اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE 111 : HUKUM SUAMI ISTERI MELAKUKAN VIDEO CALL KETIKA SIANG BULAN RAMADHAN

ifkr 111 compressed

Soalan :

Assalamualaikum. Selamat menyambut Ramadhan. Saya ada satu soalan. Saya ini musafir ke luar negara pada bulan Ramadhan. Biasalah, bila sudah berjauhan dengan isteri mesti ada rasa rindu. Jadinya pada setiap hari saya akan bersembang dengan isteri saya melalui video call. Tiba-tiba saya terfikir. Adakah boleh saya melihat isteri saya pada siang bulan Ramadhan melalui video call.Adakah boleh membatalkan puasa?. Mohon pencerahan

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Ada lapan perkara yang boleh membatalkan puasa jika ia dilakukan. Perkara tersebut ialah :

  1. Makan dan minum dengan sengaja
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka
  3. Muntah dengan sengaja
  4. Bersetubuh
  5. Beronani sehingga keluar air mani
  6. Haid dan nifas
  7. Gila dan mabuk sepanjang hari
  8. Murtad

Jika terjadi lapan perkara ini, maka terbatal lah puasanya dan wajib diganti.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, tidak mengapa untuk melihat isteri walaupun melalui video call. Ini kerana perkara perkara tersebut tidak termasuk di dalam perkara yang membatalkan puasa.Namun jika seseorang itu melihat isterinya dalam keadaan yang bersyahwat dan teransang sehingga boleh membawa kepada perkara yang membatalkan puasa seperti beronani maka makruh untuk dia melihat isterinya. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Umar Bin Al-Khattab

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya :” Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan perkara yang besar. Aku telah bercumbuan dalam keadaan aku berpuasa. Rasulullah SAW bersabda : Apa pandangan engkau jika engkau berkumur-kumur dalam keadaan engkau berpuasa?."

Riwayat Abu Daud (2385)

Sheikh Abdul Muhsin Al-Abbad ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebutkan bahawa Nabi SAW menqiyaskan perbuatan mencium pada siang bulan Ramadhan dengan perbuatan berkumur. Berkumur adalah pendahuluan kepada minum manakala bercium adalah pendahuluan kepada jimak. Namun kedua-duanya tidak membatalkan puasa selagi mana air yang dikumur tidak ditelan dan bercium tidak membawa kepada jimak. (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud,275/24)

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa bahawa Baginda SAW mengumpamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur. Dan telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur lalu air sampai ke dalam rongganya maka itu membatalkan puasa. Sekiranya air tidak sampai maka ia tidak membatalkan. Begitu jugalah dengan mencium. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/321)

Maka dapat kita fahami melalui hadis ini bahawa jika ciumannya itu boleh membawa kepada perkara yang boleh membatalkan puasa maka makruh baginya untuk dilakukan. Begitu juga halnya dengan perbuatan melihat kepada isteri yang mana perbuatan ini lebih ringan dari mencium.Ia mengambil hukum yang sama dengan mencium pada siang hari Ramadhan.

Kesimpulannya, tidak mengapa untuk melihat isteri melalui video call.Ini kerana perbuatan tersebut tidak termasuk daripada perkara yang membatalkan puasa. Namun jika ianya boleh meransang syahwat sehingga boleh melakukan perkara yang membatalkan puasa maka perbuatan itu adalah makruh.

Wallahu’alam.