SOALAN 32 (25/06/2015 BERSAMAAN 08 RAMADAN 1436H)
Benarkah puasa menyebabkan kita sihat?
JAWAPAN
Mengikut sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
صُوْمُوْا تَصِحُّوا
Maksudnya: “Berpuasalah kamu nescaya kamu sihat.”
Ini kerana dalam Islam, kesihatan terbahagi kepada dua sama ada rohani atau jasmani. Di mana uniknya puasa, dapat menyembuhkan dua penyakit rohani dan jasmani dan menggantikan kesihatan untuk kedua-duanya. Ini terbukti dengan pengesahan oleh pakar perubatan moden bahawa amalan berpuasa boleh menaik tarafkan kesihatan seseorang.
Pengarah pemakanan di Moscow, Dr. Yuri Nikolayev berkata: Apakah penemuan yang paling penting pada abad ini? Adakah jam radioaktif, penemuan telur dinasour di Mongolia ataupun penemuan bandar-bandar purba yang hilang beribu-ribu tahun dahulu? Pada pendapat saya, penemuan terbesar pada abad ini ialah penemuan cara untuk memastikan tubuh badan kita menjadi lebih sihat iaitu dengan cara berpuasa. Ia penemuan terhebat pada abad ini yang jauh lebih bernilai daripada segala-galanya.