SOALAN
Assalamualaikum. Apakah hukum isteri masukkan alat seks dalam kemaluannya ketika sedang berpuasa dan keluar mani? Bagaimana puasanya? Apakah perlu membayar kaffarah?
RINGKASAN JAWAPAN
Seseorang memasukkan sesuatu ke dalam faraj sama ada sengaja ataupun secara tidak sengaja ketika berpuasa, menurut mazhab Syafi’i puasanya dianggap terbatal dan wajib digantikan tanpa membayar kafarah.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Memasukkan alat seks atau seumpamanya di dalam faraj ketika sedang berpuasa di bulan Ramadan, hukumnya adalah batal dan wajib digantikan. Perbuatan ini membatalkan puasa atas dua sebab. Pertama sebab onani, dan kedua memasukkan sesuatu dalam rongga yang terbuka. Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut di dalam kitabnya:
من أفطر في رمضان بغير جماع بأن أكل أو شرب أو استعط أو باشر فيما دون الفرج فأنزل، أو استمنى فأنزل، وكان يمكنه الصوم، وجب عليه قضاؤه قبل حلول شهر رمضان من العام الذي يليه
Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa ketika Ramadan selain daripada jimak dengan makan atau minum, atau memasukkan sesuatu (cecair atau ubat) ke dalam hidung, atau bersentuhan selain pada kemaluan kemudian terkeluar mani, atau melakukan onani, kemudian keluar mani. (ketika melakukan semua perbuatan ini) dia berkemampuan untuk berpuasa, maka wajib dia qada sebelum masuk bulan Ramadan tahun seterusnya”
(Rujuk: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/200)
Bahkan melakukan perkara sedemikian dengan cara sengaja serta tanpa ada keuzuran hukumnya adalah berdosa dan wajib mengqadakannya. Perkara ini dinyatakan oleh Dr Muhammad al-Zuhaili berkata:
ومن أفطر في رمضان بغير جماع، ومن غير عذر أثم ووجب عليه القضاء
Maksudnya: “Sesiapa yang berbuka puasa ketika puasa Ramadan selain daripada jimak dan tanpa keuzuran, maka berdosa dan wajib ia mengqadakannya”.
(Rujuk: al-Muktamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/200)
Selain daripada itu, memasukkan alat seks di dalam faraj disifatkan sebagai memasukkan sesuatu di dalam rongga terbuka. Menurut para ulama faraj termasuk dalam kategori rongga yang terbuka.
(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 265)[1]
Dalam pada itu, majoriti para ulama fiqh berpendapat bahawa wajib mengqadakan puasa bagi mereka yang beronani ketika sedang berpuasa dan tidak dikenakan kafarah:
تعمد إنزال المنى بلا جماع، وذلك كالاستمناء بالكف أو بالتبطين والتفخيذ، أو باللمس والتقبيل ونحوهما فإنه يوجب القضاء دون الكفارة عند جمهور الفقهاء
Maksudnya: “Sengaja mengeluarkan mani tanpa jimak, dan demikian juga seperti beronani dengan tangan atau dengan perut dan peha, atau dengan sentuhan dan ciuman dan selain keduanya, maka wajib qada tanpa kafarah di sisi kebanyakan para ulama fiqh”.
(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/33)
Selain itu juga, wajib berimsak bagi mereka berbuka puasa dengan cara beronani. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Zakaria di dalam karyanya:
لَا بُدَّ لِلصَّائِمِ مِنَ الْإِمْسَاكِ عَنِ الْمُفْطِرَاتِ، وَهِيَ أَنْوَاعٌ : وَمِنْهَا: الِاسْتِمْنَاءُ، وَهُوَ مُفْطِرٌ
Maksudnya: “Wajib bagi orang yang berpuasa menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, antaranya ialah orang yang beronani hal keadaan dia berpuasa”.
(Rujuk: Raudah al-Tolibin wa Umdatu al-Muftin, 2/356)
Tambahan pula, kami sertakan keputusan fatwa dari Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebut bahawa memasukkan sesuatu dalam faraj boleh merosakkan puasa di sisi kebanyakan para ulama:
الفحص المهبلي الذي يتم فيه إدخال آلة الكشف الطبي في فرج المرأة يفسد الصوم عند الجمهور
Maksudnya: “Pemeriksaan faraj iaitu dengan memasukkan sejenis alat pemeriksaan perubatan ke dalam faraj perempuan, boleh membatalkan puasa seseorang di sisi kebanyakan para ulama”.[2]
Dapat kita fahami daripada kenyataan Dar al-Ifta’ dengan memasukkan Alat Pemeriksaan Faraj dianggap boleh merosakkan puasa sama seperti apabila memasukkan alat seks di dalam faraj juga dikira membatalkan puasa.
KESIMPULAN
Kesimpulannya ialah isteri memasukkan alat seks di dalam faraj sama seperti memasukkan sesuatu di dalam rongga. Keadaan sedemikian boleh merosakkan puasa seseorang dan wajib mengqadakannya tanpa membayar kafarah. Di antara perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang juga adalah dengan mengeluarkan air mani dengan cara beristimna’, walaupun di kawasan luar rahim dengan tidak memasukkan sesuatu. Namun begitu, perbuatan tersebut dianggap berdosa kerana tidak menghormati bulan yang mulia dan seterusnya mengabaikan ibadah puasa yang difardukan di bulan Ramadan. Semoga kita mendapat ganjaran pahala dan diampun segala dosa sepanjang melaksanakan ibadah puasa di bulan yang mulia ini.والله أعلم
[1] ووصول أصبع المستنجية إلى وراء ما يظهر من فرجها عند جلوسها على قدميها: مفطر
[2] https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID