اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-165 : HUKUM PUASA PESAKIT GLAUKOMA YANG PERLU SENTIASA MEMINUM AIR

ifkr165 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Mak saya sebelah matanya kena glukoma. Jadi beliau memang bergantung dengan ubat untuk pastikan saraf mata itu tidak mati. Kalau saraf mata itu rosak boleh menyebabkan mata mak saya rosak dan  buta. Jadi bila mak saya makan ubat dia kena sentiasa minum air dalam kuantiti yang banyak supaya tidak merosakkan buah pinggang.

Masalahnya sekarag, untuk bulan puasa nanti, doktor nasihatkan mak saya supaya tidak perlu berpuasa. Ini kerana menurut beliau jika mak saya makan ubat tu waktu sahur dan berbuka,  masih beliau perlu minum air secara berterusan sepanjang hari untuk pastikan ubat tu tidak beri kesan kepada buah pinggang.

Doktor tu ada terangkan tentang satu kes yang pesakitnya berpuasa dan dalam masa yang sama makan ubat. Tetapi akhirnya dapat tahu kedua-dua buah pinggangnya rosak akibat kurang minum air. Akhirnya pesakit itu meninggal dunia akibat kerosakan buah pinggang.

Jadi soalan saya, dalam kes mak saya oni bagaimana hukumnya. Adakah jatuh dalam kategori tidak wajib berpuasa? Mak saya sihat sahaja cuma masalah pada bahagian mata.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Kami pernah menjawab tentang tabiat penyakit glaukoma dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-376 : Penggunaan Implan Daripada Sumber Khinzir Untuk Rawatan Glaukoma. Secara ringkas, “Glaukoma” bermaksud sejenis penyakit yang disebabkan bertambahnya tekanan di dalam mata, yang boleh menjejaskan penglihatan atau lama-kelamaan boleh menyebabkan hilang data penglihatan. Justeru, penyakit glaukoma adalah kategori penyakit yang berbahaya dan membawa kepada keadaan darurat kerana berpotensi untuk menghilangkan fungsi anggota iaitu mata. Di dalam mazhab al-Syafie, keadaan darurat ini dinamakan masyaqqah atau kesukaran tidak mampun ditanggung secara adat yang mengharuskan tayammum.

Berkata Imam al-Nawawi:

“Para ashab kami (Syafieyyah) berkata bahawa syarat mengharuskan berbuka puasa ialah apabila wujud akibat perbuatan berpuasa itu suatu kesukaran yang payah untuk ditanggung, seperti mana yang dibahaskan dalam bab tayammum.”

Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (6/258)

Berkata Imam a-Izz bin Abdissalam:

“Adapun hukum tayammum, maka al-Syafie Rahimahullah mengharuskannya kerana suatu uzur yang ringan pada waktu tertentu, dan pada waktu yang lain menegahnya dengan standard uzur yang lebih berat. Di sisi beliau jenis-jenis keuzuran itu memiliki darjat pada kesukarannya. Darjat yang pertama ialah kesukaran yang begitu besar lagi memberi musibah seperti risiko kehilangan nyawa, organ-organ badan, atau fungsi organ, maka diharuskan bertayammum apabila ia wujud…”

Rujuk Qowa`id al-Ahkam fi Masolih al-Anam (2/13); al-Minhaj al-Qowim (hlm. 250) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami

Justeru, jelas kepada kita bahawa penyakit yang wujud akibat atau bersama dengan puasa, yang boleh menyebabkan kehilangan fungsi organ adalah salah satu daripada penghalang daripada kewajiban berpuasa dalam bulan Ramadhan. Seseorang yang takut sekiranya dia berpuasa akan menyebabkan organ badannya rosak bahkan boleh menyebabkan kematian adalah tidak wajib berpuasa.

Timbul persoalan, sekiranya seseorang itu tidak wajib berpuasa akibat sakit, adakah dia mempunyai dzimmah atau liabiliti untuk menggantikan puasa itu apabila dia sihat, atau dia hanya perlu membayar fidyah?

