اختيار اللغة:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-108: SYAITAN DIIKAT PADA DINDING JAMRAH?

SYAITAN_DIIKAT_PADA_DINDING_JAMRAH.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya adakah perbuatan melontar jamrah itu sebenarnya memang kita melontar pada syaitan? Betulkah syaitan diikat disitu? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Perbuatan melontar jamrah bukan bermaksud bahawa melontar syaitan yang diikat di dinding jamrah tetapi perbuatan tersebut merupakan simbolik dan isyarat sahaja. Amalan ini sebagai praktik dan ikutan perbuatan Nabi Ibrahim AS yang memerangi syaitan dengan melontarnya menggunakan batu-batu kecil. Hal ini kerana syaitan seringkali menjerumuskan manusia kepada kesesatan dan kemaksiatan. Paling utama ialah perbuatan melontar jamrah tersebut bertujuan mendekatkan para hamba kepada Allah SWT.

 

Huraian Jawapan

Permulaan Peristiwa Melontar Jamrah

Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu menganggap bahawa perbuatan melontar jamrah itu adalah merejam syaitan yang berada di dinding jamrah. Tanggapan ini sebenarnya wujud disebabkan kesilapan dalam memahami ungkapan Ibn ‘Abbas RA ketika menceritakan kisah Nabi Ibrahim AS melontar syaitan yang mengganggu Baginda sedang menunaikan ibadah haji. Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa:

لَمَّا أَتَى إِبْرَاهِيمُ خَلِيلُ اللَّهِ الْمَنَاسِكَ عَرَضَ لَهُ الشَّيْطَانُ عِنْدَ جَمْرَةِ الْعَقَبَةِ فَرَمَاهُ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ حَتَّى سَاخَ فِي الْأَرْضِ، ثُمَّ عَرَضَ لَهُ عِنْدَ الْجَمْرَةِ الثَّانِيَةِ فَرَمَاهُ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ حَتَّى سَاخَ فِي الْأَرْضِ، ثُمَّ عَرَضَ لَهُ عِنْدِ الْجَمْرَةِ الثَّالِثَةِ فَرَمَاهُ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ حَتَّى سَاخَ فِي الْأَرْضِ

Maksudnya: Ketika Ibrahim kekasih Allah SWT menunaikan ibadah haji, syaitan menjelmakan dirinya di jamrah al-‘Aqabah lalu Baginda AS melontar syaitan itu dengan tujuh batu kecil sehingga syaitan itu masuk ke dalam tanah, kemudian dia menjelmakan dirinya lagi di jamrah kedua lalu Baginda AS melontar syaitan itu dengan tujuh batu kecil sehingga syaitan itu masuk ke dalam tanah. Kemudian dia menjelmakan dirinya lagi di jamrah ketiga lalu Baginda AS melontar syaitan itu dengan tujuh batu kecil sehingga syaitan itu masuk semula ke dalam tanah. [1]

(Riwayat al-Hakim)

Kemudian Ibn ‘Abbas RA berkata:

الشَّيْطَانَ تَرْجُمُونَ وَمِلَّةَ أَبِيكُمْ تَتَّبِعُونَ

Maksudnya: Kalian merejam syaitan dan mengikuti agama datuk kalian.[2]

Menurut Imam al-Hakim al-Naisaburi hadis ini adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim namun kedua-dua mereka tidak meriwayatkan hadis ini.[3] Hadis ini turut diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra[4] dan Syuʻab al-Iman[5].

