nafkah bagi tanggungan mencukupi selama ketiadaannya dan hajinya itu tidak menjejaskan pembayaran hutang setelah ia pulang kemudian.

Huraian Jawapan

Ibadah haji merupakan satu kefarduan yang perlu ditaati oleh umat islam secara amnya dan termasuk dalam salah satu daripada rukun-rukun islam. Orang islam yang telah memenuhi syarat-syarat wajib haji perlu menunaikan haji bahkan dia dikira berdosa sekiranya mengambil ringan akan kewajipan ini. Salah satu daripada syarat wajib haji adalah berkemampuan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلۡبَیۡتِ مَنِ ٱسۡتَطَاعَ إِلَیۡهِ سَبِیلࣰا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

Surah Ali Imran (97)

Konsep orang yang berkemampuan (istitaah) untuk menunaikan haji menurut Imam al-Syafi’i terbahagi kepada dua[1]:

  1. Kemampuan secara langsung : Orang yang mampu menunaikan haji dengan dirinya (secara fizikal) iaitu mereka yang mempunyai kekuatan untuk mengadakan perjalanan dan mempunyai perbelanjaan harta yang mencukupi. Mereka yang dikategorikan dalam golongan ini wajib menunaikan haji dengan dirinya sendiri dan tiada pilihan lain kerana dianggap berkemampuan secara sempurna.
  2. Kemampuan secara tidak langsung : Orang yang sukar (sakit) untuk menunaikan haji dengan dirinya dalam keadaan tidak mampu mengadakan perjalanan. Namun dia mampu untuk mengupah dan menanggung perbelanjaan harta bagi orang yang melakukan haji bagi pihaknya.  Golongan ini juga wajib ke atasnya haji sebagaimana orang yang mampu haji dengan sendirinya.

Maksud “berkemampuan” dalam melaksanakan haji sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda[2]:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا يُوجِبُ الْحَجَّ قَالَ :‏ الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ.

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW dan bertanya: “wahai Rasulullah, Apakah perkara yang menyebabkan wajib haji?” Baginda bersabda: “Bekalan dan kenderaan”.

(Sunan al-Tirmidzi)

Berdasarkan hadis di atas, antara aspek utama yang diambil kira bagi memastikan seseorang itu tergolong dalam golongan yang berkemampuan iaitu mempunyai bekalan dan kenderaan. Apa yang dimaksudkan dengan mempunyai bekalan adalah merangkumi perbelanjaan pergi dan balik bagi mereka yang difardukan haji seperti bayaran tiket penerbangan, kos pembuatan pasport, kos penghasilan visa perjalanan, bayaran upah pengendali haji, kos perbelanjaan sepanjang menunaikan haji dan lain-lain yang berkaitan. Selain itu, mereka juga wajib memastikan bahawa nafkah tanggungan-tanggungan di bawahnya adalah mencukupi sepanjang keberadaan mereka di tanah suci[3].

Ini berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Umar, Nabi SAW bersabda[4]:

كَفَى بِالْمَرْءِ إِثْمًا أَنْ يُضَيِّعَ مَنْ يَقُوتُ

Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia mensia-siakan orang yang berada di bawah tanggungannya”.

Dari aspek mempunyai kenderaan pula adalah kemampuan seseorang untuk sampai ke destinasi tanpa sebarang halangan. Perjalanan tersebut mestilah bebas daripada halangan-halangan tertentu seperti adanya musuh yang mengganggu perjalanan, kekurangan bekalan air dan sebagainya[5]. Namun, perlu difahami bahawa “bekalan dan kenderaan” ini mestilah  daripada lebihan harta setelah membayar hutang-hutangnya[6].

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jika seseorang muslim itu mempunyai perbelanjaan harta dan mampu mengadakan perjalanan tetapi harta tersebut diperlukan untuk membayar hutang. Justeru, dia tidak diwajibkan untuk menunaikan haji bahkan haram kerana dia diwajibkan membayar hutang kepada pemiutang. Ini tidak membezakan sama ada hutang tersebut boleh dilunaskan serta merta atau dilunaskan secara ansuran. Hal ini kerana, hutang segera perlu dilangsaikan secepat mungkin walhal ibadah haji boleh ditunda pelaksanaannya, maka dalam hal ini perlu diutamakan pembayaran hutang daripada haji. Manakala, berkenaan hutang ansuran maka ia dikhuatiri sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar hutang setelah kepulangannya daripada mengerjakan haji.

Kemudian, ada satu pandangan yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai hutang ansuran yang mana tempoh pembayarannya masih berjalan walaupun setelah dia pulang daripada mengerjakan haji, maka dia tetap diwajibkan mengerjakan ibadat haji. Namun, ini merupakan pandangan yang lemah dan syaz di sisi mazhab al-Syafi’i sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi[7].

