اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADAN SIRI KE-196: ADAKAH DIKENAKAN KAFARAH BAGI MEREKA YANG BERZINA KETIKA SEDANG BERPUASA DI BULAN RAMADAN?

Irsyad Fatwa Ramadan 196

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti dan para asatizah, di sini saya ada satu soalan untuk ditanya berkenaan dengan kaffarah dalam ibadat puasa. Seperti yang diketahui, kaffarah bagi ibadat puasa dikenakan ke atas orang yang bersetubuh dengan sengaja dibulan Ramadan. Soalan saya, bagaimana pula hukum bagi orang yang berzina sedangkan dia berpuasa dibulan tersebut. Mohon pencerahan daripada mufti, ustaz dan ustazah sekalian. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan:

Perbuatan berzina di bulan Ramadan ini bukan sahaja membatalkan ibadat puasa bagi si pelaku tersebut malah turut dikenakan kafarah serta wajib disusuli dengan taubat. Hal ini kerana, seseorang itu bukan sahaja telah melakukan perbuatan yang mendatangkan dosa besar malah telah mencemarkan kemuliaan bulan tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan bagi orang islam untuk menjauhi perbuatan keji ini.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu kewajipan ke atas individu muslim untuk menunaikannya bahkan perlu diganti bagi mereka yang meninggalkannya. Dalam kes tertentu terdapat juga Kaffarah di dalam ibadat puasa Ramadan dan di antara sebab dan faktor seseorang muslim itu dikenakan kaffarah adalah kerana berlakunya persetubuhan antara lelaki dan wanita secara sengaja di siang hari pada bulan Ramadan.

Para fuqaha telah menyatakan bahawa orang yang membatalkan puasa dengan berjimak di siang hari dikenakan kafarah seperti yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayat oleh Abu Hurairah R.A:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: «مَا لَكَ؟» قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِي وَأَنَا صَائِمٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «‌هَلْ ‌تَجِدُ ‌رَقَبَةً ‌تُعْتِقُهَا؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ»، قَالَ: لَا، فَقَالَ: «فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا». قَالَ: لَا، قَالَ: فَمَكَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَبَيْنَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ أُتِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَقٍ فِيهَا تَمْرٌ - وَالعَرَقُ المِكْتَلُ - قَالَ: «أَيْنَ السَّائِلُ؟» فَقَالَ: أَنَا، قَالَ: «خُذْهَا، فَتَصَدَّقْ بِهِ» فَقَالَ الرَّجُلُ: أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لَابَتَيْهَا - يُرِيدُ الحَرَّتَيْنِ - أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: «أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ»

Maksudnya:Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Aku telah binasa.’ Baginda bertanya: ‘Kenapa?’ Jawabnya: ‘Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.’ Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadan. Sabda Baginda: ‘Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?’ Jawabnya: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?’ Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: ‘Di manakah orang yang bertanya tadi?’ Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: ‘Ambillah tamar ini dan sedekahkan.’ Lelaki itu berkata: ‘Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!’ Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.[1]

(Riwayat Bukhari: 1936)

Berdasarkan riwayat yang telah dinyatakan beberapa kaedah pelaksanaan kafarah ke atas orang yang membatalkan puasa dengan bersetubuh. Selain itu, mereka yang melakukan perkara ini melalui dubur atau dengan haiwan peliharaan juga dikenakan kafarah. Hal ini seperti mana yang dinyatakan oleh Sheikh ‘Abdullah Bafadhal dalam karyanya bahawa wajib dikenakan kafarah bagi orang yang merosakkan puasa Ramadan dengan berjimak meskipun perbuatan tersebut melalui dubur atau dengan haiwan. Manakala tiada kafarah bagi wanita dalam keadaan lupa atau dipaksa begitu juga orang membatalkn puasa selain puasa Ramadan.[2]

Merujuk kepada permasalahan ini, maksud dan perbuatan zina itu sendiri adalah persetubuhan yang tidak sah dan tanpa ikatan perkahwinan.[3] Maka, individu yang melakukan perkara ini secara sengaja pada siang hari dalam bulan Ramadan turut terbatal puasanya serta dikenakan kafarah seperti mana yang dinyatakan oleh Sheikh ‘Abdullah Bafadhal:

وَإِن زَنَيَا وَلَا على من ظن أَنه ليل فَتبين نَهَار وَهِي عتق رَقَبَة مُؤمنَة سليمَة من الْعُيُوب الَّتِي تخل بِالْعَمَلِ فَإِن لم يجد صَامَ شَهْرَيْن مُتَتَابعين فَإِن لم يقدر أطْعم سِتِّينَ مِسْكينا كل وَاحِد مدا

Maksudnya: “Meskipun kedua-duanya berzina, tidak dikenakan kafarah kepada sesiapa yang menyangka sudah malam tetapi masih lagi siang. Kafarah itu ialah memerdekakan hamba yang beriman yang bebas daripada kecacatan yang mana boleh mencacatkan amalan. Jika dia tiada hamba, maka wajib baginya berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya tidak mampu hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin dengan satu cupak (makanan asasi) bagi setiap seorang.”

(Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah: h138)

Tambahan lagi, perbuatan ini perlu disusuli dengan taubat nasuha selain dari melaksanakan kafarah kerana zina ini merupakan suatu perbuatan yang haram dan keji di sisi agama seiring dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ

Maksudnya: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka”

(Surah ali-‘Imran: 135)

Kesimpulan:

Perbuatan berzina di bulan Ramadan ini bukan sahaja membatalkan ibadat puasa bagi si pelaku tersebut malah turut dikenakan kafarah serta perlu disusuli dengan taubat. Hal ini kerana, seseorang itu bukan sahaja telah melakukan perbuatan yang berdosa dan membatalkan puasa malah telah mencemarkan kemuliaan bulan tersebut. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan bagi orang islam untuk menjauhi perbuatan keji ini.

Wallahu A’lam

 

[1] Al-Bukhari, Abu ‘Abdullah & Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah. 1311H. Sohih Bukhari. Tahqiq: Jamaah Ulama’. Mesir: Al-Saltaniah, al-Matba’ah al-Kubra al-Emiriah. J3 h32.

[2] Al-Hadhrami, Abdullah bin Abdul Rahman bin Abi Bakar Bafdhal. 1413H. Al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah. Tahkik: Majid al-Hamawi. Cetakan:2. Damsyik: al-Dar al-Muttahadah. H 138. Teks asal:

‌وَتجب ‌الْكَفَّارَة ‌على ‌من ‌أفسد ‌صَوْم رَمَضَان بِالْجِمَاعِ وَلَو فِي دبر وبهيمة لَا على الْمَرْأَة وَلَا من جَامع نَاسِيا أَو مكْرها وَلَا على من أفسد صَوْم غير رَمَضَان

[3] Dewan Bahasa dan Pustaka;