اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-130: HUKUM TERSALAH BERSAHUR ATAU BERBUKA PUASA BUKAN PADA WAKTUNYA.

 

000

SOALAN:

Assalamualaikum Dato SS Mufti. Saya ingin bertanya, kenapa jika orang yang tersalah bersahur selepas waktu azan Subuh atau tersalah berbuka puasa sebelum masuk waktu, puasanya tidak sah dan dia perlu menqadakan puasanya. Sedangkan orang yang makan dan minum dengan terlupa ketika berpuasa, tidak batal dan tidak perlu mengqadakan puasanya?

Mohon penjelasan SS Mufti.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT mensyariatkan ibadah puasa kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti yang telah disyariatkan kepada umat-umat sebelumnya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 183)

Puasa dari sudut bahasa bermaksud menahan diri. Manakala dari sudut syarak pula, menahan diri daripada perkara yang membatalkan dengan cara yang tertentu daripada terbit sehingga terbenamnya matahari. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 294)

Disamping kewajipan berpuasa, Allah SWT juga memberi kelonggaran dan keringanan kepada golongan yang tertentu untuk berbuka puasa. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.

(Surah al-Baqarah: 185)

Ibn Kathir menafsirkan ayat ini bahawa orang yang sakit dan orang yang dalam bermusafir tidak perlu berpuasa. Ini kerana jika dia berpuasa itu akan menyebabkan kesulitan dan kesusahan baginya, bahkan dia perlu berbuka puasa dan mengqadakan puasa yang ditinggalkan tersebut pada hari yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 2:184)

Begitu juga, Allah SWT memberi keringanan jika sekiranya seseorang itu melakukan perkara yang membatalkan puasa dengan terlupa atau tidak sengaja, maka tidak batal puasanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن نسِي وَهُوَ صَائِمٌ فأكَلَ أَوْ شَرِبَ، فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ؛ فَإِنّمَا أَطْعَمَهُ اللهُ وَسَقَاهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang terlupa bahawa dia sedang berpuasa kemudian dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan makan dan minum kepadanya.

Hadith riwayat al-Bukhari (1831) dan Muslim (1155)

Diriwayatkan juga oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تَجَاوَزَ لِيْ عَنْ أُمَّتِي : الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT memaafkan terhadap umatku kerana aku; segala apa yang tersalah, lupa dan dipaksa.

Hadith riwayat Ibn Majah: (2043)

Justeru, sesiapa yang melakukan perkara yang membatalkan puasa dalam keadaan beliau tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka puasanya tidak batal dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya sehingga waktu berbuka.

Walaubagaimanapun, berbeza hal dan hukumnya dengan orang yang ragu-ragu tentang waktu berbuka atau sahur, kemudian dia berbuka puasa atau meneruskan sahur berdasarkan ijtihadnya sahaja. Dalam keadaan ini, para ulama’ membahagikan hukum bagi situasi ini kepada dua bahagian:

  • Haram hukumnya bagi orang yang berasa ragu-ragu masuk waktu berbuka untuk makan pada akhir hari waktu siang dengan keadaan dia berijtihad dan menyangka bahawa sudah masuk waktu malam. Ini kerana kaedah fiqh menyatakan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu siang.
  • Harus hukumnya untuk meneruskan makan bagi orang berasa ragu-ragu bahawa waktu sahur telah tamat, berdasar ijtihadnya atau diberitahu oleh seorang yang adil. Ini kerana kaedah fiqh menyebutkan bahawa asal hukum adalah berkekalannya waktu malam. (Rujuk Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: 106)

Namun jika sekiranya selepas itu dia mendapati bahawa dia tersalah bersahur dengan makan dan minum selepas azan Subuh atau tersalah berbuka puasa sebelum masuk waktu Maghrib, dalam keadaan dia yakin bahawa dia telah tersilap, maka batal puasanya dan hendaklah dia mengqadanya pada hari yang lain. Ini berdasarkan kaedah fiqh:

لَا عِبْرَةَ بِالظّنّ البَيّن خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambil kira dengan dugaan-dugaan yang sudah jelas kesalahannya. (Rujuk Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: 106-107)

Selain itu, orang yang tersalah bersahur selepas waktu Subuh hendaklah menahan diri daripada makan dan minum serta semua perkara yang membatalkan puasa sehinggalah waktu berbuka puasa. (Rujuk Sullam al-Raja Syarh Safinat al-Naja: 59)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa batal puasa bagi seseorang yang syak masuk waktu berbuka dan haram baginya makan kecuali setelah dia yakin dan berijtihad bahawa waktu telah masuk.

Manakala, tidak batal puasa dan harus hukumnya bagi seseorang yang meneruskan makan dan minum dalam keadaan dia ragu-ragu bahawa telah tamat waktu sahur. Namun jika sekiranya jelas kepadanya bahawa dia tersalah dengan makan selepas habis waktu sahur, maka batal puasanya dan hendaklah dia menggantikannya pada hari yang lain. Kedua-dua situasi ini berdasarkan kaedah fiqh:

الأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya: Asal hukum itu kekal sesuatu mengikut apa yang sebelumnya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih terhadap agamaNya dan memberi taufiq kepada kita untuk sentiasa melaksanakan amal soleh. Amin.

WaAllahu a’lam.