اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-116: PERLU MENETAPKAN FARDHU ATAUPUN TIDAK KETIKA BERNIAT PUASA

 

 

ir-5c-20116_15323710.png

 

Soalan: Apakah perlu menyebut “fardhu” ketika berniat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, perlu dibezakan terlebih dahulu tempoh yang dibenarkan untuk berniat puasa. Sekiranya puasa yang wajib waktu berniat bermula daripada terbenamnya matahari (masuknya waktu Maghrib) dan berakhir sebelum daripada terbitnya fajar (yang menandakan masuk waktu Subuh). Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:

  • Daripada Hafsah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ، فَلَا صِيَامَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak menetapkan niat puasa sebelum daripada Fajar maka tiada puasa baginya.” [Riwayat al-Nasa’ie (2331)]

 

Manakala, tempoh niat bagi puasa yang sunat pula bermula daripada terbenamnya matahari dan berakhir sebelum daripada tergelincirnya matahari (iaitu masuknya waktu zuhur). Ini berdasarkan kepada sebuah hadith:

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda pernah bertanya kepadaku pada suatu hari:

 

يَا عَائِشَةُ، هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا عِنْدَنَا شَيْءٌ قَالَ: فَإِنِّي صَائِمٌ

Maksudnya: “Wahai Aisyah! Adakah kita mempunyai apa-apa (untuk dimakan).” Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, kami tidak mempunyai apa-apa.” Maka telah bersabda Nabi SAW: “Maka dengan sebab itu, aku berpuasa.” [Riwayat Muslim (1154)]

Berbalik kepada soalan di atas, di antara perbezaan niat puasa yang wajib dan sunat pula adalah diwajibkan tabyit dan ta’yin bagi puasa yang wajib dan tidak diwajibkan pada puasa yang sunat. Tabyit adalah menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas terbenamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar yang menandakan masuknya waktu solat Subuh. Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Adapun ta’yin pula adalah menentukan jenis puasa tersebut seperti puasa Ramadhan, Nazar, Kaffarah dan juga Qadha’. Justeru itu, menetapkan “fardhu” di dalam niat puasa (puasa yang wajib) bukanlah wajib mengikut pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie kerana tidak berlaku kepada orang yang telah baligh dan berakal melainkan apa yang fardhu sahaja. [Lihat: al-Taqrirat al-Sadidat, 440] Hal ini juga ada disebutkan di dalam kitab al-I’anah. [Lihat: I’anah al-Tholibin, 2/253]

 

Penutup

Kesimpulannya, orang yang tidak menetapkan “fardhu” di dalam niat puasanya, puasanya adalah sah kerana ia bukanlah perkara yang wajib di dalam niat (bagi puasa yang wajib). Walaupun begitu, menetapkan “fardhu” ketika berniat adalah termasuk di dalam kesempurnaan niat. Oleh itu, bagi mendapatkan niat yang sempurna, perlu disertakan “fardhu” ketika berniat. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima ibadah puasa kita serta ibadah-ibadah yang lain di dalam bulan yang mulia ini. Amin.

 

Wallahua’lam