اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-126 : ADAKAH PINTU AL-RAYYAN KHUSUS BUAT UMAT NABI MUHAMMAD SAW?

afkr 126 compressed

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Soalan saya, adakah pintu Al-Rayyan bagi orang yang banyak berpuasa khusus untuk umat Nabi Muhammad ataupun umat-umat lain pun boleh masuk pintu itu juga?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Di antara rahmat Allah SWT ke atas hamba-Nya ialah setiap orang akan masuk syurga melalui pintu amalan yang dia lakukan ketika di dunia. Di antara pintu-pintu tersebut adalah pintu Al-Rayyan yang dikhususkan untuk mereka yang berpuasa. Hal ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sabda Nabi SAW :

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِى سَبِيلِ اللَّهِ نُودِىَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ ، هَذَا خَيْرٌ . فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِىَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ

Maksudnya :” Sesiapa yang berinfaq (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah makan dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan”. Sesiapa yang banyak melakukan solat makan dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.”

Riwayat Al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)

Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini beliau menyebutkan bahawa setiap orang akan masuk ke dalam melalui pintu amalan mereka adalah kerana mereka sentiasa berterusan melakukan amalan ketaatan seperti solat,puasa dan sebagainya. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 6/100).

Ini bermakna jika setiap orang mukmin melakukan satu amalan dan berterusan melakukan amalan tersebut, maka dia layak untuk masuk ke syurga menerusi pintu-pintu yang khusus baginya. Bahkan Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan selain dari pintu-pintu yang disebutkan ada pintu-pintu yang lain seperti pintu haji, pintu zikir, pintu ilmu dan yang paling kanan sekali adalah pintu yang dikhususkan untuk ahli tawakkal yang masuk ke dalam syurga tanpa hisab. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 7/37)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis tersebut kekal dengan keumumannya. Ini bermakna pintu Al-Rayyan juga boleh dimasuki oleh umat-umat selain umat Nabi Muhammad. Ini kerana tiada nas atau dalil yang khusus yang menyatakan bahawa pintu Al-Rayyan dikhususkan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Pengkhususan terhadap sesuatu perkara khususnya yang melibatkan perkara ghaibiyat memerlukan dalil atau nas. Jika tiada ianya kekal dengan keumumannya.Kaedah menyebut :

إِذَا وُرِدَ في النَّصِّ الشَّرْعِي لَفْظ عامٌ وَلَمْ يَقُمْ دَلِيلٌ عَلَى تَخْصِيصِه، وَجَبَ حَمْلُهُ على عُمُومِه

Maksudnya :” Jika di dalam nas syara’ menyebutkan lafaz umum dan tiada dalil yang mengkhususkannya maka wajib dikekalkan keumumannya.”

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa pintu ini dikhususkan untuk orang mukmin yang sentiasa melazimi amalan puasa. (Rujuk Tuhfah Al-Ahwazi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, 19/147)

Ini membawa maksud bahawa umat-umat sebelum umat Nabi Muhammad layak memasuki pintu Al-Rayyan asalkan mereka beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi, umat yang paling awal masuk syurga melalui pintu ini ialah umat Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan umum hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA. Sabda Nabi SAW:

نَحْنُ الْآخِرُونَ الْأَوَّلُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَنَحْنُ أَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا وَأُوتِينَاهُ مِنْ بَعْدِهِمْ

Maksudnya :” Kita adalah umat yang terakhir (dari sudut zaman) juga umat yang terawal (mendapat kelebihan) pada hari kiamat. Kita juga adalah umat yang paling awal sekali masuk ke dalam syurga. Walaupun mereka (umat-umat terdahulu) diberikan kitab sebelum kita dan kita diberikan selepas daripada mereka.”

Riwayat Muslim (1413)

Kesimpulannya, pintu Al-Rayyan tidak dikhususkan hanya buat umat Nabi Muhammad SAW. Ia juga akan dimasuki oleh umat-umat Nabi yang terdahulu yang datang sebelum umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana hadis yang disebutkan berbentuk umum dan tidak dkhususkan hanya kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.