اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 244: HUKUM WANITA HAID MENGHADIRI SOLAT SUNAT HARI RAYA  

HUKUM WANITA HAID MENGHADIRI SOLAT SUNAT HARI RAYA

 

Soalan

Assalamualaikum S.S Datuk, Saya ada satu persoalan. Bagaimana jika saya dalam keadaan berhadas haid ketika pagi Syawal, bolehkah saya menghadiri solat hari raya di masjid atau surau?

Ringkasan Jawapan

Wanita disunatkan untuk menghadiri solat sunat hari raya. Bagi wanita yang memiliki rupa paras yang sangat cantik kami menasihatkan untuk tidak terlalu mempamerkan kecantikan dikhalayak ramai dengan perhiasan yang berlebihan. Mengenai hukum wanita haid menghadiri solat sunat hari raya hukumya adalah sunat selagi mana tempat didirikan solat sunat hari raya itu bukan masjid. Jika kawasan yang didirikan solat sunat hari raya adalah masjid maka kaum wanita tidak dibenarkan untuk masuk namun mereka boleh mendengarkan khutbah dari kawasan luar masjid. 

Huraian Jawapan

Hari raya ialah hari kegembiraan bagi umat Islam. Solat  sunat hari raya merupakan suatu yang disunatkan bagi umat Islam untuk mengerjakannya di pagi Syawal. Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat sunat hari raya mereka juga dianjurkan untuk turut menghadiri solat sunat hari raya. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Maksudnya: “Kami diperintahkan untuk keluar pada hari raya serta membawa bersama anak dara dari biliknya dan wanita haid lalu mereka akan berada di belakang orang ramai bertakbir dan berdoa mengharapkan keberkatan pada hari tersebut bersama-sama dengan orang ramai.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan bahawa wanita-wanita yang berada dalam keadaan haid juga dituntut untuk keluar bersama-sama dengan orang ramai demi mengharapkan keberkatan pada hari tersebut. Imam al-Qustullani berkata bahawa hadis ini menunjukkan wanita yang berada dalam keadaan haid juga dituntut untuk menghadiri solat sunat hari raya tanpa mengerjakan solat[1]. Mereka keluar dengan niat untuk memperolehi keberkatan dan doa orang ramai pada hari tersebut.

Mengenai hukum wanita keluar pada hari raya untuk mengerjakan solat terdapat perbezaan pandangan dari kalangan ulama salaf. Abu Bakar RA dan Ali RA berpandangan bahawa setiap wanita yang mampu hendaklah keluar menunaikan solat sunat hari raya. Pandangan yang sama juga dipegang oleh Ibn Omar, Aisyah, Alqamah, Aswad, Malik dan Abu Yusuf. Manakala sebahagian ulama salaf lagi seperti Urwah, al-Qasim, al-Nakha’i dan Yahya al-Ansari memakruhkan wanita untuk keluar menunaikan solat sunat hari raya[2].

Mazhab Syafii pula berpandangan bahawa wanita secara umum disunatkan untuk menghadiri solat sunat hari raya. Walau bagaimanapun mazhab Syafii mengecualikan wanita yang memiliki rupa paras yang sangat cantik untuk menghadiri solat sunat hari raya. Mengenai hal ini Imam al-Nawawi berkata:

فَقَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ رَحِمَهُمُ اللَّهُ يُسْتَحَبُّ لِلنِّسَاءِ غَيْرِ ذَوَاتِ الْهَيْئَاتِ حُضُورُ صَلَاةِ الْعِيدِ وَأَمَّا ذَوَاتُ الْهَيْئَاتِ وَهُنَّ اللَّوَاتِي يُشْتَهَيْنَ لِجَمَالِهِنَّ فَيُكْرَهُ حُضُورُهُنَّ

Maksudnya: “Berkata Imam al-Syafii dan Ashab: Disunatkan bagi wanita yang tidak memiliki rupa paras yang cantik untuk menghadiri solat sunat hari raya. Adapun wanita yang memiliki rupa paras yang cantik dan wanita yang diminati kerana kecantikannya dimakruhkan untuk menghadiri solat sunat hari raya[3].”

Namun begitu harus diingatkan bahawa disunatkan wanita untuk menghadiri solat sunat hari raya dalam keadaan haid jika kawasan yang didirikan solat sunat hari raya itu bukannya masjid. Adapun jika tempat tersebut ialah masjid maka menurut mazhab Syafii wanita haid diharamkan untuk masuk ke dalamnya[4]. Dalam sebuah hadis disebutkan:

إِنِّي لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لحِاَئِضٍ وَلَا جُنُبٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak menghalalkan (mengharamkan) masjid bagi wanita haid dan dalam keadaan berjunub.”

(Riwayat Abu Daud[5])

Kesimpulannya, wanita disunatkan untuk menghadiri solat sunat hari raya. Bagi wanita yang memiliki rupa paras yang sangat cantik kami menasihatkan untuk tidak terlalu mempamerkan kecantikan dikhalayak ramai dengan perhiasan yang berlebihan. Mengenai hukum wanita haid menghadiri solat sunat hari raya hukumya adalah sunat selagi mana tempat didirikan solat sunat hari raya itu bukan masjid. Jika kawasan yang didirikan solat sunat hari raya adalah masjid maka kaum wanita tidak dibenarkan untuk masuk namun mereka boleh mendengarkan khutbah dari kawasan luar masjid. 

Wallahu A'lam

Rujukan:

[1] Al-Qustullani, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 10, hlm. 314.

وفيه إخراج النساء يوم العيد إلى المصلى حتى الحيض منهن ولكنهن يعتزلن المصلى

[2] Ibn al-Battal, Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 2, hlm. 562.

فروى عن أبى بكر وعلى أنهما قالا : على كل ذات نطاق أن تخرج إلى العيدين ، وكان ابن عمر يُخرج من استطاع من أهله فى العيد ، وقال أبو قلابة : قالت عائشة : كانت الكواعب تخرج لرسول الله فى الفطر والأضحى ، وكان علقمة والأسود يُخرجان نساءهم فى العيد ويمنعانهن الجمعة ، وروى ابن نافع عن مالك أنه لا بأس أن تخرج المتجالة إلى العيدين والجمعة وليس بواجب ، وهو قول أبى يوسف . وكرهت ذلك طائفة ، روى عن عروة أنه كان لا يدع امرأة من أهله تخرج إلى فطر أو أضحى ، وكان القاسم أشد شىء على العواتق ، وقال النخعى ، ويحيى الأنصارى : لا يُعرف خروج المرأة الشابة فى العيد عندنا . واختلف قول أبى حنيفة فى ذلك ، فروى عنه أنه لم ير خروج النساء فى شىء من الصلوات غير العيدين ، وقال مرةً أخرى : كان يرخص للنساء فى الخروج إلى العيدين ، فأما اليوم فأنا أكرهه ،

[3] Imam al-Nawawi, al-Majmu’, jld. 5, hlm. 9.

[4] Imam al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, Beirut: Dar al-Basyair (2000), hlm. 132, hld. 1.

ويحرم به ما حرم بالجنابة وعبور المسجد إن خافت تلويثه

[5] Ibn Qattan menilai hadis ini sebagai hasan (Rujuk: Ibn Mulaqqin, Tuhfah al-Muhtaj ila Adillah al-Minhaj, Makah: Dar al-Hira’ (1406H), jld. 1, hlm. 203).