Jawapannya ialah tanggungjawab itu bergantung kepada keadaan penyakitnya. Keadaan itu boleh kita bahagikan kepada dua:

  • Sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh
  • Sakit yang ada harapan untuk sembuh.

 

Sakit yang ada harapan untuk sembuh

Pesakit yang diharuskan untuk berbuka puasa tetapi mempunyai harapan untuk sembuh adalah diwajibkan untuk menggantikan puasanya apabila dia sudah mampu untuk berpuasa. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Ertinya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam keadaan musafir (maka bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa mengqadha (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Berkata Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari:

“[dan diwajibkan untuk menggantikan puasa yang luput sekalipun ditinggalkan kerana uzur] seperti sakit dan musafir berdasarkan ayat di atas kerana taqdirnya ialah [maka berbukalah dan gantikan mengikut bilangan yang ditinggakan pada hari yang lain] begitu juga hukum bagi haid dan seumpamanya.”

Rujuk Fath al-Wahhab (1/142)

Sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh

Sakit dalam kategori ini termasuk dalam kategori orang yang memang tidak mampu berpuasa seperti golongan tua renta. Hukumnya ialah mereka tidak wajib berpuasa dan tidak wajib juga menggantikannya tetapi wajib membayar fidyah bagi bilangan hari yang ditinggalkan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: “…dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama…”

(Surah al-Hajj: 78)

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili:

“Orang yang lemah untuk berpuasa wajib ke atasnya membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin bagi setiap hari itu satu mudd daripada makanan, kira-kira 600 gram daripada jenis makanan ruji tempatan. Jika dia memaksa dirinya untuk berpuasa juga maka tidak ada fidyah baginya. Dalil bagi fidyah ialah firman Allah Taala:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Yakni mereka diberikan tanggungjawab untuk berpuasa tetapi mereka tidak mampu. Berkata Ibn Abbas R.Anhuma: “Golongan itu adalah lelaki tua renta dan wanita tua renta, yang masing-masing tidak mampu untuk berpuasa, maka mereka hendaklah memberi makan setiap hari seorang miskin.” Riwayat al-Bukhari (no. 4235).

Daripada Abu Hurairah RA bahawa dia berkata: “Barangsiapa yang mencapai umur tua kemudian tidak mampu berpuasa Ramadhan maka dia wajib bagi setiap hari (yang ditinggalkan) itu satu mudd daripada tepung gandum.” Riwayat al-Baihaqi (4/271).

Berkata Ibn Umar R.Anhuma: “Jika seseorang lemah untuk berpuasa maka berilah makan bagi setiap hari itu satu mudd.” Riwayat al-Baihaqi (4/230).

Sesungguhnya Anas RA pernah lemah untuk berpuasa satu tahun sebelum dia wafat maka dia berbuka puasa dan memberi makan (yakni fidyah). Riwayat al-Daraqutni (2/207) dan al-Baihaqi (4/271).”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/197-198)

Hukum pesakit yang tidak tahu sama ada dia akan sembuh atau tidak

Barangkali timbul persoalan; bagaimana hukum bagi pesakit yang tidak mampu berpuasa akibat sakit tetapi tidak pasti sama ada sakitnya itu.

Pertamanya, tahap keseriusan penyakit yang boleh mengharuskan berbuka puasa itu perlu berdasarkan prognosis doktor yang Muslim, adil lagi terpercaya. Rujuk Hasyiah al-Syabramallisi (3/185); dan Hasyiah al-Jamal (2/332).

Keduanya, jika penyakit itu disangkakan tidak akan sembuh kemudian sembuh maka terdapat tiga pendapat ulama:

Pendapat pertama: Tidak wajib qadha’ kerana telah diwajibkan fidyah. Inilah pendapat muktamad dalam mazhab al-Syafie.