Tambahan pula, Al-Rafi'i ada menyebutkan sekiranya seseorang itu mempunyai hutang yang perlu dilunaskan segera sedangkan dia berkemampuan membayarnya, maka pemiutang dibenarkan untuk menghalang penghutang tersebut daripada keluar menunaikan haji. Hal ini bukanlah kerana pemiutang mempunyai hak untuk menghalangnya daripada melakukan ibadah haji namun ia sebagai tuntutan kepada penghutang untuk melangsaikan hak  pemiutang terlebih dahulu.

Namun jika pemiutang termasuk daripada kalangan mereka yang susah dan tidak berupaya untuk menyelesaikan hutang (bankrap), maka mereka tidak dituntut untuk keluar dan juga tidak dilarang daripada menunaikan haji kerana melihat kepada apa yang memberi kelapangan kepadanya. Begitu juga hukumnya dengan orang yang berhutang secara ansuran, maka penghutang tidak dihalang daripada menunaikan haji kerana pembayaran hutang tidak perlu dilunaskan segera. Akan tetapi disunatkan  sekiranya mereka tidak keluar sehingga ada wakil yang boleh membayarkan hutang bagi pihak dirinya ketika dia melakukan haji[8].

Kesimpulan

Berdasarkan konteks perundangan di Malaysia, kebankrapan merujuk kepada satu proses yang berlaku apabila seorang penghutang diisytiharkan sebagai bankrap ekoran daripada suatu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman yang dibuat di Mahkamah Tinggi atas kegagalan pembayaran hutang melebihi amaun tertentu. Akibat daripada itu, segala harta milik orang yang bankrap akan terletak haknya ke atas Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) dan mereka tertakluk di bawah Akta Kebankrapan 1967. Berdasarkan Akta Kebankrapan 1967, tindakan senarai hitam ke atas individu bankrap yang menyekat mereka daripada ke luar negara. Mereka yang diisytihar bankrap tidak boleh meninggalkan negara kecuali setelah mendapat kelulusan bertulis daripada KPI atau kebenaran mahkamah. Walau bagaimanapun, permohonan ke luar negara dibenarkan bagi tujuan ibadah seperti mengerjakan ibadah haji dan umrah[9].

Justeru, kami cenderung dengan pandangan bahawa seseorang yang bankrap diharuskan untuk menunaikan haji sekiranya telah mendapat panggilan haji dengan syarat:

  • Jika mampu melangsaikan hutang secara segera, maka wajib berbuat demikian. Lebihan harta daripada hutang tersebut pula hendaklah mencukupi untuk membiayai tanggungannya selama ketiadaan dirinya. Kemudian, sekiranya ada lebihan harta untuk menunaikan haji, maka dia wajib menunaikan haji.
  • Jika tidak mampu membayar segera, mereka perlu membuat permohonan kepada badan berautoriti untuk membuat pembayaran hutang secara ansuran dan perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu. Dia perlu meyakini bahawa pelaksanaan haji itu tidak menjejaskan pembayaran ansuran hutang; iaitu dia mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar hutang setelah pulang daripada haji dan dapat membayarnya mengikut ketetapan waktu. Dia juga perlu memastikan semua tanggungan di bawahnya mendapat perbelanjaan yang cukup semasa tempoh hajinya. Sekiranya, kesemua ini dipatuhi maka dia dibolehkan menunaikan haji. Pandangan ini juga merupakan fatwa telah dikeluarkan oleh Jabatan Fatwa Kerajaan Mesir[10].

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Syafi’i, Abu Abdullah Muhammad bin Idris. Al-Ummu. (Beirut: Dar al-Fikr, 1983). Jld 2. Hlmn 124.

قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى: الِاسْتِطَاعَةُ وَجْهَانِ: أَحَدُهُمَا أَنْ يَكُونَ الرَّجُلُ مُسْتَطِيعًا بِبَدَنِهِ وَاجِدًا مِنْ مَالِهِ مَا يُبَلِّغُهُ الْحَجَّ فَتَكُونُ اسْتِطَاعَتُهُ تَامَّةً وَيَكُونُ عَلَيْهِ فَرْضُ الْحَجِّ لَا يُجْزِيهِ مَا كَانَ بِهَذَا الْحَالِ، إلَّا أَنْ يُؤَدِّيَهُ عَنْ نَفْسِهِ .وَالِاسْتِطَاعَةُ الثَّانِيَةُ أَنْ يَكُونَ مُضْنُوًّا فِي بَدَنِهِ لَا يَقْدِرُ أَنْ يَثْبُتَ عَلَى مَرْكَبٍ فَيَحُجَّ عَلَى الْمَرْكَبِ بِحَالٍ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى مَنْ يُطِيعُهُ إذَا أَمَرَهُ أَنْ يَحُجَّ عَنْهُ بِطَاعَتِهِ لَهُ أَوْ قَادِرٌ عَلَى مَالٍ يَجِدُ مَنْ يَسْتَأْجِرُهُ بِبَعْضِهِ فَيَحُجَّ عَنْهُ فَيَكُونُ هَذَا مِمَّنْ لَزِمَتْهُ فَرِيضَةُ الْحَجِّ كَمَا قَدَرَ.

