اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

HUKUM MENINGGALKAN PUASA DENGAN SENGAJA

SOALAN 31 (25/06/2015 BERSAMAAN 08 RAMADAN 1436H)

Apakah hukum meninggalkan puasa dengan sengaja?

 

JAWAPAN

            Terdapat banyak dalil yang memberi amaran keras kepada mereka yang sewenang-wenangnya berbuka puasa tanpa uzur syar’ie seperti sakit dan musafir. Justeru, dinyatakan di sini beberapa nas berkenaan hal tersebut, antaranya:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

عُرَى الإِسلامِ وَقَوَاعِدُ الدِّين ثلاثةٌ: عَلَيهِنَّ أُسِّسَ الإِسلامُ مَن تَرَكَ وَاحِدَةً مِنْهُنَّ فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلالُ الدَّمِ شَهَادَةُ أن لا إلهَ إلاَّ الله والصلاةُ المَكْتُوبَةُ وَصَومُ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.”

(Riwayat Abu Ya’la dan al-Dailami)

 

            Imam al-Haitami menukilkan di dalam Majma’ al-Zawaid (1/47-48): Hadis ini dirwayatkan oleh Abu Ya’la secara sempurna dan al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir. Akan tetapi, ia hanay menyebut tiga sahaja dan tidak menyebut riwayat Ibn Abbas di atas. Sanad hadis ini hasan. Al-Munziri di dalam al-Targhib wa al-Tahrib (1/382) berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la dengan sanad hasan.

 

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَفْطَرَ يَوماً مِنْ رَمَضَانَ في غَيْرِ رُخْصَةٍ رَخَّصَهَا الله لَهُ ، لمَ ْيَقْضٍ عَنْهُ صِيَامُ الدَّهْرِ

 كُلُّهُ وَإِنْ صَامَهُ

Maksudnya: “ Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada Ramadan tanpa sebarang rukhsah yang diizinkan Allah, nescaya tidak memadai sekalipun dia qadha’ puasa tersebut walaupun selama-lamanya.”

(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Tarmizi)

 

            Berdasarkan dua hadis di atas, jelas menunjukkan betapa Islam memandang prihatin berhubung perlaksanaan ibadat puasa Ramadan, bahkan ia dianggap salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

            Penulis menukilkan ketegasan Imam al-Zahabi yang berkata: “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keislaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”

            Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan betapa meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat diganti dengan qada’ dari sudut nilainya.

            Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Puasa Ramadan adalah salah satu daripada rukun Islam dan perkara fardhu dalam agama yang mesti diketahu. Oleh itu, sesiapa yang mengingkari kewajipan, akan menjadi kafir dan disuruh bertaubat  sebagaimana orang murtad. Sekiranya ingkar dan enggan bertaubat, dia hendaklah dijatuhi hukuman bunuh sekiranya dia telah lama memeluk agama Islam dan tidak tinggal berjauhan daripada ulama.

            Sesiapa yang tidak berpuasa tanpa mengingkari kewajipannya, dia menjadi fasiq. Pemerintah wajib memenjarakannya dan menghalang daripada makan dan minum pada waktu siang supaya dia berpuasa, sekalipun secara zahirnya sahaja.

            Justeru, sewajarnya umat Islam tidak memandang ringan dalam masalah puasa Ramadan, tetapi hendaklah bertekad dan berazam untuk menunaikannya sebaik mungkin.