Berkata Imam Syamsuddin al-Ramli:

Sesungguhnya pesakit itu tidak wajib untuk qadha’, sekiranya dia kembali mampu untuk berpuasa; kerana puasa telah gugur daripadanya, sewaktu dia tidak dipertanggungjawabkan untuknya, seperti mana pendapat asah dalam al-Majmu`, kerana dia pada permulaannya diwajibkan membayar fidyah, bukan sebagai ganti untuk puasa.”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj (3/193)

Berkata Syeikh Ali al-Syabramallisi berkenaan keterangan di atas: “Sekalipun fidyahnya masih berbaki belum dibayar.”

Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Dan jika dia kembali mampu selepas itu untuk berpuasa, maka dia tetap tidak wajib untuk qadha’ seperti mana yang dinyatakan oleh majori ulama.”

Rujuk Tuhfah al-Muhtaj (3/440)

Pendapat kedua: Wajib qadha’, sama seperti orang sakit yang diharapkan sembuhnya. Ini satu wajh dalam Syafieyyah. Rujuk al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (6/259)

Pendapat ketiga: Wajib qadha’ sekiranya sembuh belum bayar fidyah dan tidak wajib qadha’ sekiranya sembuh selepas bayar fidyah. Ini pandangan Imam al-Baghawi dalam mazhab al-Syafie. Rujud Ibid.

 

Adat sebagai sumber hukum

Sekiranya doktor memaklumkan bahawa pada kebiasaannya orang yang memakan ubat tertentu lalu berpuasa akan menyebabkan kematian, maka hukum berpuasa selepas memakan ubat itu adalah diharamkan.

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu`tamad (2/195):

“Sekiranya sakit itu sangat berat sehingga ditakuti boleh membawa kepada kebinasaan maka wajib berbuka sama ada berlaku pada malam atau siang hari, sama seperti hukum orang yang lapar dan haus keterlaluan sehingga boleh binasa maka wajib dia berbuka sekalipun dia sihat dan bermukim berdasarkan firman Allah Taala:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: “dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

(Surah al-Nisa: 29)

Firman Allah Taala:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Kaedah fiqh juga menyebut:

العَادَة مُحَكَّمَة

Maksudnya: “Adat yang berulang-ulang itu menjadi sumber hukum.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazo’ir (hlm.89) oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti

Contohnya, wania yang keluar darah istihadah wajib menggunakan bilangan haid pada adatnya yang lepas jika dia tidak mampu membezakan sifat darahnya.

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:

  • Pendapat doktor wajib dijadikan sebagai pemberat sama ada perlu berpuasa atau tidak.
  • Jika doktor menasihatkan agar tidak berpuasa supaya kandungan air dalam badan tidak berkurangan sehingga boleh merosakkan buah pinggang akibat perlu memakan ubat glaukoma untuk mengelakkan kebutaan, maka tidak diwajibkan untuk berpuasa. Bahkan jika berpuasa boleh menyebabkan kematian berdasarkan adat yang dimaklumkan oleh doktor, maka diharamkan untuk berpuasa.
  • Berdasarkan nasihat doktor, jika penyakit glaukoma itu masih boleh diharapkan sembuh, maka pesakit itu tidak diwajibkan berpuasa tetapi wajib menggantikannya selepasnya sembuh.
  • Jika penyakit glaukoma itu tidak boleh diharapkan sembuh melainkan perlu memakan ubat yang tidak membolehkan puasa, maka pesakit itu tidak diwajibkan berpuasa, tidak wajib menggantikannnya sebaliknya membayar fidyah kepada orang miskin bagi setiap hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan.
  • Jika doktor memberikan prognosis bahawa penyakitnya tidak akan sembuh, kemudian pesakit itu tidak berpuasa dan membayar fidyah, tetapi ditaqdirkan Allah, penyakitnya sembuh dia kembali mampu berpuasa, dia tidak wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan kerana dia pada permulaannya tidak diwajibkan untuk berpuasa tetapi diwajibkan untuk membayar fidyah.

Wallahua’lam.

Semoga penjelasan ini memberikan jawapan kepada penanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ menerima segala amalan kita yang kita lakukan dengan ikhlas dengan segala kemampuan. Amin.