اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 102: PENGERTIAN SOLAT SYAFA’

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti. Semasa saya menunaikan solat tarawih di Timur Tengah saya mendapati bahawa imam selalu menyebut berkaitan perlaksanaan solat syafa’ berserta witir. Apakah maksudnya ini dan adakah terdapat solat yang dinamakan solat syafa’ ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam isu ini, terdapat dua perkataan yang perlu diberikan tumpuan iaitu kalimah syafa’ dan kalimah witir itu sendiri. Dari sudut bahasa, syafa’ bermaksud genap atau berpasangan iaitu perkataan yang berlawanan dengan tunggal dan bersendirian.

Manakala kalimah witir atau sebutannya وَتْر / وِتْر  watru dan witru dari sudut bahasanya membawa maksud tunggal iaitu kalimah yang berlawanan dengan syafa’. Dari sudut istilah pula, witir bermaksud: Solat tertentu yang dilakukan pada waktu yang tertentu yang menutup solat-solat malam. Sama ada ia dilakukan pada awal malam, pertengahan, atau pengakhiran malam. Bilangan rakaatnya adalah bilangan ganjil kerana itulah ia dinamakan sebagai witir.

Perbahasan berkaitan syafa’ dan witir adalah berkaitan dengan kaifiat atau tatacara solat witir itu sendiri. Ini kerana, para ulama menyatakan beberapa bentuk kaifiat untuk dilaksanakan solat witir kepada beberapa cara berikut:

 

Kaifiat (Tatacara) Solat Witir

Berikut merupakan beberapa cara yang disebutkan oleh para ulama berkaitan perlaksanaan solat witir:

Pertama: Solat witir satu rakaat.

Di sisi majoriti ulama, adalah dibolehkan untuk seseorang itu menunaikan solat witir sebanyak satu rakaat sahaja. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 الْوِتْرُ رَكْعَةٌ مِنْ آخِرِ اللَّيْلِ

Maksudnya: Witir adalah satu rakaat di akhir malam (penutup solat malam).‏

Riwayat Muslim (752)

Kedua: Solat witir sebanyak tiga rakaat.

Dalam kategori ini, solat witir tiga rakaat boleh dilakukan dengan dua cara berikut:

  • Solat tiga rakaat witir dengan satu salam.

 

Cara seperti ini turut menepati sunnah Nabi S.A.W. Yang membezakan di antara solat tiga rakaat witir dengan satu salam dengan solat maghrib adalah bilangan tasyahhud di dalamnya. Solat tiga rakaat witir dengan satu salam ini cuma mempunyai satu tasyahhud, manakala solat maghrib adalah sebanyak tiga rakaat dan dua tasyahhud.

 

  • Solat dua rakaat kemudian beri salam. Kemudian diikuti dengan solat satu rakaat sesudahnya.

 

Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.anhuma beliau berkata:

 كَانَ يُسَلِّمُ بَيْنَ الرَّكْعَةِ وَالرَّكْعَتَيْنِ فِي الْوِتْرِ، حَتَّى يَأْمُرَ بِبَعْضِ حَاجَتِهِ‏

Maksudnya: Baginda S.A.W memberikan salam di antara satu rakaat dan dua rakaat ketika solat witir, sehingga baginda mengarahkan kepada sebahagian keperluannya.‏

Riwayat al-Bukhari (991)

Begitu juga sebuah riwayat yang juga daripada Ibn Umar beliau berkata:

أنَّهُ صَلَّى الله عليه وسلم كَانَ يفصلُ بَينَ الشَّفَعِ وَالوِتْر

Maksudnya: Sesungguhnya baginda S.A.W pernah memisahkan di antara solat syafa’ dan juga witir.

Riwayat Ahmad (2/76)

Justeru, cara solat seperti inilah yang dinamakan sebagai solat syafa’ sekalipun ia sebenarnya adalah solat witir yang dilakukan sebanyak tiga rakaat secara dua salam.

Kesimpulan

Sebagai penutup, yang dimaksudkan dengan perkataan solat syafa’ di situ adalah solat dua rakaat sebelum ditutup dengan witir satu rakaat. Ia sebenarnya sama sahaja maksudnya dengan ucapan para imam di negara kita yang menyebut: ‘’Solat witir tiga rakaat dua salam’’.

Hakikatnya, syafa’ bukanlah bermakna ia satu jenis solat. Akan tetapi ia merupakan perkataan yang berlawanan dengan kalimah witir. Ia dinamakan sebagai syafa’ kerana dilakukan sebanyak dua rakaat.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.