Soalan:
Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya ingin bertanyakan tentang suatu situasi yang berlaku di kebanyakan Masjid semasa bulan Ramadhan yang mana semasa berbuka puasa disediakan juadah ringan terlebih dahulu seperti segelas air dan buah kurma untuk berbuka. Kemudiannya mereka terus bersiap untuk solat maghrib berjamaah dan setelah itu barulah makan juadah berat. Soalan saya, adakah perkara ini lebih afdhal atau bolehkah kita makan berat dahulu semasa berbuka kemudian baru mendirikan solat ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ
Maksudnya: Sentiasalah manusia itu berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka.
Riwayat Al-Bukhari (1957)
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa antara amalan sunnah adalah menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam. Terdapat sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa beliau menyatakan: ‘’Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab kemudian baginda mendirikan solat’’.
Manakala berkenaan dengan isu mendirikan solat dalam keadaan makanan telah terhidang, terdapat beberapa riwayat yang menyebut berkaitan hal ini. Antaranya adalah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Atiq R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ صَلاَةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ وَلاَ وَهُوَ يُدَافِعُهُ الأَخْبَثَانِ
Maksudnya: Tidak sempurna solat dengan keberadaan makanan (yang telah terhidang) dan begitu juga tidak sempurna solat bagi mereka yang menahan air kecil dan air besar.
Riwayat Muslim (560)
Berdasarkan hadis di atas, kalimah لاَ di situ adalah La Al-Naafiyah yang dalam konteks ini menafikan kesempurnaan solat. Implikasi hukumnya adalah makruh solat dalam keadaan makanan telah dihidangkan dan begitulah juga makruh solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan air besar.
Kata Imam al-Nawawi Rahimahullah: ‘’Hadis-hadis sebegini menunjukkan kepada kemakruhan solat dengan adanya makanan disediakan bagi mereka yang ingin makan. Ini disebabkan akan hilangnya kesempurnaan khusyuk serta hadirnya perkara-perkara yang menyibukkan hati’’.
Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ عَلَى الطَّعَامِ فَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ، وَإِنْ أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu berada di hadapan hidangan makan maka janganlah dia bersegera sehinggalah dia menyelesaikan hajatnya dari makanan tersebut, meskipun solat telah didirikan.
Riwayat Al-Bukhari (674)
Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا قُدِّمَ الْعَشَاءُ فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ الْمَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
Maksudnya: Apabila makan malam telah disediakan maka mulakanlah dengannya sebelum kamu menunaikan solat maghrib. Maka janganlah kamu tergopoh gapah dengan makan malam kamu.
Riwayat Al-Bukhari (672)
Imam Al-Bukhari menukilkan sebuah kata-kata dari Abu al-Darda’ yang mana beliau berkata: ‘’Antara feqh (kefahaman beragama) seseorang itu adalah dia mendahulukan hajat (keperluannya dengan makanan) kemudian barulah dia pergi ke arah solatnya dalam keadaan jantung hatinya kosong (tenang dari gangguan)’’.
Demikian juga Imam Abu Daud meriwayatkan dengan katanya:
وكان ابن عمر يوضع له الطعام ، وتقام الصلاة فلا يأتيها حتى يفرغ ، وإنه يسمع قراءة الإمام
Maksudnya: Adalah Ibn Umar dihidangkan kepadanya makanan, lalu didirikan solat dan beliau tidak mendatanginya (solat) sehinggalah beliau selesai makan. Dan sesungguhnya beliau mendengar bacaan imam.
Manakala dalam sebuah riwayat yang lain daripada Nafi’ beliau berkata:
وكان ابن عمر إذا حضر عشاؤه وسمع الإقامة وقراءة الإمام لم يقم حتى يفرغ
Maksudnya: Adalah Ibn Umar apabila telah terhidang makan malam dan beliau mendengar iqamah serta mendengar bacaan imam, beliau tidak bangun (untuk menunaikan solat) sehinggalah selesai makan.
Demikian juga terdapat sebuah riwayat yang menceritakan berkenaan dengan Abu Hurairah dan juga Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ketika keduanya sedang memakan hidangan lalu muazzin hendak iqamat bagi mendirikan solat, maka Ibn Abbas berkata kepadanya:
لا تعجل لئلا نقوم وفي أنفسنا منه شيء
Maksudnya: Jangan kamu bersegera (untuk iqamat) supaya kita tidak berdiri dalam keadaan dalam diri kita ada memikirkan sedikit tentang makanan tersebut.
Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (2/188)
Kesimpulan
Sebagai penutup, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya juadah berbuka puasa telah dihidangkan, hendaklah seseorang itu menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu dan kemudian barulah menunaikan solat maghrib. Hal ini adalah supaya jiwanya akan lebih tenang dan tidak terganggu untuk mendirikan solat maghrib.
Justeru, mengambil kira kepada suasana di masjid-masjid pada hari ini yang berbuka puasa dengan juadah ringan terlebih dahulu, kami nyatakan bahawa ianya tidak bercanggah dengan syariat bahkan lebih afdhal kerana mengambil sunnah berbuka puasa segera dan dapat juga menunaikan solat secara berjamaah dalam tempoh yang awal.
Ini bertepatan dengan kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar:
لأنه يكون قد أخذ من الطعام ما دفع شغل البال به
Maksudnya: Ini kerana dia telah mengambil dari makanan dengan kadar yang dapat menghalang sibuknya fikiran dirinya dengan makanan tersebut.
Kami juga menambah bahawa dalam berbuka puasa hendaklah seseorang itu tidak makan secara berlebihan. Ini kerana, keadaan perut yang amat penuh akan melemahkan badan seseorang untuk beribadah lebih lebih lagi untuk mendirikan solat maghrib, isyak dan juga solat tarawih. Bersederhanalah dalam makan dengan mengikut kadar yang perlu bagi membantu mencapai kekuatan untuk beribadah dan bukannya makan hingga menyebabkan bertambah malas dan culas dalam beribadah.
Akhir kalam, kami berdoa agar penjelasan ini dapat memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.