Ungkapan Ibn ʻAbbas RA yang menyebutkan “Kalian merejam syaitan dan mengikuti agama datuk kalian” ini sebenarnya bukanlah dengan maksud sememangnya syaitan diikat di dinding jamrah lalu jemaah haji perlu menyeksa dan memberi pengajaran kepada syaitan tersebut dengan melontarkan batu kepadanya. Namun, ia sekadar simbolik dan isyarat sahaja dalam mengikuti perbuatan Nabi Ibrahim AS yang memerangi syaitan dengan melontarnya menggunakan batu-batu kecil.[6]

Perkara paling penting yang perlu difahami daripada perintah melontar jamrah ini ialah hikmah di sebalik melontar tersebut. Justeru para ulama telah membahaskan secara terperinci hikmah melontar jamrah ketika menunaikan haji. Wajar untuk umat Islam mengetahui hikmah melontar jamrah ini dengan sebaiknya, beikut merupakan beberapa pandangan ulama berkenaan hikmah melontar jamrah:

Hikmah Melontar Jamrah

Ibadah haji mempunyai hikmah yang besar sama ada daripada aspek rohani mahupun jasmani. Menurut Imam al-Nawawi, ibadah melontar jamrah adalah ibadah yang dilakukan semata-semata kerana menjalankan perintah daripada Allah SWT (taabudi) dan inilah merupakan asas kepada semua ibadah iaitu patuh dan tunduk kepada perintah-Nya. Imam al-Nawawi berkata:

ومن العبادات التي لا يفهم معناها: السعي والرمي، فكلف العبد بهما ليتم انقياده، فإن هذا النوع لا حظ للنفس فيه، ولا للعقل، ولا يحمل عليه إلا مجرد امتثال الأمر، وكمال الانقياد

Maksudnya: “Antara ibadah yang tidak diketahui tujuan pensyariatannya adalah seperti sa’i dan melontar jamrah. Allah SWT mewajibkan hamba-Nya untuk melakukan kedua-dua ibadah tersebut agar ketaatannya menjadi semakin sempurna. Jiwa dan akal manusia tidak dapat memahami hikmah yang terkandung di sebaliknya. Ia tidak lain hanyalah semata-mata ketaatan kepada perintah Allah SWT.[7]

Menurut Imam al-Ghazali pula, mereka yang melontar jamrah hendaklah merasakan dalam hatinya perasaan tunduk kepada perintah Allah SWT, menunjukkan kepasrahan dan penghambaan hanya kepada-Nya. Selain itu, mereka juga hendak meniatkan ibadah melontar jamrah itu sebagai mengikut kepada Nabi Ibrahim AS tatkala Syaitan menampakkan dirinya di tempat tersebut untuk menimbulkan perasaan ragu-ragu ke dalam ibadah hajinya atau menggodanya untuk melakukan maksiat[8].

Melontar jamrah adalah simbol perjuangan manusia dalam memerangi Syaitan yang seringkali menjerumuskan manusia kepada kesesatan. Hikmah disyariatkannya melontar jamrah adalah untuk mengingatkan diri kepada Allah SWT, bukan sebagaimana dakwaan yang mengatakan bahawa melontar jamrah adalah bermaksud merejam syaitan. Firman Allah SWT:

وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ فِىٓ أَيَّامٍ مَّعْدُودَٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ فِى يَوْمَيْنِ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ

Maksudnya: “Sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa;”

Imam al-Syanqiti berkata bahawa ayat ini secara umumnya menjadi dalil bahawa tujuan disyariatkan melontar jamrah adalah untuk mengingatkan diri kepada Allah SWT kerana termasuk dalam hari-hari yang yang dituntut untuk mengingati Allah adalah hari untuk melontar jamrah[9].

(Surah Al-Baqarah: 203)

Kesimpulan

Perbuatan melontar jamrah bukan bermaksud bahawa melontar syaitan yang diikat di dinding jamrah tetapi perbuatan tersebut merupakan simbolik dan isyarat sahaja. Amalan ini sebagai praktik dan ikutan perbuatan Nabi Ibrahim AS yang memerangi syaitan dengan melontarnya menggunakan batu-batu kecil. Hal ini kerana syaitan seringkali menjerumuskan manusia kepada kesesatan dan kemaksiatan. Paling utama ialah perbuatan melontar jamrah tersebut bertujuan mendekatkan para hamba kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan:

[1] Al-Hakim al-Naisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, ed. Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), no. hadis 1713, jld. 1: hlm. 638.

