اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-80: HUKUM DAN STATUS HAJI DENGAN MENGGUNAKAN VISA PELANCONG ARAB SAUDI DENGAN CARA OVERSTAY

 

80.jpg

Soalan

Assalamualaikum tuan, saya ada satu persoalan sekiranya saya apply visa pelancong Arab Saudi kemudian saya tinggal lebih lama di Mekah sehingga sampai musim haji dan saya buat haji menggunakan visa tersebut, adakah sah ibadat haji saya? Mohon respon dari pihak tuan.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang dilarang kerana menipu dan melanggar undang-undang pemerintah setempat. Manakala ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan visa tersebut adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun haji

Huraian Jawapan

Para ulama bersepakat bahawa haji merupakan ibadah yang wajib ke atas setiap umat Islam yang memenuhi segala syaratnya iaitu mukallaf, merdeka dan istita’ah dan berkemampuan.[1] Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.

(Surah ali Imran:97)

Syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk pergi menunaikan ibadah haji mesti mendapat visa khusus haji. Manakala visa pelancongan hanya dikhususkan untuk aktiviti pelancongan dan umrah sahaja dan visa ini tidak termasuk dalam aktiviti menunaikan haji, bekerja dan belajar.[2] Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji atau tidak mampu untuk mendapatkannya atas faktor menunggu giliran, kewangan dan sebagainya maka ia termasuk dalam kategori orang yang tidak memiliki kemampuan atau istita’ah.

Menurut Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) menyalahgunakan visa pelancong dan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga masuk musim haji merupakan satu kesalahan di bawah peraturan kerajaan Arab Saudi. Penyalahgunaan visa ini akan melibatkan keselamatan pemegang visa yang tidak diiktiraf untuk melaksanakan haji dan boleh mencemarkan nama dan hubungan baik antara dua negara. Pengiktirafan permit haji hanya dikeluarkan oleh institusi bertauliah seperti Lembaga Tabung Haji (LTH).[3]

Syarat istita’ah atau berkemampuan dalam mengerjakan ibadah haji untuk sampai ke tanah haram juga merupakan faktor dalam menentukan kewajipan seseorang itu untuk menunaikan ibadah haji seperti perjalanan yang aman dan selamat. Bahkan tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji sekiranya perjalanan tersebut terdapat ancaman terhadap diri dan harta. Imam al-Nawawi menyebut:

أَمْنُ الطَّرِيقِ فَلَوْ خَافَ عَلَى نَفْسِهِ أَوْ مَالِهِ سَبُعًا أَوْ عَدُوًّا أَوْ رَصَدِيًّا وَلَا طَرِيقَ سِوَاهُ لَمْ يَجِبْ الْحَجُّ

Maksudnya: “(Antara syarat istita’ah) aman dalam perjalanan, sekiranya takut ke atas diri atau hartanya daripada ancaman binatang buas, musuh atau perompak serta tiada jalan lain yang sesuai (untuk pergi haji) maka tidak wajib untuk menunaikan ibadah haji.”[4]

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa visa perjalanan haji dan pasport yang diiktiraf oleh pihak kerajaan merupakan salah satu syarat istita’ah atau kemampuan yang perlu dipenuhi sebelum mengerjakan ibadah haji.[5] Hal ini akan memberi jaminan keselamatan oleh pihak kerajaan Arab Saudi ketika mengerjakan ibadah haji.

Menggunakan visa umrah untuk mengerjakan ibadah haji adalah satu kesalahan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi. Arahan yang dikeluarkan untuk tujuan kebaikan dan menjaga kepentingan umat Islam wajib dipatuhi sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Suyuti:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالمَصْلَحَة

Maksudnya : “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”[6]

Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitami arahan pemerintah yang tidak membawa kepada maslahah umum tidak wajib untuk dipatuhi[7]. Ini dapat difahami sebaliknya bahawa jika arahan pemerintah itu bertujuan untuk menjaga maslahah umum maka wajib dipatuhi.

Kesimpulan

i.          Perbuatan menggunakan visa umrah atau pelancong dengan cara tinggal lebih lama (overstay) sehingga musim haji adalah satu perbuatan yang haram dan berdosa kerana menipu dan melanggar undang-undang.

ii.         Manakala ibadah haji yang dilakukan dengan menggunakan visa tersebut adalah sah sekiranya melengkapi segala syarat dan rukun haji.

Wallahu’alam

 

[1] Syamsuddin, Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah 1415H), 2/210

(وَشَرْطُ) أَيْ وَشُرُوطُ (وُجُوبِهِ) أَيْ مَا ذُكِرَ مِنْ حَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ (الْإِسْلَامُ، وَالتَّكْلِيفُ، وَالْحُرِّيَّةُ، وَالِاسْتِطَاعَةُ) بِالْإِجْمَاعِ

[2] Rujuk laman web: https://visa.visitsaudi.com/

The eVisa will be a one-year, multiple entry visa, allowing tourists to spend up to 90 days in the country. It covers tourism-related activities and Umrah (excluding Hajj season) and excludes other activities such as studying.

[3] Rujuk laman web: https://www.motac.gov.my/media2/siaran/pemakluman-berhubung-larangan-penggunaan-visa-pelancong-dan-visa-umrah-semasa-musim-haji

[4]Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, (Dar al-Fikr, 1425H), hlm. 83

[5] Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-fiqkh al-Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam li Taba’ah wa al_nashr wa al-Tauz’I, 1413) Jld. 2 Hlm. 123

والاستطاعة تتحقق بأن يملك الإنسان المال الذي يلزمه لأداء الحج والعمرة، من أجرة مركوب ونفقة ذهاباً وإياباً، بالإضافة لما تفرضه عليه اليوم الحكومات من نفقة جواز سفر، وأجرة مطوف، ويجب أن يكون هذا المال زائداً عن دينه وعن نفقة عياله مدة غيابه

[6] Jalaluddin al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair. (t.t: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1411) Hlm. 121

[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj. (Mesir: al-Maktabah aTijariyyah al-Kubra, 1357) Jd. 3 Hlm. 71

أَنَّ مَا أَمَرَ بِهِ مِمَّا لَيْسَ فِيهِ مَصْلَحَةٌ عَامَّةٌ لَا يَجِبُ امْتِثَالُهُ إلَّا ظَاهِرًا فَقَطْ بِخِلَافِ مَا فِيهِ ذَلِكَ يَجِبُ بَاطِنًا أَيْضًا