اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-109 : PUASA DAN FIDYAH SI MATI YANG MELANGKAH TAHUN

ifkr109 compressed

SOALAN:

SI mati mempunyai hutang puasa 8 bagi Ramadhan 1439 H dan 2 hari bagi Ramadhan 1438 H. Sekiranya dibolehkan untuk waris untuk mengqadhakan puasa pada tahun 1439 H, apakah waris juga dibenarkan untuk mengqadha puasa pada tahun 1438 H? Bagaimana pula dengan fidyah akibat melangkah tahun itu?

Terima kasih.

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi ﷺ, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Dibenarkan ke atas waris si mati untuk mengqadhakan dua baki puasa pada tahun 1438 H berdasarkan keumuman keharusan tersebut. Namun, wajib dikenakan fidyah satu cupak bagi setiap puasa tersebut kerana lewat mengqadhakan puasa. Disebut dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/202) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Sekiranya seseorang itu wajib berpuasa, dan dia tidak berpuasa sehingga berlalunya Ramadhan, kemudian dia tidak pula mengqadhanya sehingga datang Ramadhan yang lain, kemudian dia mati, maka wajib ke atasnya dua cupak (makanan ruji) daripada harta pusakanya; satu cupak akibat tidak berpuasa, dan satu cupak akibat melewatkan qadha’. Jika walinya berpuasa bagi pihaknya, maka terhasillah kesempatan bagi asal puasa itu (yakni memadailah puasa itu) dan hanya wajib fidyah kerena kelewatan, sama seperti jika dia masih hidup; wajib qadha’ dan fidyah.”

Kesimpulannya, harus bagi si waris untuk mengqadhakan puasa baki dua hari pada tahun 1438 H dan membayar dua cupak fidyah yang diambil daripada harta pusaka si mati. Jika tiada berbaki harta pusaka, diharuskan wali berkenaan mengeluarkan hartanya sendiri untuk melepaskan si mati daripada tanggungan tersebut. Wallahua’lam.