اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-120 : TIDAK WAJIB FIDYAH JIKA TIDAK SEMPAT GANTI PUASA KERANA UZUR SYARIE

ifkr120 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Adakah wanita yang tidak sempat menggantikan puasa Ramadhan sehingga tiba Ramadhan seterusnya wajib qadha’ dan membayar kafarah? Alasan dia menangguhkan ialah kerana mengandung atau menyusukan anak. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Di dalam Syariat Islam, mengandung dan menyusukan anak adalah bentuk keuzuran yang mengharuskan berbuka. Daripada Anas al-Ka’biy RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ الصَّوْمَ وَشَطْرَ الصَّلاَةِ، وَعَنِ الْحَامِلِ أَوِ الْمُرْضِعِ الصَّوْمَ

Maksudnya: “Allah SWT meringankan puasa dan memendekkan solat bagi orang yang bermusafir, sementara perempuan mengandung dan yang menyusukan anak, Allah meringankan puasanya sahaja.”

Riwayat al-Tirmizi (715) dan Abu Daud (2408)

Wajib ke atas wanita yang tidak berpuasa kerana mengandung atau menyusukan anak untuk menggantikan puasa selepas berlalunya Ramadhan. Jika dia tidak sempat menggantikannya, bukan kerana keuzuran, maka dia dianggap berdosa dan diwajibkan untuk membayar fidyah sebanyak satu cupak makanan ruji tempatan, seberat 600 gram. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (2/92).

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/200):

“Adapun sekiranya seseorang itu melewatkan qadha puasa Ramadhan kerana suatu keuzuran; seperti sakitnya berpanjangan, menyusukan, mengandung, atau sentiasa musafir, sehingga masuk ke Ramadhan yang lain, maka tidak wajib fidyah akibat kelewatan ini, dan wajib qadha sahaja.”

Kenyataan yang sama dinukilkan daripada kitab al-Taqrirat al-Sadidah (Qism Ibadat) (hlm. 456) oleh Syeikh Hasan al-Kaf:

“Jika seseorang itu melewatkan qadha kerana suatu keuzuran seperti musafir, sakit, menyusukan, lupa dan jahil – maka dia tidak wajib bayar fidyah.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa ibu-ibu yang melewatkan ganti puasa, kerana uzur Syarie seperti sentiasa sakit, menyusukan anak, dan mengandung, adalah tidak wajib dikenakan fidyah, jika mereka tidak sempat menggantikan puasa sebelum tiba Ramadhan seterusnya.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Wallahua’lam.