Soalan:
Bolehkah saya (amil zakat) mengambl duit zakat fitrah hasil lebihan orang bayar zakat? Kadang-kala pembayar zakat tidak mahu mengambil baki wang zakat fitrah, adakah berdosa saya mengambilnya? Mohon penjelasan, terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Amil zakat ditakrifkan sebagai golongan yang yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
Amil merupakan salah satu golongan yang berhak untuk menerima zakat berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Qur’an:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّـهِ ۗ
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah.
Surah al-Taubah (60)
Dalam menjalankan tugas sebagai seorang amil, kadang-kala pembayar zakat tidak mahu mengambil baki wang zakat fitrah yang dibayar. Adakah boleh amil mengambil duit baki tersebut?
Firman Allah SWT:
وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: ...dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan membawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu;
Surah Ali ‘Imran (161)
Terdapat juga satu hadith berkenaan larangan terhadap amil zakat daripada mengambil bahagian daripada zakat secara tidak sah:
اسْتَعْمَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً مِنْ بَنِي أَسَدٍ يُقَالُ لَهُ ابْنُ الأُتَبِيَّةِ عَلَى صَدَقَةٍ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي. فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ " مَا بَالُ الْعَامِلِ نَبْعَثُهُ، فَيَأْتِي يَقُولُ هَذَا لَكَ وَهَذَا لِي. فَهَلاَّ جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ فَيَنْظُرُ أَيُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يَأْتِي بِشَىْءٍ إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ، إِنْ كَانَ بَعِيرًا لَهُ رُغَاءٌ، أَوْ بَقَرَةً لَهَا خُوَارٌ، أَوْ شَاةً تَيْعَرُ
Maksudnya: Nabi SAW mengutus seorang lelaki dari Bani Asad yang bernama Ibnu Lutbiah sebagai pemungut zakat. Ketika kembali dari tugasnya, dia berkata: "Ini untuk kalian sebagai zakat dan ini pula bahagian untukku". Maka Baginda pun berdiri di atas mimbar dan memuji Allah dan bersabda: "Cubalah dia duduk saja di rumah ayahnya atau ibunya, dan menunggu adakah akan ada yang memberikan kepadanya hadiah? Dan demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidak seorangpun yang mengambil sesuatu dari zakat ini (secara tidak sah), kecuali dia akan datang pada hari kiamat dengan dipikulkan di atas lehernya berupa unta yang berteriak, atau lembu yang mengeboh atau kambing yang mengembik”
Sahih al-Bukhari (7174)
Hadith ini menunjukkan bahawa seorang ‘amil itu perlu bersikap amanah dalam menjalankan tugas, tidak mengambil upah atau bahagian melebihi daripada yang telah ditetapkan.
Menurut Imam Nawawi, para amil tidak berhak menuntut lebih daripada kadar upah yang telah ditetapkan oleh pihak yang melantiknya sebagai amil. (Rujuk Raudhah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/327-328)
Kesimpulan
Kesimpulannya, seorang amil tidak boleh mengambil sebarang upah melainkan daripada apa yang telah ditetapkan oleh syari’at iaitu 1/8 daripada bahagian zakat dan juga elaun khusus yang disediakan oleh pihak yang melantiknya.
Namun, mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-65, pada 19 Disember 2005M bersamaan 18 Zulkaedah 1426H telah membincangkan berkenaan mengkaji semula bahagian 1/8 upah amil zakat fitrah di Wilayah Persekutuan dan keputusannya adalah seperti berikut :
“Mesyuarat bersetuju supaya pembayaran upah amil Zakat Fitrah di Wilayah Persekutuan diberi pada nisbah 1/12 dengan alasan secara umumnya antara tugas Ketua Amil dan Amil adalah hanya menjalankan tugas mengutip Zakat Fitrah dan yang berkaitan sahaja manakala urusan pengagihannya adalah dijalankan oleh Majlis.”
Jika ada pembayar zakat yang tidak mahu mengambil baki zakat yang dibayar, haram bagi amil untuk mengambilnya. Sebaliknya hendaklah dia masukkan baki bayaran zakat tersebut ke dalam tabung masjid, menderma kepada faqir miskin atau mencampurkannya dengan wang zakat yang lain.
Wallahu a’lam.
Disediakan oleh,
Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan