اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-163: PADA UMUR BERAPAKAH ANAK-ANAK PERLU DIDIDIK BERPUASA

IF RAMADHAN 163

 

Soalan:

Pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu didik supaya berpuasa?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Puasa dan kanak-kanak

Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang  menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.

Sunan Abi Dawud (4402)

Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:

(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ

Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)

Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawall umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:

مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا

Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).

Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)

Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.

 

Kesimpulan

Tuntasnya kami nyatakan bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.

Wallahu a’lam.

 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan