اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 148: HUKUM SUAMI MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH KEPADA ISTERI YANG TELAH DICERAIKANNYA DAN ISTERI YANG SEDANG NUSYUZ?

zakat fitrah isteri nusyuz.JPG

SOALAN

Adakah wajib ke atas suami untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi pihak isteri yang telah diceraikannnya dan isteri sedang nusyuz terhadapnya?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Zakat fitrah merupakan satu bentuk zakat yang wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim yang cukup syarat-syaratnya pada setiap tahun. Ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan daripada ibn Umar R.Anhuma:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ عَبْدٍ أَوْ حُرٍّ صَغِيرٍ أَوْ كَبِيرٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. (Kadarnya ialah) segantang kurma atau segantang gandum. Ianya diwajibkan ke atas setiap hamba atau orang yang merdeka, yang masih kecil mahupun yang sudah dewasa.”

Riwayat Al-Bukhari (1503) & Muslim (2326)

Zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh mereka yang diwajibkan nafkah ke atasnya sama ada disebabkan pernikahan seperti isteri dan anak-anak, atau kaum kerabat seperti ibu, ayah dan saudara mara, atau disebabkan khidmat yang diberikan seperti hamba. Ini adalah berdasarkan kaedah:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: “Setiap yang diwajibkan kepadanya untuk diberikan nafkah, diwajibkan kepadanya untuk membayar zakat fitrah bagi mereka” Rujuk Taqrirat al-Sadidah - Qism Ibadah (Hal. 419).

Berkenaan dengan hukum mengeluarkan zakat bagi isteri yang telah diceraikan, Imam an-Nawawi Rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dengan berkata: Wajib ke atas suami mengeluarkan zakat fitrah ke atas isteri yang diceraikannya dengan talak raj’ie[1] dan talak ba’in[2] jika isteri tersebut sedang hamil seperti mana wajib ke atas suami tersebut memberi nafkah kepada mereka. Adapun isteri yang diceraikan dengan talak ba’in dan tidak hamil, maka tidak wajib ke atas suami untuk membayar zakat fitrah ke atasnya”. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/117).

Berkenaan dengan isteri yang sedang nusyuz sehingga terbenamnya matahari pada malam hari raya Eidulfitri, maka hukumnya adalah tidak wajib ke atas suaminya untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada isteri tersebut kerana tidak wajib kepada suaminya untuk memberikan nafkah disaat isterinya sedang nusyuz kepadanya. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (6/114), al-Hawi al-Kabir (4/386), al-Anwar li A’mal al-Abrar (1/206), al-Mu’tamad fi Fiqh asy-Syafi’e (2/97)

 

Kesimpulan

Wajib ke atas suami untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi isterinya seperti mana wajib ke atas suami memberikan nafkah kepada isterinya walaupun isteri tersebut diceraikan dengan talak raj’ie atau talak ba’in dalam keadaan sedang hamil yang mana kedua-duanya masih berada dalam tempoh iddah.

Namun begitu, isteri yang diceraikan dengan talak ba’in dan tidak hamil, atau isteri yang sedang nusyuz, maka tidak wajib kepada suami untuk mengeluarkan zakat bagi pihak mereka seperti mana tidak diwajibkan ke atas suami untuk memberikan nafkah kepada mereka.

Semoga Allah SWT memberikan kita segala kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin

Nota Hujung:

[1] Talak raj'ie bermaksud talak yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah. Talak yang dilafazkan oleh suami dikira sebagai talak raj'ie jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua.

[2] Talak ba’in terbahagi kepada talak ba’in kubra dan talak ba’in sughra. Talak ba’in kubra adalah talak yang telah berlaku kepada mana-mana pasangan sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk kembali atau bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki lain selepas penceraian tersebut dan telah bersama sebagai suami isteri selepas itu. Kemudian, mereka bercerai atau suaminya yang kedua tersebut meninggal dunia, maka barulah suami pertamanya berhak menikahinya kembali.

Talak ba’in sughra adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tersebut tidak boleh merujuk kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun isterinya masih di dalam iddah. Antara talak ba’in sughra adalah: Talak yang diputuskan oleh hakim, talak melalui khulu' dan talak yang difasakhkan oleh hakim.