[2] Ibid.

[3] Ibid.

هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ الشَّيْخَيْنِ، وَلَمْ يُخَرِّجَاهُ

[4] Abu Bakr al-Baihaqi, al-Sunan al-Kubra, ed. Muhammad ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2003), hadis no. 9693, jld. 5: hlm. 250.

[5] Abu Bakr al-Baihaqi, Syuʻab al-Iman (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 2003), jld. 5: hlm. 506.

[6] Muhammad Amin al-Syanqiti, Adwa’ al-Bayan fi Idoh al-Quran bi al-Quran, Beirut: Dar al-Fikr, jld. 4: hlm. 479.

فَذِكْرُ اللَّهِ الَّذِي يُشْرَعُ الرَّمْيُ لِإِقَامَتِهِ، هُوَ الِاقْتِدَاءُ بِإِبْرَاهِيمَ فِي عَدَاوَةِ الشَّيْطَانِ، وَرَمْيِهِ، وَعَدَمِ الِانْقِيَادِ إِلَيْهِ، وَاللَّهُ يَقُولُ: قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ الْآيَةَ [60 \ 4] ، فَكَأَنَّ الرَّمْيَ رَمْزٌ وَإِشَارَةٌ إِلَى عَدَاوَةِ الشَّيْطَانِ الَّتِي أَمَرَنَا اللَّهُ بِهَا فِي قَوْلِهِ: إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا [35 \ 6] وَقَوْلِهِ مُنْكِرًا عَلَى مَنْ وَالَاهُ: أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ الْآيَةَ [18 \ 50] ، وَمَعْلُومٌ أَنَّ الرَّجْمَ بِالْحِجَارَةِ مِنْ أَكْبَرِ مَظَاهِرِ الْعَدَاوَةِ.

[7] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Beirut: Dar al-Fikr, t.t), jld. 8: hlm. 243.

[8] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din (Beirut: Dar al-Makrifah, t.t.), jld. 1: hlm. 270.

أما رمي الجمار فاقصد به الانقياد للأمر إظهاراً للرق والعبودية وانتهاضاً لمجرد الامتثال من غير حظ للعقل والنفس فيه ثم اقصد به التشبه بإبراهيم عليه السلام حيث عرض له إبليس لعنه الله تعالى في ذلك الموضع ليدخل على حجه شبهة أو يفتنه بمعصية فأمره الله عز وجل أن يرميه بالحجارة طرداً له وقطعاً لأمله

[9] Muhammad Amin al-Syanqiti (2019) Adwa’ al-Bayan fi Idoh al-Quran bi al-Quran, Beirut: Dar Ibn Hazm, 5:341.

قَالَ مُقَيِّدُهُ - عَفَا اللَّهُ عَنْهُ وَغَفَرَ لَهُ -: عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي زِيَادٍ الْمَذْكُورُ، هُوَ الْقَدَّاحُ أَبُو الْحُصَيْنِ الْمَكِّيُّ، وَقَدْ وَثَّقَهُ جَمَاعَةٌ، وَضَعَّفَهُ آخَرُونَ، وَحَدِيثُهُ هَذَا مَعْنَاهُ صَحِيحٌ بِلَا شَكٍّ، وَيَشْهَدُ لِصِحَّةِ مَعْنَاهُ قَوْلُهُ تَعَالَى: وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَعْدُودَاتٍ [2 \ 203] لِأَنَّهُ يَدْخُلُ فِي الذِّكْرِ الْمَأْمُورِ بِهِ: رَمْيُ الْجِمَارِ بِدَلِيلِ قَوْلِهِ بَعْدَهُ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ الْآيَةَ [2 \ 203] ، وَذَلِكَ يَدُلُّ عَلَى أَنَّ الرَّمْيَ شُرِعَ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ، كَمَا هُوَ وَاضِحٌ، وَلَكِنَّ هَذِهِ الْحِكْمَةَ إِجْمَالِيَّةٌ،