[2] Al-Tirmidzi, Abu Isa Muhammad bin Isa. Sunan al-Tirmidzi. Ed: Basyar Iwadh Ma’ruf. (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 1997). Jld 2. Hlmn 166. No hadis 813.

[3] Al-Ruyani, Abu al-Muhasin Abdul Wahid bin Ismail. Bahr al-Mazhab fi Furu’ al-Mazhab al-Syafi’i. ed: Thariq Fath al-Sayyid. (t.t: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2009). Jld 3. Hlmn 351.

وأما الزاد فإن كان له أهل يلزمه أن ينفق عليهم، فلا يختلف المذهب أن زاده أن يجد نفقة نفسه في الطريق في ذهابه، ورجُوعهِ إلى بلده، ونفقة من تلزمه نفقته في مدة غيبته

[4] Abu Daud, Sulaiman bin al-Asy’as bin Ishak al-Azdi. Sunan Abi Daud. (Beirut: al-Maktabah al-Asriyyah, t.tt). Jld 2. Hlmn 132. No hadis 1692.

[5] Al-Thabari, Abu Jaafar Muhammad bin Jarir. Jami’ al-Bayan. (Mekkah: Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.tt). Jld 6. Hlmn 43.

السبيل التي إذا استطاعها المرء كان عليه الحج: الطاقةُ للوصول إليه، وقد يكون مع وجودهما العجز عن الوصول إليه: بامتناع الطريق من العدوّ الحائل، وبقلة الماء، وما أشبه ذلك.

[6] Kamaluddin Al-Damiri, Muhammad bin Musa bin Isa. Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj. Ed: Lajnah Ilmiyyah. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004) Jld 3. Hlmn 405.

ويشترط كون الزاد والراحلة فاضلين عن دينه حالًا كان أو مؤجلً

[7] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syarif. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1347H). Jld 7. Hlmn 68-69.

وَإِنْ وُجِدَ مَا يَشْتَرِي بِهِ الزَّادَ وَالرَّاحِلَةَ وَهُوَ مُحْتَاجٌ إلَيْهِ لِدَيْنٍ عَلَيْهِ لَمْ يَلْزَمْهُ حَالًّا كَانَ الدَّيْنُ أَوْ مُؤَجَّلًا لِأَنَّ الدَّيْنَ الْحَالَّ عَلَى الْفَوْرِ وَالْحَجُّ عَلَى التَّرَاخِي فَقُدِّمَ عَلَيْهِ وَالْمُؤَجَّلُ يَحُلُّ عَلَيْهِ فَإِذَا صَرَفَ مَا مَعَهُ فِي الْحَجِّ لَمْ يَجِدْ مَا يَقْضِي بِهِ الدَّيْنَ. وَفِيهِ وَجْهٌ شَاذٌّ ضَعِيفٌ أَنَّهُ إذَا كَانَ الدَّيْنُ مُؤَجَّلًا أَجَلًا لَا يَنْقَضِي إلَّا بَعْدَ رُجُوعِهِ مِنْ الْحَجِّ لَزِمَهُ

[8] Abdul Karim bin Muhammad al-Rafi’i al-Qazwaini. Fath al-Aziz bi Syarh al-Wajiz. (t.tp: Dar al-Fikr, t.tt). Jld 8. Hlm 46.

قال ) السادس لمستحق الدين منع المحرم الموسر من الخروج وليس له التحلل بل عليه الاداء وان كان معسرا أو كان الدين مؤجلا لم يمنع من الخروج(إذا كان عليه دين حال وهو موسر فلمستحق الدين أن يمنعه من الخروج لا لان حقه في منعه من الحج ولكن يحبسه ليستوفى حقه منه فان كان قد أحرم فقد ذكرنا انه ليس له التحليل والحالة هذه بل عليه أن يقضي دينه ويمضى وإن كان معسرا فلا مطالبة ولا منع لانه منظر إلى ميسرة وكذا لو كان الدين مؤجلا لا منع إذ ليس عليه تسليم في الحال ولا يتوجه للمستحق مطالبة والاولى أن لا يخرج حتى يوكل من يقضى الدين عليه عند حلول الاجل

[9] https://www.mdi.gov.my

[10]https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/14694/%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%AC-%D9%84%D9%85%D9%86-%D8%B9%D9%84%D9%8A%D9%87-%D8%AF%D9%8A%D9%88%D9%86-%D9%85%D9%88%D8%AC%D9%84%D8%A9

يجوز شرعًا لمن كان عليه دَيْنٌ مُؤجَّلٌ في صورة أقساطٍ أن يحج إذا اطمأن إلى أن أداء فريضة الحج لا يؤثر على سداد هذه الأقساط في أوقاتها المحددة لها سلفًا؛ كأن يتوفر له من المال ما يستطيع من خلاله الوفاء والسداد لهذا الدَّيْن حين يأتي أجلُه.